omniture

Huawei Sertai CeBIT 2017 bersama 100 Rakan Kongsi Majukan Transformasi Digital

Huawei
2017-03-22 04:43 805

Menerajui ICT Baharu, Menuju Transformasi Digital

HANNOVER, Jerman, 22 Mac 2017 /PRNewswire/ -- Sempena CeBIT 2017 mulai 20 hingga 24 Mac 2017, Huawei berganding bahu dengan 100 rakan kongsi untuk mempamerkan strategi dan penyelesaian ICT menerusi tema "Menerajui ICT Baharu, Menuju Transformasi Digital". Bertempat di reruai seluas lebih 3500 meter persegi yang terletak di C30, Dewan 2 di Pusat Pameran Hannover, Huawei mempamerkan ICT dan penyelesaian inovatif di kawasan pameran perniagaan, teknologi dan ekosistem, selain turut berkongsi amalan dan kaedah terbaik dalam transformasi digital demi membantu pelanggan dan rakan kongsi global memajukan perniagaan digital mereka.

Huawei berganding bahu dengan 100 rakan kongsi untuk mempamer di CeBIT 2017
Huawei berganding bahu dengan 100 rakan kongsi untuk mempamer di CeBIT 2017

Strategi dan matlamat Huawei Enterprise Business Group adalah selari dengan tema CeBIT 2017 iaitu "d!konomi – tanpa had", ("d!conomy – no limits"), menyediakan panduan kepada pembuat keputusan berhubung pengurusan ekonomi dan awam, masyarakat digital serta transformasi digital.

Platform dan Ekosistem, Dua Daya Penggerak Menuju Transformasi Digital

Perniagaan perusahaan Huawei adalah berdasarkan pemahaman mendalam tentang transformasi digital industri, dan syarikat memperkenalkan strategi "Platform + Ekosistem" di pameran perdagangan tersebut.

Yan Lida, Presiden Huawei Enterprise Business Group berkata: "Kedudukan perniagaan Huawei memberi tumpuan untuk menjadi rakan kongsi terbaik demi mendayakan masyarakat digital, pembangunan sosial pintar dan transformasi digital industri. Kami mencadangkan strategi 'platform + ekosistem' yang berdasarkan pelaburan besar yang dibuat dalam teknologi baharu, seperti pengkomputeran awan, Internet Komunikasi Benda (IoT), Data Besar, jalur lebar mudah alih dan SDN, bagi mewujudkan platform infrastruktur ICT yang bersifat terbuka, selamat dan tangkas. Dengan menyediakan ekosistem yang saling menguntungkan dan bekerjasama secara meluas dengan rakan-rakan kongsi, kami membantu pelanggan mencapai kejayaan dalam transformasi digital."

Semasa Ucapan Dasar Ketua Pegawai Eksekutif Persidangan Global CeBIT, Diana Yuan, Presiden Jabatan Pemasaran dan Jualan Penyelesaian, Huawei Enterprise Business Group berkata: "'Platform' kami menekankan sinergi awan-saluran-peranti, manakala 'Ekosistem' kami menumpu pada pelanggan dan fokus dalam mewujudkan persekitaran yang saling menguntungkan demi pembangunan mampan. Huawei melaksanakan strategi 'Platform + Ekosistem' dan bekerjasama erat dengan pelanggan serta rakan kongsi untuk membantu mereka mendepani era digital dengan memanfaatkan pengalaman serta keupayaan kukuh dan beraneka yang diperoleh daripada transformasi digital kami sendiri."

Sempena CeBIT 2017, Huawei melancarkan Program OpenLab Global untuk menggalakkan pelaksanaan strategi "Platform + Ekosistem". Program ini akan menghimpunkan rakan-rakan niaga utama demi menyediakan keupayaan untuk menginovasi penyelesaian yang khusus untuk industri, menyediakan unit-unit asas untuk ekosistem ICT yang memperkasakan masyarakat pintar masa depan. Huawei merancang untuk menubuhkan 15 OpenLab dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan jumlah pelaburan bernilai USD 200 juta. Menjelang akhir tahun 2019, akan ada sejumlah 20 OpenLab di seluruh dunia.

"Perniagaan", "Teknologi" dan "Ekosistem": Mempamer Infrastruktur ICT Baharu bersama 100 Rakan Kongsi

Kawasan pameran "Perniagaan", "Teknologi" dan "Ekosistem" Huawei di CeBIT 2017 mempamerkan produk, penyelesaian ICT inovatif serta kisah-kisah kejayaan.

Kawasan pameran "Perniagaan" mempamerkan penyelesaian Huawei yang mendayakan transformasi digital pelanggan dan mengetengahkan kisah-kisah kejayaan dalam tujuh industri, termasuk bandar pintar, kewangan, pembuatan, kuasa elektrik, pengangkutan, media dan ISP. Kawasan pameran "Teknologi" pula mempamerkan infrastruktur ICT baharu Huawei berasaskan sinergi "awan-saluran-peranti". Infrastruktur ini menyepadukan tujuh teknologi teras, termasuk IoT (dengan keselamatan), awan terbuka, infrastruktur pusat data, rangkaian semua berasaskan awan (dengan keselamatan), komunikasi awan, tanpa wayar perusahaan dan perkhidmatan. Seluruh reruai mempamerkan hasil kerjasama Huawei dengan 100 rakan kongsi, termasuk syarikat-syarikat terkemuka seperti SAP, Accenture, Infosys, T-Systems, KUKA, Hexagon, Thales, Alstom dan Siemens, untuk bersama-sama membangunkan ekosistem mampan.

Pengumuman Bersama Kerjasama Utama dan Perkongsian Kaedah serta Amalan Transformasi Digital

Lebih satu pertiga daripada syarikat Fortune 500 memilih Huawei sebagai rakan transformasi digital mereka dan lebih 40% daripada syarikat ini mengungguli kedudukan 100 terbaik di dunia. Di CeBIT 2017, Huawei dan rakan-rakan industri utama akan mengumumkan penyelesaian bersama dan berkongsi kisah-kisah kejayaan, termasuk:

  • Dalam segmen bandar pintar, Huawei dan Veolia bersama-sama memperkenalkan Penyelesaian Pengurusan Air Hujan dan Banjir berasaskan NB-IoT untuk menetapkan langkah-langkah kecemasan secara saintifik. Selain itu, Huawei dan Frequentis bersama-sama membangunkan ekosistem terbuka untuk penyelesaian keselamatan awam bagi mewujudkan bandar-bandar yang lebih selamat. Huawei dan Honeywell juga bersama-sama melancarkan penyelesaian bangunan pintar yang mendayakan pengurusan bangunan secara pintar dan mengurangkan penggunaan tenaga.
  • Dalam industri kewangan, Accenture akan berkongsi penyelesaian Data Besar kewangan berasaskan platform Data Besar Huawei. Huawei dan Infosys bersama-sama melancarkan penyelesaian Finacle@Kunlun bagi membantu bank-bank membina semula infrastruktur IT dan penggunaan lapisan atas.
  • Dalam industri tenaga, Huawei berganding bahu dengan SAP untuk melancarkan penyelesaian Infrastruktur Pemeteran Dipertingkat (AMI). Menerusi usaha bersama State Grid Tianjin Electric Power Company, Huawei memperkenalkan penyelesaian rangkaian kuasa khusus tanpa wayar untuk membantu syarikat-syarikat kuasa melaksanakan pengagihan kuasa automatik dan pemeteran pintar.
  • Dalam industri pengangkutan, Huawei dan penyedia penyelesaian teknologi industri pengangkutan Indra menandatangani MOU kerjasama global untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian ICT pengangkutan hujung-ke-hujung.
  • Dalam industri media, Huawei dan Sony bersama-sama memperkenalkan penyelesaian IP matriks Antara Muka Digital Bersiri (SDI) untuk membangunkan kenderaan siaran syarikat-syarikat radio dan televisyen global serta sistem video mudah alih.
  • Dalam segmen awan awam, pelanggan yang menggunakan Open Telekom Cloud yang dibangunkan bersama-sama oleh Huawei dan Deutsche Telekom akan berkongsi aplikasi penyelesaian terkini – Organisasi Penyelidikan Nuklear Eropah (CERN) akan berkongsi pengalamannya mengguna pakai Open Telekom Cloud dan projek Awan Sains Nebula Heliks; pengeluar sistem lampu Jerman SLV mengumumkan ia akan menggunakan platform IoT berasaskan Open Telekom Cloud dan melancarkan projek-projek kediaman pintar.

Pada masa depan, Huawei akan terus membangunkan ekosistem mampan dan melabur dalam kerjasama industri dan komersial, komuniti sumber terbuka serta platform pembangun.

Untuk maklumat lanjut tentang Huawei di CeBIT 2017, sila layari di http://e.huawei.com/topic/cebit2017-en/index.html

Latar Belakang Huawei

Huawei ialah penyedia penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang utama di dunia.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi Huawei dalam talian di http://www.huawei.com/

Source: Huawei
Keywords: Computer Hardware Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Internet Technology Telecommunications Telecommunications Equipment Trade show news