omniture

Kelas Pertama Usahawan Asia Tamat Pengajian Program Felow ePengasas UNCTAD dan Sekolah Perniagaan Alibaba

Pencapaian penting perlihat komitmen Alibaba ke arah matlamat UNCTAD terhadap pembangunan ekonomi inklusif dan mampan
Alibaba Group
2018-04-06 22:35 1286

GENEVA dan HANGZHOU, China, 6 April 2018  /PRNewswire/ -- Kumpulan pertama usahawan Asia telahpun menamatkan pengajian dalam program Felow ePengasas dalam sebuah majlis yang diadakan di Hangzhou, China. Program ini, iaitu satu inisiatif bersama oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCTAD) dan Sekolah Perniagaan Alibaba, menyasarkan untuk membolehkan usahawan muda meneroka potensi penuh mereka dan merapatkan jurang digital.

Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma berbincang dengan para peserta ePengasas tentang keusahawanan dan banyak lagi
Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma berbincang dengan para peserta ePengasas tentang keusahawanan dan banyak lagi

Dengan berakhirnya program ePengasas kedua itu, Alibaba kini berada selangkah lebih hampir untuk memenuhi komitmen yang dibuat oleh Jack Ma, pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, menerusi keupayaan beliau sebagai Penasihat Khas UNCTAD untuk Usahawan Muda dan Perniagaan Kecil-kecilan. Sepanjang lima tahun akan datang, Alibaba dan UNCTAD akan membantu memperkasa seramai 1,000 usahawan di negara-negara sedang membangun untuk memanfaatkan transformasi digital demi pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

"Semangat yang bertenaga dan daya kreativiti usahawan muda ini serta pendekatan altruistik yang ditonjolkan oleh mereka dalam menyokong Matlamat Pembangunan Lestari adalah suatu yang menggalakkan," kata Arlette Verploegh, penyelaras UNCTAD untuk Inisiatif ePengasas.

"Kisah-kisah mereka benar-benar menginspirasikan dan memberi contoh kehidupan sebenar bahawa generasi muda boleh menggunakan teknologi baharu bagi mewujudkan peluang-peluang ekonomi demi manfaat masyarakat mereka," tambah Cik Verploegh.

Membentuk Jaguh Ekonomi Digital Baharu

Sepanjang program selama 11 hari itu, para usahawan Asia memperoleh pandangan secara langsung, mengambil bahagian dalam lawatan lapangan serta menghadiri ceramah bagi memahami transformasi digital yang telah melanda China sejak 20 tahun lalu.

Menggunakan Alibaba sebagai model pengajian, serta menghadiri perjumpaan dan lawatan bersama inkubator tempatan dan juga sekolah perniagaan e-dagang, para peserta menganalisis ekosistem platform dan penyelesaian Alibaba termasuk Taobao Marketplace, Tmall, Alibaba.com, Cainiao Network, Hema dan Fliggy, selain trend dan pembangunan industri terkini seperti Peruncitan Baharu, e-dagang luar bandar dan kemunculan selebriti Internet.

Melalui sesi-sesi yang interaktif dan menarik ini, para peserta memperoleh pemahaman tentang pertimbangan yang dibuat oleh Alibaba Group untuk menyokong dan mengembangkan ekonomi digital di China dan meneliti bagaimana mereka dapat mengaplikasikan pelajaran yang diperoleh dalam pasaran-pasaran tempatan mereka.

"Kami ingin memperkasa usahawan yang semakin muncul ini dengan perspektif segar serta menyediakan instrumen bagi mencapai kejayaan, melalui sesi-seisi praktikal dan berasaskan teori daripada bakat kami yang terbaik dan paling pintar dalam Alibaba serta jaringan rakan kongsi kami," kata Brian Wong, Naib Presiden Alibaba Group, yang memimpin program Inisiatif Global.

"Minat yang dapat dilihat menerusi usaha mereka untuk belajar adalah begitu menginspirasikan," kata beliau. "Perbincangan yang tuntas tentang isu-isu dan lontaran soalan yang berterusan tentang fenomena digital di China membolehkan mereka menemui idea dan pendekatan baharu demi model pembangunan yang lebih inklusif dan mampan untuk perniagaan mereka sendiri serta untuk manfaat masyarakat setempat mereka."

Aspek unik dalam program ini ialah akses kepada barisan eksekutif teratas Alibaba dan pengusaha e-dagang yang berjaya seperti PayTM, penyedia eDompet yang terkemuka di India serta Lazada, platform e-dagang yang terbesar di Asia Tenggara.

Di samping itu, para peserta turut mengunjungi pelbagai kemudahan Alibaba yang canggih seperti Hema Fresh bagi mengalami gambaran fizikal tentang masa depan Peruncitan Baharu. Mereka turut berpeluang memahami logistik pintar menerusi kunjungan ke pusat logistik Cainiao Jiaxing serta menghargai potensi besar pembangunan e-dagang luar bandar di Kampung Bainiu, yang turut dikenali sebagai Kampung Taobao China bersempena nama laman sesawang membeli belah dalam talian disebabkan oleh penyepaduan lancar e-dagang dalam setiap aspek kehidupan di sana.

Para usahawan ini turut mengalami impak teknologi yang transformatif terhadap masyarakat di China, menerusi kunjugan ke inkubator Dream Town di Zhejiang, yang bakal menjadi Silicon Valley China dan Bandar Yiwu, iaitu nod yang amat penting untuk perdagangan borong negara berkenaan, serta pasaran B2B luar talian yang terbesar di dunia.

Felow Global untuk Komuniti seluruh Dunia

Pada sesi akhir program intensif selama 11 hari itu, para peserta dicabar untuk berkongsi bagaimana mereka merancang untuk menyalurkan wawasan yang baru ditemui oleh mereka dalam e-dagang, e-kewangan dan pembayaran, logistik pintar, data besar serta pelancongan kepada rakan-rakan usahawan dan komuniti di kawasan setempat mereka serta merangka penambahbaikan terhadap idea-idea perniagaan mereka.

Peserta Malaysia Soh Yien Yee, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Pemasaran AVANA, platform perdagangan sosial, berkata beliau begitu bersemangat untuk berkongsi kesemua yang telah dipelajari oleh beliau bersama rakan-rakan usahawan dan memanfaatkan kelebihan e-dagang serta laluan baharu yang diwujudkan di Malaysia. "Apabila saya pulang ke Malaysia, tumpuan saya adalah untuk berkongsi kaedah untuk memanfaatkan teknologi bersama semua yang terlibat dalam perniagaan dan menggunakannya demi memajukan model perniagaan kami." Beliau turut menyatakan bahawa program ini menyediakan saluran untuk para usahawan yang sealiran di seluruh Asia berkongsi idea serta membuka peluang untuk perangkaian dan juga pertumbuhan perniagaan.

"Tatkala kami menamatkan pengajian dalam program tersebut, kami memeterai komitmen bersama Alibaba Group dan UNCTAD untuk menjadi duta perubahan bukan sahaja di negara kami, bahkan di seluruh dunia. Kini, misi kami bukan sahaja untuk menyelesaikan masalah pelanggan kami, tetapi juga untuk menjadi jaguh ekonomi baharu menerusi platform inovatif kami dalam industri masing-masing," kata Abigail Joyce Mendoza daripada StyleGenie, servis petak langganan gaya dan pakaian di Filipina, yang mengambil bahagian dalam program ini.

Penamatan pengajian oleh 37 calon Asia, yang berasal dari Kemboja, Indonesia, Malaysia, Pakistan, Filipina, Thailand dan Vietnam, menandakan mereka secara rasminya dilantik sebagai Felow bagi jaringan Felow ePengasas global, menyertai kumpulan sulung yang terdiri daripada 24 usahawan Afrika yang tamat pengajian pada tahun 2017.

Sebagai sebahagian daripada komitmen oleh UNCTAD dan Alibaba bagi memastikan semua Felow mengaplikasikan secara aktif segala yang dipelajari oleh mereka dalam kalangan komuniti, kedua-dua organisasi akan terus membuat susulan bersama Felow menerusi sokongan daripada pihak berkepentingan tempatan pada setiap tiga bulan dan menyokong penciptaan ekosistem digital yang diwujudkan untuk pertumbuhan inklusif dan mampan di serata dunia.

Untuk maklumat lanjut tentang Felow ePengasas, sila layari https://agi.alibaba.com/efounders-fellowship dan http://unctad.org/en/pages/newsdetails.aspx?OriginalVersionID=1615

Latar Belakang UNCTAD
Inisiatif ePengasas merupakan sebahagian daripada himpunan perkongsian pintar yang diwujudkan oleh UNCTAD untuk membantu negara-negara mencapai Matlamat Pembangunan Lestari.

Latar Belakang Alibaba Group
Misi Alibaba Group adalah untuk menjadikan perniagaan dapat dijalankan dengan mudah di mana-mana jua. Syarikat menyasarkan untuk membina infrastruktur perdagangan masa depan. Ia membayangkan bahawa pelanggannya akan dapat bertemu, bekerja dan menetap di Alibaba, dan ia akan menjadi sebuah syarikat yang mampu bertahan sekurang-kurangnya selama 102 tahun.

Perhubungan Media
UNCTAD
+41 22 917 5828 / +41 79 502 43 11
unctadpress@unctad.org

Katie Lee
Alibaba Group
+852 9728 0979
k.lee@alibaba-inc.com

Kumpulan pertama seramai 37 individu yang dilantik di Asia dalam program Felow ePengasas global bergambar bersama Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma
Kumpulan pertama seramai 37 individu yang dilantik di Asia dalam program Felow ePengasas global bergambar bersama Pengerusi Eksekutif Alibaba Group Jack Ma

 

 

Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20180405/2097528-1-a
Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20180405/2097528-1-b
Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20180405/2097528-1-c
Foto - https://photos.prnasia.com/prnh/20180405/2097528-1-d

Source: Alibaba Group
Keywords: Banking/Financial Service Education Joint ventures New products/services