omniture

Persekutuan Jantung Dunia: Tembakau Bertanggungjawab Terhadap Lebih Satu dalam Sepuluh Kematian Akibat Penyakit Kardiovaskular

Persekutuan Jantung Sedunia
2018-05-29 08:30 1145

GENEVA, 29 Mei 2018 /PRNewswire/ --

  • Tema Hari Tanpa Tembakau Sedunia WHO 2018 pada 31 Mei ialah: "Tembakau musnahkan jantung, pilihlah kesihatan dan bukan tembakau"
  • Tabiat merokok dikaitkan dengan hampir 7 juta kematian global setahun dan merupakan faktor risiko bebas dan utama untuk infarksi miokardium, strok, kegagalan jantung dan kualiti hidup yang rendah
  • Persekutuan Jantung Dunia bekerjasama dengan WHO sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia bagi meningkatkan kesedaran berhubung perkaitan antara tembakau dan CVD serta bagi menggalakkan manfaat segera dan jangka panjang berhenti merokok

Hari Tanpa Tembakau Sedunia ialah satu inisiatif oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang akan diadakan pada 31 Mei dan tahun ini akan menumpu pada peningkatan kesedaran mengenai perkaitan antara tembakau dan penyakit kardiovaskular (CVD). Tembakau dikaitkan dengan hampir 7 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun, berkait rapat dengan penggunaan tembakau dan pendedahan tidak langsung kepada asap rokok.

Tabiat merokok merosakkan saluran darah dan memekatkan darah. Ia meningkatkan kadar aliran darah dan tekanan darah serta menggantikan oksigen, menjadikannya faktor risiko penting dalam perkembangan penyakit koronari, strok dan penyakit vaskular periferi. Di samping itu, ia merupakan penyebab kedua paling prevalen bagi CVD selepas hipertensi. Memandangkan CVD menjadi penyebab kematian nombor satu di dunia, Persekutuan Jantung Dunia (WHF) memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Meskipun orang ramai sudah biasa dengan impak yang dibawakan oleh tembakau terhadap kesihatan, WHO menekankan hakikat bahawa ia jarang sekali dilihat sebagai salah satu punca utama CVD. Menurut Presiden WHF Profesor David Wood: "Penggunaan tembakau merupakan risiko utama yang boleh dielakkan untuk kesihatan kardiovaskular. Atas sebab ini, menjadi tanggungjawab kami untuk membantu pesakit kami yang mengalami penyakit jantung untuk berhenti merokok dan juga pesakit dengan risiko tinggi mengalami serangan jantung atau strok bagi membantu mereka agar turut berhenti. Dengan melakukan sedemikian, kami dapat membantu semua pesakit kami mengurangkan risiko mereka, namun lebih penting, kami perlu meningkatkan kesedaran dan mendidik orang awam tentang kesan tembakau terhadap jantung kita dan paling penting, kepentingan agar kanak-kanak dan golongan muda tidak terjebak dengannya."

Hampir 80% daripada satu bilion perokok seluruh dunia menetap di negara-negara berpendapatan sederhana dan lebih rendah yang mana beban penyakit dan kematian yang dikaitkan dengan tembakau adalah lebih besar. Atas sebab ini, WHF, menerusi dasar "Kerana setiap denyutan jantung bermakna" mempromosikan agenda akses yang lebih luas terhadap penjagaan dan pencegahan, kawalan dan pengurusan penyakit kardiovaskular untuk semua, tanpa mengira kedudukan atau keadaan, dengan objektif untuk melanjutkan dan menambah baik kualiti hidup.

"Kami amat yakin dengan keperluan untuk terus menekankan risiko tembakau terhadap kesihatan jantung dan peredaran darah. Dengan menghimpunkan ahli profesional rawatan kesihatan, kerajaan, institusi, industri dan orang awam dalam satu usaha yang sama, kita dapat terus mendidik orang ramai tentang bahaya tembakau dan gaya hidup yang tidak sihat, serta menggalakkan keperluan terhadap akses penjagaan sejagat," tambah Prof. Wood. Bagi membantu usaha pendidikan ini, tidak lama lagi WHF akan mengeluarkan dua lembaran maklumat tentang usaha berhenti merokok: satu untuk orang awam dan satu untuk ahli-ahli profesional.

Pada 29 September, WHF akan meraikan Hari Jantung Sedunia dengan objektif untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan kardiovaskular global. Salah satu pesanan utama adalah berkisarkan faedah-faedah kesihatan segera dan jangka panjang hasil daripada berhenti merokok:

  • Hanya dalam masa 20 minit, kadar denyutan jantung dan tekanan darah menurun
  • 12 jam setelah berhenti merokok, tahap karbon monoksida di dalam darah menurun dan kembali pada paras normal
  • Antara 2 hingga 12 minggu, peredaran darah akan bertambah baik dan fungsi pulmonari meningkat
  • Sepanjang 9 bulan pertama, batuk dan sesak nafas berkurangan
  • Setahun selepas berhenti merokok, risiko menghidap penyakit koronari adalah kira-kira separuh daripada risiko yang dialami perokok
  • Antara 5 dan 15 tahun selepas berhenti merokok, risiko mengalami kemalangan serebrovaskular menurun kepada kadar risiko yang dialami bukan perokok
  • 15 tahun selepas berhenti merokok, risiko mengalami penyakit koronari bersamaan dengan risiko yang dialami bukan perokok
Source: Persekutuan Jantung Sedunia
Keywords: Health Care/Hospital Survey, Polls & Research