omniture

Jolywood Jalin Kerjasama dengan Solar Systems Bangunkan Tenaga Mampan Di Ukraine dan Negara-negara CIS

Jolywood
2018-03-20 09:29 807

TAIZHOU, China, 20 Mac 2018 /PRNewswire/ -- Jolywood (Taizhou) Solar Technology Co. Ltd ("Jolywood" atau "Syarikat"), peneraju bagi penyelidikan dan pembangunan serta pengeluaran besar-besaran sel solar dwimuka jenis-N, baru-baru ini memeterai satu perkongsian perniagaan dengan Solar Systems, LLC ("Solar Systems"), sebuah syarikat kejuruteraan Ukraine. Kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk mempromosikan produk solar dwimuka jenis-N berkecekapan tinggi yang dikeluarkan oleh Jolywood di negara-negara Eropah Timur dan Asia Barat serta berusaha memudahkan pewujudan masa depan yang mampan untuk penduduk tempatan. Mengikut perjanjian, Jolywood dan Solar Systems menyasarkan untuk mencapai jumlah jualan dan pemasangan panel solar dwimuka jenis-N berkecekapan tinggi 100 MW dalam tempoh tiga tahun.

Solar Systems menyediakan perkhidmatan kejuruteraan, perolehan dan pembinaan loji kuasa solar (SPP) dan telah mencari teknologi modul yang amat cekap dan termaju yang bertaraf dunia bagi menyiapkan projek-projek SPPnya di negara-negara termasuk Belarus, Kazakhstan, Ukraine, Uzbekistan dan lain-lain. Sel Solar Dwimuka Jenis-N yang dikeluarkan dan dibekalkan oleh Jolywood memenuhi keperluan mereka, memandangkan ia dapat meningkatkan rintangan yang lebih kuat untuk LID, mengekalkan prestasi yang lebih baik dalam keadaan malap dan berkos lebih rendah berbanding pilihan lain seperti modul jenis-P.

En. Liu Yong, Naib Presiden Jolywood, berkata: "Sel solar dwimuka jenis-N mempunyai banyak ciri yang dapat mengatasi jenis modul yang lain. Kami berasa amat teruja untuk menawarkan produk-produk terbaik kepada Solar Systems dan bekerjasama dengan mereka bagi membantu orang ramai di seluruh kawasan tersebut mewujudkan gaya hidup yang lebih mesra alam."

En. Andrii, Ketua Pegawai Eksekutif Solar Systems, berkata: "Kami berasa amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Jolywood. Jolywood ialah peneraju dalam industri dan produk dwimuka jenis-N mereka agak menarik untuk pasaran-pasaran yang disertai oleh kami, yang dapat membantu pelanggan kami mencapai tambahan hasil penjanaan sebanyak 10-30% daripada penghasilan bahagian belakang dan mencapai purata kos bekalan elektrik (LCOE) yang lebih rendah semasa kitar hayatnya. Kedua-dua pihak yakin dapat mencapai kejayaan hebat di kawasan-kawasan ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang."

Jolywood ialah peneraju dunia dalam pembangunan, pengeluaran dan pemasaran sel solar dwimuka jenis-N monohabluran berkecekapan tinggi. Syarikat merupakan Pengeluar Sel Dwimuka Jenis-N nombor satu di dunia.

Panel solar dwimuka jenis-N akan turut digunakan dalam projek-projek SPP yang diusahakan oleh Solar Systems. Solar Systems telahpun membekalkan 13MW peralatan solar kepada stesen solar Ukraine, dan setakat tahun 2018 ini, ia telah menandatangani perjanjian untuk membekalkan 26MW peralatan solar kepada stesen solar yang dipasang di tanah dan turut membuat persediaan untuk sistem atas bumbung 6MW yang bakal dibina tahun ini.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Jolywood bergiat aktif meluaskan jejak globalnya. Ia menandatangani satu perjanjian pengedaran bersama IMI Industry di Thailand, tahun lalu. Perkongsian bersama Solar Systems memperlihatkan satu lagi langkah penting, tatkala Jolywood berusaha untuk meninjau pasaran-pasaran di Eropah Timur dan juga Asia Barat.

Latar Belakang Solar Systems, LLC

Solar Systems ditubuhkan dengan tujuan untuk membangunkan tenaga alternatif di negara-negara CIS. Syarikat menumpu untuk memperkenalkan penyelesaian yang inovatif dan amat cekap dalam reka bentuk serta pembinaan loji kuasa solar (SPP).

Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.solarsystems.pro/en

Latar Belakang Jolywood (Taizhou) Solar Technology Co. Ltd.

Jolywood (Taizhou) Solar Technology, sebuah subsidiari teknologi fotoelektrik milik penuh Jolywood (Suzhou) Sunwatt Co. Ltd., terlibat dalam usaha penyelidikan & pembangunan, pengeluaran dan pemasaran sel solar, tenaga solar, silikon dan khidmat nasihat teknikal. Syarikat telah mengumpul teknologi-teknologi baharu sejak mula ditubuhkan dan memohon lebih 60 paten setakat ini, dengan 23 daripadanya diluluskan dengan jayanya. Ditubuhkan pada tahun 2008, Jolywood (Suzhou) Sunwatt Co. Ltd., ialah pengeluar profesional terbesar bagi lapisan belakang PV seluruh dunia, dengan kapasiti pengeluaran tahunan mencecah lebih 100 juta meter. Syarikat turut mengungguli industri solar global dengan 2.1GW kapasiti pengeluaran bagi sel solar dwimuka jenis-N.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://en.jolywood.cn/

 

Source: Jolywood
Keywords: Alternative Energies Electrical Utilities Environmental Products & Services Green Technology Oil/Energy Utilities Licensing/marketing agreements