omniture

Louvre Abu Dhabi bakal Pamer Salvator Mundi Leonardo da Vinci

Abu Dhabi Culture & Tourism
2017-12-20 16:00 875

ABU DHABI, United Arab Emirates, 20 Disember 2017 /PRNewswire/ -- Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Abu Dhabi mengumumkan ia telah memperoleh karya agung Leonardo da Vinci, Salvator Mundi. Karya seni tersebut, dianggap sebagai salah satu penemuan semula artistik yang paling hebat sejak 100 tahun lalu, akan dipamerkan di Louvre Abu Dhabi, berserta satu lagi karya agung Leonardo da Vinci, La Belle Ferronniere, yang kini dipinjamkan oleh musée du Louvre.

generated by system

Dilukis oleh salah seorang seniman paling hebat dan paling tersohor dalam sejarah, Salvator Mundi ialah salah satu daripada hanya 20 lukisan yang diketahui masih wujud oleh pakar Renaissance Itali. Bertarikh sekitar tahun 1500, ia merupakan lukisan minyak pada panel yang menggambarkan separuh ketinggian figura Christ sebagai Penyelamat Dunia, menghadap penonton, dan berpakaian jubah berjela-jela berwarna lapis dan lembayung. Figura tersebut memegang bola kristal pada tangan kiri manakala tangan kanan beliau diangkat sebagai perestuan.

Tuan Yang Terutama Mohamed Al Mubarak, Pengerusi Jabatan Kebudayaan & Pelancongan berkata: "Kami berbesar hati dapat mempamerkan Salvator Mundi, sebahagian daripada kekayaan warisan Leonardo da Vinci, di Louvre Abu Dhabi. Ini selari dengan cita-cita kami untuk berkongsi muzium luar biasa ini dengan dunia, dan misi kami untuk menginspirasikan generasi baharu daripada kalangan pemimpin budaya serta pemikir kreatif untuk menyumbang kepada negara kami yang pesat berkembang dan bertoleransi."

Manuel Rabate, Pengarah Louvre Abu Dhabi berkata: "Karya agung Leonardo da Vinci, Salvator Mundi begitu sesuai dengan naratif Louvre Abu Dhabi, muzium universal pertama yang memecah tembok halangan antara tamadun-tamadun berbeza. Ia akan dipamerkan bersama-sama koleksi kami yang kian bertambah, dan akan menjadi harta luar biasa yang pastinya akan dapat dinikmati oleh para pengunjung kami."

Muzium tersebut turut bersiap sedia untuk mengadakan pameran istimewa sulungnya, From One Louvre to Another: Opening a Museum for Everyone, pada 21 Disember 2017. Ia menjejak sejarah musée du Louvre di Paris pada abad ke-18. Dibahagikan kepada tiga bahagian, pameran tersebut akan menumpu pada koleksi diraja di Versailles di bawah Raja Louis XIV; residensi Academy dan Salons di Louvre, ditukar menjadi istana buat para seniman; dan akhirnya penciptaan musée du Louvre. Pameran tersebut akan memaparkan kira-kira 150 lukisan penting, arca, seni hiasan dan karya lain, kebanyakannya daripada koleksi musée du Louvre, dan juga daripada koleksi Château de Versailles.

Louvre Abu Dhabi mempunyai kawasan berkeluasan 6,000 meter persegi untuk galeri, pameran, Muzium Kanak-kanak untuk pelawat berusia 6 hingga 12 tahun, pusat penyelidikan, restoran, butik dan kafe. 'Bandar muzium' (madina Arab) oleh arkitek Jean Nouvel di bawah kubah berukuran 180 meter, terdiri daripada hampir 8,000 bintang logam yang disusun dalam corak geometri yang kompleks. Pelawat boleh berjalan-jalan di jalan pesisir yang menghadap lautan di bawah kubah tatkala cahaya matahari menapisinya, mewujudkan 'hujan cahaya yang bergerak, mengingatkan kepada pokok-pokok palma yang bertindihan di aosis dan souk (bazar) tradisional UAE.

LATAR BELAKANG JABATAN KEBUDAYAAN DAN PELANCONGAN 

Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan (DCT) memulihara dan mempromosikan warisan serta budaya emiriah Abu Dhabi dan memanfaatkannya dalam pembangunan destinasi terbilang yang bertaraf dunia dan lestari yang memperkaya kehidupan pelancong dan juga penduduknya. Jabatan ini mendorong sektor pelancongan emiriah dan memasarkan destinasi tersebut di peringkat antarabangsa melalui pelbagai aktiviti yang bertujuan untuk menarik pelancong dan juga pelaburan. Dasar, rancangan dan programnya dikaitkan dengan pemeliharaan warisan dan budaya, termasuk melindungi tapak arkeologi dan juga tapak bersejarah serta membina muzium-muzium termasuk Louvre Abu Dhabi, Muzium Negara Zayed serta Guggenheim Abu Dhabi. DCT menyokong aktiviti-aktiviti intelektual dan artistik serta acara-acara kebudayaan untuk memupuk persekitaran budaya yang beraneka dan memperingati warisan emiriah. Peranan utamanya adalah untuk mewujudkan sinergi dalam pembangunan destinasi melalui penyelarasan yang teliti bersama kumpulan pihak berkepentingan yang pelbagai.

LATAR BELAKANG LOUVRE ABU DHABI 

Louvre Abu Dhabi ialah sebuah muzium negara di Pulau Saadiyat mempamerkan karya seni dan artifak dari zaman purba hingga masa kini bagi meraikan pertukaran serta kepelbagaian budaya. Direka oleh arkitek Perancis Jean Nouvel, muzium ini menonjolkan madina (bandar) Arab dengan 23 galeri kekal, ruang pameran sementara, Muzium Kanak-kanak, auditorium, restoran, kedai runcit dan pusat penyelidikan. Dikelilingi oleh lautan, para pelancong boleh berjalan di jalan pesisir di bawah kubah muzium yang menakjubkan. Mereka boleh mengalami 'hujan cahaya Nouvel yang mempesonakan, diinspirasikan oleh bayang-bayang pokok-pokok palma yang bertindihan di oasis UAE yang istimewa, yang pernah menjadi laluan tempat para pengembara berselisihan.

Karya-karya seni yang dipamerkan berasal daripada tamadun seluruh dunia. Karya-karya seni ini dikumpulkan bagi mengetengahkan tema sejagat dan pengaruh yang serupa. Ini berbeza dengan kebanyakan muzium tradisional Barat yang jelas sekali membezakan objek daripada tamadun-tamadun berbeza. Tema-tema di Louvre Abu Dhabi termasuk: pemaparan kuasa; gambaran keindahan rohaniah; penerokaan kawasan-kawasan yang tidak dikenali; serta permulaan globalisasi. Louvre Abu Dhabi memperoleh lebih 620 objek setakat ini termasuk karya, siri dan koleksi individu. Sebahagian daripada koleksi ini akan dipamerkan bersama-sama 300 karya yang dipinjam daripada 13 institusi Perancis yang terkenal.

Louvre Abu Dhabi ditubuhkan hasil daripada satu perjanjian antara pemerintah, iaitu antara kerajaan Abu Dhabi dan Perancis pada tahun 2007. Perjanjian ini menetapkan bahawa nama Louvre dipinjam sepanjang tempoh 30 tahun; karya seni daripada institusi-institusi Perancis selama 10 tahun berasaskan pengurangan apabila koleksi kekal bertambah; dan pengaturcaraan pameran-pameran sementara selama 15 tahun.

Untuk maklumat lanjut tentang paparan: press@louvreabudhabi.ae

Sumber: Pelancongan & Budaya Abu Dhabi

Source: Abu Dhabi Culture & Tourism
Keywords: Amusement Parks and Tourist Attractions Art Entertainment Travel