omniture

Bourns Ambil Alih Komatsulite Mfg. Co., Ltd

Bourns, Inc.
2014-12-04 03:04 81

RIVERSIDE, California, 3 Disember 2014 /PRNewswire/ -- Bourns, Inc., pengeluar dan pembekal terkemuka bagi komponen elektronik, hari ini mengumumkan ia telah mengambil alih kesemua baki saham milik Komatsulite Mfg. Co., Ltd dan syarikat subsidiarinya. Komatsulite yang beribu pejabat di Osaka, Jepun, ialah peneraju dalam bidang peranti keselamatan untuk bateri litium-ion boleh cas semula. Syarat transaksi itu tidak dinyatakan.

Gordon Bourns, Pengerusi Lembaga dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Bourns, Inc., berkata, "Pengambilalihan Komatsulite merupakan pencapaian penting untuk perkembangan jangka panjang Bourns yang turut menambahkan produk yang amat melengkapi, selari dengan pelan hala tuju strategik kami."

Peranti pemutus mini yang inovatif oleh Komatsulite menambahkan jangka hayat bateri, membolehkan penghasilan arus tinggi dan juga proses mengecas semula yang pantas, di samping menyediakan mekanisme yang berkesan untuk perlindungan daripada keadaan suhu melampau. Komatsulite turut menghasilkan penyambung khas dan pelbagai pilihan komponen beracuan jitu untuk peralatan elektronik. Melalui empat kemudahan pengeluaran di Jepun dan satu kemudahan di China, Komatsulite berjaya menjana lebih $100 juta perolehan pada setiap tahun.

Menurut Dr. Erik Meijer, Presiden Bourns Electronics, pengambilalihan ini membolehkan Bourns menawarkan pilihan pelindung yang menarik, dengan menggabungkan suis dwi-logam dan termistor. "Pengenalan teknologi komponen baharu dalam bidang peranti keselamatan jarang berlaku dan kami amat teruja dengan penambahan produk pemutus mini daripada Komatsulite kepada pelbagai pilihan teknologi perlindungan kami," kata Dr. Meijer. "Dengan lebih 30 tahun pengalaman dalam pasaran dan pelbagai produk inovatif yang dihasilkan sendiri dan diambil alih, Bourns komited untuk membekalkan penyelesaian elektronik terbaik dan paling andal bagi memenuhi pelbagai keperluan para pelanggan kami."

Yoichi Yoshimura, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Komatsulite Mfg. Co., Ltd, berkata, "Gabungan bersama Bourns adalah baik untuk para pelanggan Komatsulite yang kini bukan sahaja akan beroleh manfaat daripada peranti beracuan jitu kami yang unggul bahkan mereka juga beroleh capaian kepada jaringan sokongan teknikal dan jualan global meluas milik Bourns. Pasukan kami teruja untuk menyertai Bourns dan menerokai peluang baharu untuk perniagaan Komatsulite."

Latar Belakang Bourns
Bourns, Inc., merupakan pengeluar dan pembekal terkemuka bagi alat pengesan kedudukan dan kelajuan, penyelesaian perlindungan litar, komponen magnetik, modul mikroelektronik, kawalan panel dan juga produk rintangan. Bourns yang beribu pejabat di Riverside, California, Amerika Syarikat ini menyediakan perkhidmatan untuk pelbagai pasaran, termasuk automotif, perindustrian, pengguna, komunikasi, perubatan sokongan hayat tidak kritikal, audio serta pelbagai lagi segmen pasaran yang lain. Maklumat tambahan syarikat dan produk boleh didapati di www.bourns.com

Latar Belakang Komatsulite
Komatsulite Mfg. Co., Ltd, ialah pakar pengeluar komponen beracuan jitu untuk industri elektronik dan juga merupakan pembekal utama peranti pemutus mini yang digunakan sebagai peranti keselamatan terutamanya di dalam bateri dengan kebolehan untuk mengganggu aliran arus sekiranya terdapat pusuan kuasa elektrik atau suhu yang melampau. Maklumat lanjut boleh didapati di www.komatsulite.co.jp.

Maklumat Perhubungan Agensi:
Annette Keller
Keller Communication.
+1 (707) 947-7232
annettekeller@sbcglobal.net

Source: Bourns, Inc.
Related Links:
Keywords: Computer/Electronics Electronic Components Semiconductors Acquisitions, mergers, takeovers