omniture

Neusoft Bekerjasama dengan Hony Capital dan Goldman Sachs untuk Mewujudkan Juara Baharu dalam Komuniti Penjagaan Kesihatan Global

Neusoft perkenalkan pelabur strategik bagi peralatan perubatan dan perniagaan pengurusan penjagaan kesihatan untuk mewujudkan momentum baharu bagi pertumbuhan akan datang serta mempercepatkan kehadirannya dalam pasaran penjagaan kesihatan global.
Neusoft Corporation
2014-12-15 11:25 118

BEIJING, 15 Disember 2014 /PRNewswire/ -- Neusoft Corporation (SSE: 600718), penyedia penyelesaian dan perkhidmatan IT utama di China, mengumumkan hari ini Neusoft ingin menandatangani satu perjanjian dengan Hony Capital, Goldman Sachs, Neusoft Holdings dan pelabur-pelabur lain, untuk membuat pelaburan dalam dua anak syarikat Neusoft, Neusoft Medical Systems Co., Ltd. ("Neusoft Medical Systems") dan Neusoft Xikang Healthcare Technology Co., Ltd. ("Neusoft Xikang"). Pengumuman ini menunjukkan Neusoft akan memanfaatkan kuasa pasaran modal untuk terus menggalakkan perubahan model perniagaan, dan membina sebuah platform terbuka bagi perniagaan penjagaan kesihatannya bersama pelabur strategik untuk mempercepatkan proses peluasan dalam pasaran penjagaan kesihatan global yang dinamik. Menurut statistik, pusingan pembiayaan ini bagi Neusoft Medical Systems dan Neusoft Xikang akan mencipta rekod baharu sebagai pembiayaan tunggal terbesar dalam industri peralatan perubatan China serta sektor Pengurusan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan berasaskan Internet, manakala pembiayaan Neusoft Xikang akan menjadi antara pembiayaan tunggal terbesar dalam sektor perubatan dan pengurusan penjagaan kesihatan berasaskan Internet global.

Hony Capital, Goldman Sachs, Neusoft Holdings, Canada Pension Plan Investment Board (CPPIB), Frontline BioVentures dan pelabur-pelabur lain akan melabur sebanyak 1.6 bilion RMB kepada Neusoft Medical Systems, dan juga membelanjakan 1.13 bilion RMB untuk membeli sebahagian ekuiti dalam Neusoft Medical Systems daripada Neusoft Corporation. Manakala Hony Capital, Goldman Sachs, Neusoft Holdings dan pelabur-pelabur lain akan melabur sebanyak 170 juta USD kepada Neusoft Xikang. Kedua-dua Neusoft Medical Systems dan Neusoft Xikang akan menentukan skim insentif saham bagi pasukan pengurusan dan kakitangan penting. Setelah penyempurnaan urus niaga tersebut, Neusoft Corporation akan kekal menjadi pemegang saham terbesar Neusoft Medical Systems dan Neusoft Xikang, masing-masing memegang sebanyak 33.35% dan 32.81% ekuiti.

Sebagai penyedia peralatan pengimejan perubatan digital utama di China, Neusoft Medical Systems telah berjaya membangunkan siri produk pengimejan perubatan,seperti CT, MRI, Sinar X, Ultrabunyi dan PET dll. Produk-produknya telah berjaya dijual di lebih 90 buah negara dan wilayah seluruh dunia, memberi khidmat kepada hampir 8,000 institusi perubatan di serata dunia.

Neusoft Xikang berdedikasi untuk menjadi penyedia utama global bagi perkhidmatan perubatan dan pengurusan penjagaan kesihatan berasaskan awan. Berasaskan model O2O, ia membina sebuah ekosistem bagi pengurusan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan perubatan dengan menghubungkan institusi perubatan, para doktor, keluarga serta individu melalui teknologi data besar, pengkomputeran awan, Internet Perkara (Internet of Things), dan juga Internet mudah alih. Kini, Neusoft Xikang sedang mempromosikan inisiatif "Bandar Sihat dan "Komuniti Sihat" di lebih 30 buah bandar di China serta telah membina rangkaian perkhidmatan meliputi lebih 5,000 komuniti bandar dan juga luar bandar serta memberi manfaat kepada lebih 20 juta populasi.

Dengan memperkenalkan pelabur strategik yang mempunyai sumber dan pengalaman penting dalam industri penjagaan kesihatan, Neusoft bukan sahaja akan memperoleh sokongan kewangan serta sumber bagi perniagaan penjagaan kesihatannya, tetapi juga menentukan model perniagaan berbeza untuk pelbagai perniagaan bagi menjana nafas baharu bagi pertumbuhan. Usaha ini akan menjadi sebahagian daripada strategi baharu Neusoft untuk menyokong perniagaannya yang pelbagai, termasuk penyelesaian IT, peralatan perubatan, perniagaan perubatan dan pengurusan kesihatan berasaskan awan, bagi menjadikan struktur pemilikan ekuiti serta sistem insentif lebih sepadan dengan model perniagaan. Pada masa yang sama, dengan memanfaatkan dana yang diterima daripada pemindahan ekuiti Neusoft Medical System, Neusoft Corporation akan melabur lebih lagi dalam data besar, teknologi awan dan penyelesaian Internet, untuk mempertingkatkan kedudukan pasaran utamanya serta menjamin pertumbuhan lestari pada masa akan datang.

Dr. Liu Jiren, Pengerusi & Ketua Pegawai Eksekutif Neusoft berkata: "Pusingan pembiayaan ini akan membebaskan tenaga yang telah dikumpulkan Neusoft pada tahun-tahun sebelumnya dalam peralatan perubatan dan pengurusan kesihatan, yang juga akan menjadi langkah strategik bagi Neusoft menentukan model perniagaan serta insentif berbeza untuk memaksimumkan nilai perniagaannya. Neusoft Medical Systems dan Neusoft Xikang akan mendapat momentum baharu untuk pertumbuhan dengan menyepadukan sepenuhnya sumber serta pengalaman Hony Capital, Goldman Sachs dan juga pelabur-pelabur strategik lain, serta menyumbang dengan lebih banyak kepada industri perubatan dan penjagaan kesihatan. Penstrukturan semula ini akan menjadi titik perubahan bersejarah bagi pembangunan Neusoft, dan kami berdedikasi untuk menjadi penginovasi aktif bagi penggunaan Internet perindustrian serta peneraju dalam perkhidmatan perubatan dan penjagaan kesihatan berasaskan awan."

En. John Zhao, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hony Capital berkata: "Industri penjagaan kesihatan merupakan salah satu tumpuan utama Hony Capital memandangkan kami telah meluangkan selama sepuluh tahun dalam pelaburan farmaseutikal, peralatan perubatan dan khidmat perubatan. Kerajaan pusat China telah menggalakkan kuasa pasaran dengan pelarasan dasar, dan masyarakat menjadi semakin prihatin terhadap kualiti hidup pada masa kini. Ini menjadikan gabungan antara kesihatan dan Internet mudah alih sesuatu yang amat berpotensi. Neusoft amat berpengalaman dalam teknologi maklumat dan industri penjagaan kesihatan. Dr. Liu Jiren, tidak syak lagi, merupakan seorang usahawan yang kreatif dan inovatif. Hony yakin terhadap potensi pasaran Neusoft Medical Systems dan Neusoft Xikang dalam peralatan perubatan serta pengurusan penjagaan kesihatan. Kami telah melabur dalam beberapa syarikat farmaseutikal dan hospital, serta tidak sabar untuk bekerjasama dengan Neusoft bagi terus mengukuhkan industri-industri ini. Bersama Neusoft, Hony komited untuk menyokong perusahaan China untuk menjadi "pengeluar produk" dan penyedia perkhidmatan utama dalam pasaran global."

Cik Stephanie Hui, Rakan Kongsi dan Pengarah Urusan Goldman Sachs berkata teknologi maklumat baharu sedang membentuk semula industri penjagaan kesihatan global secara dramatik, terutamanya dalam pasaran baharu yang pesat membangun. Pelaburan oleh Goldman Sachs dalam Neusoft Medical Systems dan Neusoft Xikang adalah berdasarkan jangkaan kami terhadap pasaran dinamik peralatan perubatan dan pengurusan penjagaan kesihatan, serta potensi masa hadapan bagi perusahaan utama China dalam bidang ini. Kami akan membantu mempercepatkan pembangunan Neusoft Medical Systems dan Neusoft Xikang dengan memanfaatkan sumber serta pengalaman kami dalam pasaran antarabangsa.

Mengulas tentang pelaburan dalam Neusoft Medical Systems, Cik Suyi Kim, Pengarah Urusan Ekuiti Persendirian Asia di CPPIB berkata, "Kami meyakini potensi pertumbuhan jangka panjang industri penjagaan kesihatan China dengan pendorong asas yang kukuh. Neusoft Medical Systems telah meletakkan dirinya sebagai pemain domestik utama dalam sektor ini dengan kemampuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kukuh, jenama yang terkenal, penawaran produk berkualiti tinggi serta pasukan pengurusan yang berwibawa.

Latar Belakang Neusoft Corporation

Sebagai penyedia perkhidmatan dan penyelesaian IT, Neusoft menyediakan penyelesaian serta perkhidmatan berasaskan teknologi maklumat yang inovatif untuk memenuhi keperluan yang terhasil daripada perubahan sosial, bagi membentuk gaya hidup baharu dan juga mencipta nilai bagi masyarakat. Dengan memberi tumpuan terhadap teknologi perisian, Neusoft membekalkan penyelesaian industri dan penyelesaian kejuruteraan produk, produk serta platform perisian berkaitan, dan juga perkhidmatan. Ditubuhkan di China pada 1991, Neusoft mempunyai 20,000 kakitangan di seluruh dunia pada hari ini, dan mempunyai 10 tapak R&D perisian dan rangkaian pemasaran serta perkhidmatan yang menyeluruh meliputi lebih 60 buah bandar di seluruh China, selain anak-anak syarikat di Amerika Syarikat, Jepun, Eropah, Timur Tengah, Amerika Selatan, dll. Ia merupakan syarikat perisian pertama yang tersenarai di China, juga syarikat pertama China dalam industri yang menerima pensijilan CMM Tahap 5 dan CMMI V.1.2 Tahap 5. Sebarang maklumat lanjut, sila lawati: www.neusoft.com.

Latar Belakang Hony Capital

Hony Capital, ditubuhkan pada 2003 dan ditaja oleh Legend Holdings Corporation, mengkhusus dalam pelaburan ekuiti persendirian. Ia menumpukan terhadap pasaran China melalui "penciptaan nilai dengan menyediakan perkhidmatan bernilai tambah" sebagai falsafah pelaburannya. Hony Capital kini menguruskan tujuh dana ekuiti persendirian (lima dana USD dan dua dana RMB) serta satu dana mezanin RMB dengan lebih 7.0 bilion USD aset dalam pengurusan. Ia telah melabur dalam hampir 80 buah syarikat bagi bidang farmaseutikal dan penjagaan kesihatan, mesin serta peralatan, produk dan juga saluran pengguna, media dan hiburan, perkhidmatan kewangan serta lain-lain. Hony Capital dikenali sebagai "pakar penstrukturan semula SOE" atas kejayaannya menstrukturkan semula SOE dan penerokaan pemilikan bercampur. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ia juga telah mengamalkan secara proaktif pelaburan dalaman merentas sempadan dan sentiasa menggalakkan inovasi dasar serta kewangan. Sebarang maklumat lanjut, sila lawati www.honycapital.com.

Latar Belakang Goldman Sachs Group

Goldman Sachs Group, Inc. merupakan sebuah syarikat perbankan pelaburan, sekuriti dan pengurusan pelaburan global utama yang menyediakan pelbagai khidmat kewangan yang luas kepada kumpulan pelanggan yang penting serta pelbagai termasuklah perbadanan, institusi kewangan, kerajaan dan juga individu berpendapatan bersih tinggi. Diasaskan pada 1869, syarikat tersebut beribu pejabat di New York dan mempunyai pejabat di semua pusat kewangan utama di seluruh dunia.

Latar Belakang Canada Pension Plan Investment Board

Canada Pension Plan Investment Board (CPPIB) merupakan sebuah organisasi pengurusan pelaburan profesional yang melaburkan dana yang tidak diperlukan oleh Canada Pension Plan (CPP) untuk membayar faedah semasa bagi pihak 18 juta pencarum dan penerima Kanada. Bagi membina portfolio pelbagai aset CPP, CPPIB melabur dalam ekuiti awam, ekuiti persendirian, hartanah, infrastruktur dan peralatan berpendapatan tetap. Beribu pejabat di Toronto, dengan pejabat-pejabatnya di Hong Kong, London, New York dan São Paulo, CPPIB ditadbir serta diuruskan secara bebas daripada Canada Pension Plan dan juga terpisah daripada kerajaan. Pada 30 September, 2014, Dana CPP adalah berjumlah C$234.4 bilion. Sebarang maklumat lanjut, sila lawati www.cppib.com.

Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi:

Evelyn Tang
Pusat Pengurusan Penjenamaan & Pemasaran
Neusoft Corporation
Talian: +86-24-8366-5663
E-mel: tangyi@neusoft.com

Source: Neusoft Corporation
Keywords: Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Health Care/Hospital Internet Technology Medical Equipment Joint ventures