omniture

Nikmati percutian anda di Korea dengan Minggu Restoran Halal 2018

Korea Tourism Organization
2018-07-30 08:00 1133

- Korea akan mengadakan acara promosi 'Minggu Restoran Halal Korea' anjuran KTO bagi memberi diskaun daripada restoran mesra umat Islam dan tarikan pelancong utama.

- 'Festival Makanan Halal' bagi memperkenalkan infrastruktur mesra umat Islam Korea akan turut diadakan semasa tempoh promosi tersebut.

SEOUL, Korea Selatan, 30 Julai 2018 /PRNewswire/ -- Pertubuhan Pelancongan Korea (Presiden, Ahn Young-bae, selanjutnya KTO) akan menganjurkan acara promosi Minggu Restoran Halal mulai 16 Ogos hingga 14 Oktober, selama 60 hari bagi menarik lebih ramai pelancong beragama Islam ke Korea, yang merupakan pasaran baru muncul untuk industri pelancongan dalam negara Korea.

Ini merupakan tahun ketiga acara promosi Minggu Restoran Halal Korea tahunan diadakan sejak pelancaran sulungnya pada tahun 2016. Acara tersebut diwujudkan untuk memberi diskaun harga dan pelbagai faedah lain kepada pelancong asing termasuk umat Islam apabila mereka mengunjungi restoran-restoran mesra orang Islam yang ditetapkan oleh KTO, tarikan pelancong utama dan program pengalaman.

Minggu Restoran Halal Korea bukan sahaja merupakan promosi diskaun biasa untuk pelancong asing, tetapi juga merupakan tempoh perhubungan awam yang intensif untuk infrastruktur mesra umat Islam Korea. Malahan, kebanyakan umat Islam yang mengunjungi Korea mengalami kesukaran lantaran kekurangan restoran-restoran yang boleh diharap untuk menyajikan hidangan halal atau makanan yang dapat dinikmati oleh mereka tanpa berasa gusar. Dengan itu, KTO berusaha membina reputasi Korea sebagai salah satu destinasi mesra umat Islam dengan menyediakan pelancong asing dengan maklumat dan pelbagai faedah daripada restoran-restoran yang dipercayai.

Tahun ini, sejumlah 147 rakan kongsi (123 restoran mesra umat Islam, 24 tarikan pelancong utama dan program pengalaman), dengan peningkatan 27 rakan kongsi berbanding tahun lalu, akan menyertai acara promosi ini. Oleh itu, pelancong asing termasuk umat Islam akan berupaya mengambil peluang mendapatkan diskaun harga dan faedah-faedah lain sepanjang tempoh acara berkenaan.

KTO akan mengedarkan buku kupon Minggu Restoran Halal Korea melalui cawangan-cawangan luar negara utama mereka yang terletak di Singapura, Kuala Lumpur, Jakarta, Bangkok, New Delhi, Dubai, Istanbul dan Almaty. Buku kupon ini menyertakan 3,000KRW dan 10,000KRW kupon diskaun yang dapat digunakan di restoran-restoran, tarikan pelancong serta aktiviti-aktiviti lain yang telah dikhususkan yang mesra umat Islam. Tahun ini, khususnya lebih 30 restoran mesra umat Islam akan menyajikan menu pratetap istimewa yang mana pengunjung boleh menggunakan kupon 10,000KRW bagi mendapatkan diskaun harga. Kupon diskaun boleh dimuat turun dengan mudah di laman sesawang rasmi. (www.hrwkorea.or.kr / komputer meja dan mudah alih kedua-duanya tersedia).

Di samping itu, KTO akan turut menganjurkan Festival Makanan Halal 2018, acara permulaan bagi Minggu Restoran Halal Korea, di Dewan A di COEX, Daerah Gangnam-gu, Seoul selama tiga hari bermula pada 16 hingga 18 Ogos. Semasa acara ini berlangsung, demonstrasi memasak istimewa daripada cef-cef beragama Islam dan kelas-kelas memasak untuk mempelajari bagaimana menyajikan hidangan gabungan halal Korea akan diadakan sebagai acara utama. Dalam tempoh yang sama, Ekspo Perdagangan Halal Korea, satu pameran perdagangan industri halal, akan diadakan serentak dan beberapa program seperti pertemuan perniagaan untuk industri halal dan acara kebudayaan akan turut dipersiapkan. Mereka yang ingin menyertai acara festival tersebut boleh mendaftar untuk kemasukan percuma terlebih dahulu melalui laman web rasmi.

KTO mengadakan pelbagai aktiviti pemasaran untuk meluaskan dan mempelbagaikan pasaran pelancongan dalam negara Korea, menumpu perhatian terhadap nilai-nilai strategik untuk pasaran pelancong umat Islam. Menurut Indeks Pengembaraan Umat Islam Global 2018, anggaran 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia akan mencatatkan sekitar 300 bilion USD bagi perbelanjaan perjalanan menjelang tahun 2026, menekankan nilai-nilai strategik mereka khususnya untuk pasaran pelancongan dalam negara bagi setiap negara. Sememangnya, bilangan pengunjung beragama Islam ke Korea terus meningkat kepada sekitar 990,000 orang pada tahun 2016, iaitu hampir 1 juta orang. Bahagian pasaran mereka untuk pelancongan dalam negara Korea terus berkembang sehingga 6.5%.

KTO juga berusaha untuk meluaskan infrastruktur bagi menarik lebih ramai pengunjung beragama Islam seperti restoran-restoran mesra umat Islam yang ditetapkan dan surau yang kebanyakannya diwujudkan di lokasi tarikan pelancong popular, kemudahan pengangkutan dan penginapan di seluruh negara. Bagi meningkatkan tahap kepuasan pengalaman pelancong beragama Islam di Korea, mereka sentiasa mengadakan pelbagai program jelajah khas berdasarkan kebudayaan Korea dan kandungan bernilai tambah seperti K-Drama, K-Pop dan pelancongan perubatan. Melalui usaha-usaha ini, KTO komited untuk merealisasikan matlamat jangka sederhana dan jangka panjang bagi menarik lebih 1 juta pengunjung beragama Islam setiap tahun dengan meningkatkan tahap kesedaran Korea sebagai salah satu destinasi mesra umat Islam di dunia.

Source: Korea Tourism Organization
Keywords: Amusement Parks and Tourist Attractions Food/Beverages Restaurants Travel Future Events