omniture

Pejabat IP Singapura bakal Luluskan Permohonan Paten Merck bagi Teknologi CRISPR

Merck
2017-12-20 10:17 590

- Paten rangkumi kejayaan penyepaduan jujukan DNA luaran dalam kromosom sel eukariot menggunakan CRISPR

- Kebenaran paten keempat untuk teknologi CRISPR Merck; paten-paten serupa daripada Pejabat Paten Australia, Kanada dan Eropah telahpun diterima

- Merck bakal lesenkan paten-paten berkaitan CRISPR kepada pihak-pihak yang berminat

DARMSTADT, Jerman, 20 Disember 2017 /PRNewswire/ -- Merck, sebuah syarikat sains dan teknologi utama, hari ini mengumumkan Pejabat Harta Intelek Singapura mengeluarkan "Notis Kelayakan Geran" bagi permohonan paten Merck mencakupi teknologi CRISPR syarikat yang digunakan dalam kaedah penyepaduan genomik untuk sel-sel eukariot.

generated by system

"Kebenaran notis paten Singapura untuk teknologi penyepaduan CRISPR Merck merupakan satu lagi pengukuhan harta intelek kami," kata Udit Batra, Ahli Lembaga Eksekutif Merck dan Ketua Pegawai Eksekutif, Life Science. "Kami berharap dapat menerima geran-geran tambahan untuk permohonan paten yang serupa di beberapa negara lain tatkala kami berkolaborasi dengan komuniti saintifik global bagi mencari rawatan baharu untuk penyakit-penyakit."

Merck kini melesenkan kebenaran paten penyepaduan asas ini bagi aplikasi-aplikasi termasuk penyelidikan sains asas, bioteknologi pertanian dan kegunaan terapi.

Paten asas yang akan datang di Singapura ini, bertajuk "MODIFIKASI DAN PENGAWALAN GENOM BERASASKAN CRISPR" meliputi penyepaduan kromosom atau pemotongan jujukan kromosom sel-sel eukariot (seperti sel-sel mamalia dan tumbuhan) serta penyisipan jujukan DNA luaran atau penderma dalam sel-sel tersebut menggunakan teknologi CRISPR. Saintis-saintis boleh menggantikan mutasi berkaitan penyakit dengan jujukan bermanfaat atau berfungsi, satu kaedah penting untuk mencipta model-model penyakit dan terapi gen. Selain itu, kaedah tersebut boleh digunakan untuk menyisipkan transgen yang melabelkan protein endogen bagi pengesanan visual dalam sel-sel.

Teknologi penyuntingan genom CRISPR, yang membolehkan modifikasi yang tepat dibuat pada kromosom sel-sel hidup, memajukan pilihan rawatan untuk beberapa keadaan perubatan paling sukar yang dihadapi hari ini. Aplikasi CRISPR adalah amat luas—bermula dengan mengenal pasti gen-gen berkaitan kanser dan penyakit yang jarang terjadi kepada membalikkan semula mutasi yang menyebabkan kebutaan.

Setelah dikeluarkan, paten Singapura akan melanjutkan perlindungan teknologi penyepaduan CRISPR Merck ke Singapura, yang akan mengukuhkan lagi portfolio paten syarikat. Merck juga membuat pemfailan paten bagi kaedah penyisipan CRISPR di A.S., Brazil, China, India, Israel, Jepun dan Korea Selatan. Pada Jun 2017, Merck dianugerahkan paten CRISPR pertama oleh pejabat paten Australia. Anugerah ini diikuti dengan anugerah paten yang berkaitan oleh Pejabat Paten Eropah dan Kanada.

Dengan sejarah selama 12 tahun dalam bidang penyuntingan genom, Merck merupakan syarikat pertama yang menawarkan biomolekul tersuai untuk penyuntingan genom di seluruh dunia (intron II kumpulan berpandukan-RNA TargeTron™ dan nukleas jejari zink CompoZr™), mendorong penggunaan teknik-teknik ini oleh para penyelidik di seluruh dunia. Merck juga merupakan syarikat pertama yang mengeluarkan pustaka CRISPR tersusun mencakupi seluruh genom manusia, seraya dapat mempercepatkan penyembuhan penyakit dengan membolehkan para saintis meneroka lebih banyak persoalan tentang punca utamanya.

Merck mengiktiraf faedah-faedah berpotensi menjalankan kajian yang ditentukan dengan betul menerusi penyuntingan genom hasil penemuan potensi terapeutik yang penting. Oleh yang demikian, Merck menyokong penyelidikan dengan penyuntingan genom di bawah pertimbangan piawaian etika dan undang-undang yang teliti. Merck menubuhkan Panel Penasihat Bioetika bagi memberi panduan kepada kajian yang melibatkan perniagaannya, termasuk penyelidikan atau penggunaan penyuntingan genom.

Semua siaran berita Merck diedarkan melalui emel dan turut tersedia di laman sesawang Merck. Sila layari www.merckgroup.com/subscribe untuk mendaftar dalam talian, menukar pilihan atau untuk berhenti melanggan perkhidmatan ini. 

Latar Belakang Merck
Merck ialah sebuah syarikat sains dan teknologi terkemuka dalam bidang penjagaan kesihatan, sains hayat dan juga bahan prestasi. Kira-kira 50,000 kakitangannya berusaha untuk terus memajukan teknologi yang dapat menambah baik serta mempertingkat kualiti kehidupan – bermula dengan terapi biofarmaseutikal bagi merawat kanser atau sklerosis berbilang, sistem yang canggih untuk tujuan penyelidikan saintifik dan pengeluaran, kepada kristal cecair untuk telefon pintar dan juga televisyen LCD. Pada tahun 2016, hasil jualan Merck mencecah €15 bilion di 66 negara.

Ditubuhkan pada tahun 1668, Merck ialah syarikat farmaseutikal dan bahan kimia yang paling lama bertapak di dunia. Keluarga pengasasnya kekal sebagai pemilik majoriti syarikat korporat senaraian awam itu. Syarikat ini memegang hak global nama dan jenama "Merck". Ini tidak termasuk Amerika Syarikat dan Kanada, memandangkan syarikat ini beroperasi sebagai EMD Serono, MilliporeSigma dan EMD Performance Materials.

Source: Merck
Keywords: Biotechnology Chemical Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Patent Law