omniture

Persidangan Pelaburan Makanan dan Bioindustri Antarabangsa akan Diadakan di Brunei Darussalam

Brunei BioInnovation Corridor
2015-03-06 11:03 182

HONG KONG, 6 Mac 2015 /PRNewswire/ -- Satu persidangan selama 2 hari - Persidangan Pelaburan Makanan dan Bioindustri Antarabangsa akan diadakan di Brunei Darussalam pada bulan Mei 2015 sebagai sebahagian daripada inisiatif Koridor BioInovasi Brunei (BIC) Kesultanan Brunei. Persidangan dan inisiatif BIC itu adalah sejajar dengan keinginan negara itu untuk mencapai kepelbagaian, daya saing, serta kemampanan ekonomi yang lebih maju.

Persidangan itu sejajar dengan matlamat BIC untuk mempromosikan Brunei Darussalam sebagai hab rantau untuk penyelidikan dan inovasi bioindustri, dengan fokus kepada produk makanan Halal, alat solek, farmaseutikal, bioteknologi, dan logistik.

"Koridor BioInovasi meliputi kawasan seluas kira-kira 500 hektar, dan bakal menarik pelaburan dalam bidang penyelidikan serta pembangunan, pengeluaran, dan juga industri komersial. Ia merupakan sektor tambahan yang akan mengukuhkan ekonomi negara," titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Agong Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-68.

Inisiatif Koridor BioInovasi (BIC)

Sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian ekonomi yang lebih luas, BIC telah ditubuhkan bagi menggalakkan pembangunan industri makanan dan bioindustri di Brunei Darussalam, untuk mewujudkan taman perindustrian bertemakan Halal yang terkemuka seluruh dunia, serta untuk mencipta persekitaran yang didorong oleh penyelidikan.

BIC bakal menarik perhatian khususnya daripada syarikat yang menghasilkan makanan, alat solek, farmaseutikal, dan makanan kesihatan yang Halal. Brunei Darussalam mempunyai reputasi yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam untuk standard Halal yang tinggi serta garis panduan yang ketat untuk farmaseutikal, makanan, dan alat solek. BIC akan menyediakan peluang untuk pertumbuhan dan inovasi dalam semua bidang ini.

Peluang ekonomi dan pembangunan

BIC berhasrat untuk mencipta persekitaran dengan pelbagai kegunaan yang mampu menampung aplikasi penyelidikan dan teknologi inovatif. Brunei Darussalam terletak di lokasi strategik di tengah Asia Tenggara, lokasi yang ideal bagi membangunkan aktiviti eksport dan logistik.

BIC terletak berdekatan Bandar Seri Begawan, pusat budaya, ekonomi, dan politik Brunei Darussalam.

Meliputi kawasan seluas 466 hektar, BIC ingin menyediakan sehingga 28,000 jawatan pekerjaan sepenuh masa, yang mana 9,500 jawatan melibatkan pemprosesan makanan. Kini BIC sedang membincangkan rancangan pembangunan untuk Fasa 1 (37 hektar tanah yang akan dibahagikan kepada 25 plot) dengan para pelabur. Kira-kira 30% atau sehingga 195 hektar tanah akan dikhaskan untuk kegunaan perindustrian, dan 25% daripada tanah itu akan diperuntukkan untuk ruang hijau. Brunei Darussalam menawarkan persekitaran politik dan kewangan yang stabil, dengan rejim cukai serta kos pengendalian yang rendah, di samping insentif pelaburan lumayan.

Persidangan Pelaburan Makanan dan Bioindustri Antarabangsa

Dianjurkan oleh kerajaan Brunei Darussalam, persidangan itu bakal menampilkan para pegawai kanan kerajaan; eksekutif perniagaan, pelabur, serta penceramah berprofil tinggi dari seluruh dunia. Topik perbincangan akan merangkumi peluang ekonomi di samping pengetahuan pakar tentang bioinovasi.

Sila muat turun lebih banyak gambar daripada pautan web di bawah:
www.bdcshk.com/webcontent/SQW_China/Photos.zip

Latar Belakang Koridor BioInovasi Brunei

Koridor BioInovasi merupakan inisiatif dalam daerah Brunei Muara, diterajui oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (MIPR) Brunei Darussalam. Satu divisyen khusus, Pusat Inovasi Industri Halal (HIIC), telah ditubuhkan bagi menggalakkan pembangunan Industri Diperakui Halal di Brunei Darussalam.

 

 

Source: Brunei BioInnovation Corridor
Keywords: Biotechnology Food/Beverages Health Care/Hospital Trade show news