omniture

Manfaat Rawatan Tekanan Darah Terhadap Jangkahayat Berlanjutan untuk Bertahun-tahun Lamanya - Penemuan Baharu dalam Pesakit Diabetes Jenis 2

The George Institute for Global Health
2014-09-19 18:46 83

VIENNA, 19 September 2014 /PRNewswire/ -- Para penyelidik Australia telah mengenalpasti bahawa pengurangan kejadian serangan jantung dan kematian, akibat pengambilan ubat yang merendahkan tekanan darah dalam pesakit diabetes jenis 2, boleh tahan bertahun lamanya walaupun selepas rawatan dihentikan.

Kajian global itu mendapati, enam tahun selepas pemberhentian rawatan intensif dengan kombinasi perindopril dan indapamide, pesakit diabetes jenis 2 terus mempunyai risiko yang lebih rendah untuk penyakit jantung serius serta kematian.

Kajian yang bertajuk ADVANCE-ON, diterajui oleh Institut George untuk Kesihatan Global dan telah dijalankan di 20 negara. Ia melibatkan kajian susulan bagi lebih 80 peratus daripada 11,000 pesakit diabetes yang telah terlibat dalam kajian klinikal ADVANCE asal yang bermula pada tahun 2001 dan tamat pada tahun 2007.

Dalam ADVANCE, para pesakit yang telah menerima rawatan tekanan darah dengan kombinasi diuretik-perencat ACE selama hampir lima tahun didapati mempunyai risiko yang lebih rendah untuk kematian dan serangan jantung. Dalam kajian ADVANCE-ON susulan ini, manfaat ini masih dapat dilihat enam tahun kemudian, tetapi lebih rendah berbanding semasa rawatan aktif.

Ketika berucap semasa Kongres Persatuan Kardiologi Eropah di Barcelona, Penyelidik Utama Profesor John Chalmers daripada Institut George untuk Kesihatan Global dan Universiti Sydney berkata: "Penemuan ini menekankan kepentingan rawatan merendahkan tekanan darah yang aktif bagi pesakit yang menghidap diabetes jenis 2. Berita baiknya, manfaat ini bertahan lebih lama walaupun rawatan dihentikan. Berita yang lebih penting lagi, rawatan aktif diperlukan untuk jangka masa pendek dan panjang, agar dapat memaksimumkan bilangan nyawa yang berjaya diselamatkan."

Pengarah Kajian, Profesor Madya Sophia Zoungas pula berkata: "Penemuan ini adalah benar-benar baharu untuk pesakit diabetes jenis 2, walaupun ia telah dilihat sebelum ini dengan pesakit yang menghidap hipertensi."

Profesor Chalmers berkata rawatan intensif yang dibuat berdasarkan perindopril dan indapamide ini berkemungkinan besar telah menghasilkan perubahan struktur yang tahan lama dalam sistem kardiovaskular pesakit.

Seluruh dunia, dianggarkan 382 juta orang menghidap diabetes manakala kira-kira 90 peratus daripada mereka pula menghidap diabetes jenis 2. Diabetes menyebabkan penyakit jantung, buta, kegagalan ginjal, pemotongan kaki tangan dan juga angin ahmar serta merupakan salah satu daripada sepuluh penyebab utama kematian.

ADVANCE telah dibiayai oleh Majlis Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Kebangsaan Australia (NHMRC), Yayasan Jantung Britain, Diabetes UK serta Servier.

Sumber: Institut George untuk Kesihatan Global

Source: The George Institute for Global Health
Keywords: Health Care/Hospital Medical Equipment Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries