omniture

Johnson & Johnson Umum Tawaran Yang Mengikat daripada Platinum Equity untuk Ambil Alih LifeScan, Inc.

Johnson & Johnson
2018-03-17 05:55 1099

NEW BRUNSWICK, New Jersey, 17 Mac 2018 /PRNewswire/ -- Johnson & Johnson (NYSE: JNJ) hari ini mengumumkan ia telah menerima tawaran yng mengikat daripada Platinum Equity, firma pelaburan persendirian yang terkemuka untuk mengambil alih perniagaan LifeScan pada kira-kira $2.1 bilion, tertakluk kepada pelarasan biasa. LifeScan, Inc. ialah peneraju bagi produk pemantauan glukosa darah yang mencatatkan pendapatan bersih tahun 2017 kira-kira $1.5 bilion.

"Produk pemantauan glukosa darah OneTouch® LifeScan memainkan peranan penting dalam kehidupan berjuta-juta pesakit yang menghidap diabetes, dan berikutan kajian semula yang menyeluruh terhadap semua pilihan strategik, kami yakin perniagaan tersebut akan mempunyai masa depan yang cerah bersama Platinum Equity," kata Ashley McEvoy, Pengerusi Kumpulan Syarikat, Peralatan Perubatan Pengguna, Johnson & Johnson. "Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pendekatan berdisiplin yang berterusan terhadap pengurusan portfolio bagi menumpu pada peluang-peluang kami yang paling cerah untuk membantu pesakit dan memacu pertumbuhan."

Kumpulan Syarikat Johnson & Johnson akan terus menyediakan perkhidmatan kepada mereka yang terjejas kesihatan akibat diabetes melalui produk, perkhidmatan dan penyelesaian inovatif daripada segmen perniagaan Peralatan Perubatan, Farmaseutikal dan Pengguna. Ini termasuk kepimpinan dan inovasi penting dalam bidang-bidang seperti pembedahan bariatrik dan melalui ubat-ubatan seperti INVOKANA® (canagliflozin) dan INVOKAMET® (canagliflozin/metformin HCl).

Tempoh penerimaan tawaran akan berakhir pada 15 Jun 2018, melainkan jika dilanjutkan, dan semasa tempoh tersebut, perundingan bersama majlis-majlis kerja yang berkaitan telahpun dirancang. Sekiranya tawaran ini diterima, urus niaga dijangka selesai menjelang akhir tahun 2018, tertakluk kepada syarat-syarat penutupan biasa yang dipenuhi. Urus niaga ini dipertimbangkan menurut panduan Syarikat yang disediakan pada 23 Januari 2018.

Latar Belakang LifeScan, Inc.
LifeScan, Inc. ialah peneraju dunia bagi pemantauan glukosa darah. Di AS, LifeScan, Inc. ialah pembangun sistem pemantauan glukosa darah yang terkemuka manakala produk-produk berjenama OneTouch® disyorkan oleh lebih ramai pakar endokrinologi dan pakar perubatan rawatan asas berbanding mana-mana jenama lain1. Di seluruh dunia, lebih 20 juta orang bergantung pada produk-produk berjenama OneTouch® bagi menjalankan ujian ringkas dan mendapatkan keputusan tepat demi membantu mereka mengurus penyakit diabetes mereka. Untuk maklumat lanjut, layari: http://www.onetouch.com/.

Latar Belakang Johnson & Johnson
Di Johnson & Johnson, kami percaya kesihatan yang baik menjadi asas bagi kehidupan yang berkualiti, masyarakat yang sejahtera dan kemajuan. Atas sebab inilah, selama lebih 130 tahun, kami menyasarkan untuk menjaga kesihatan orang ramai dengan baik pada setiap peringkat usia dan setiap tahap kehidupan. Hari ini, sebagai syarikat penjagaan kesihatan terbesar dan paling pelbagai di dunia, kami komited untuk memanfaatkan jangkauan dan keluasan syarikat kami untuk kebaikan. Kami berusaha untuk meningkatkan akses dan kebolehmampuan, mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan menjadikan minda, tubuh badan dan persekitaran yang baik dapat dicapai oleh semua orang, di mana-mana jua. Kami menyatukan hati, sains dan kebijaksanaan kami untuk membuat perubahan besar kepada trajektori kesihatan manusia.

Nota untuk Pelabur Berhubung Kenyataan Jangkaan
Siaran akhbar ini mengandungi "kenyataan jangkaan" seperti yang ditakrifkan dalam Akta Reformasi Litigasi Sekuriti Persendirian 1995 berkaitan divestitur perniagaan LifeScan. Pembaca diingatkan agar tidak bergantung pada kenyataan-kenyataan jangkaan ini. Kenyataan-kenyataan ini adalah berdasarkan jangkaan semasa terhadap peristiwa masa depan. Sekiranya andaian asas terbukti tidak tepat atau risiko atau ketidaktentuan yang diketahui atau tidak diketahui wujud, keputusan sebenar mungkin berbeza dengan ketara berbanding jangkaan dan unjuran terhadap Johnson & Johnson. Risiko dan ketidaktentuan termasuk, tetapi tidak terhad kepada: kemungkinan bahawa urus niaga tersebut tidak akan selesai, atau sekiranya selesai, tidak diselesaikan dalam jangka masa yang dijangkakan, dan potensi bahawa faedah atau peluang strategik yang dijangkakan daripada sebarang divestitur tidak dapat direalisasikan, atau memakan masa lebih lama untuk direalisasikan berbanding yang dijangkakan. Senarai dan perihalan lanjut risiko-risiko ini, ketidaktentuan dan faktor-faktor lain boleh ditemui dalam Laporan Tahunan Johnson & Johnson pada Borang 10-K untuk tahun fiskal berakhir pada 31 Disember 2017, termasuk dalam bahagian-bahagian bertajuk "Nota Peringatan Berhubung Kenyataan Jangkaan" dan "Item 1A. Faktor-faktor Risiko," dan dalam Laporan Suku Tahunan syarikat yang berikutnya pada Borang 10-Q dan fail-fail lain bersama Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa. Salinan fail-fail ini disediakan dalam talian di http://www.sec.gov/, http://www.jnj.com/ atau atas permintaan daripada Johnson & Johnson. Mana-mana kenyataan jangkaan yang dibuat dalam siaran akhbar ini hanya munasabah setakat tarikh siaran akhbar ini. Johnson & Johnson tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini mana-mana kenyataan jangkaan disebabkan oleh maklumat baharu atau peristiwa atau perkembangan masa depan.

1 Kajian Wawasan Ekuiti Jenama Global, Februari 2015

Source: Johnson & Johnson
Related Stocks:
NYSE:JNJ
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical Equipment Medical/Pharmaceuticals Acquisitions, mergers, takeovers