omniture

Pertubuhan-pertubuhan Pemuliharaan Antarabangsa Ganding Bahu Selamatkan Badak Sumatera

National Geographic Society
2018-09-24 11:40 1070

Global Wildlife Conservation, International Rhino Foundation, International Union for Conservation of Nature, National Geographic Society, dan WWF bekerjasama lancar Misi Menyelamat Badak Sumatera

WASHINGTON, 24 September 2018 /PRNewswire/ -- Hari ini, menjelang Hari Badak Sedunia pada 22 September, lima pertubuhan pemuliharaan antarabangsa yang terkemuka di dunia mengumumkan pemeteraian satu perkongsian strategik rintis bagi menyelamatkan badak Sumatera yang amat terancam daripada pupus. Usaha ini, yang diwujudkan bagi menyokong program pembiakan pemuliharaan badak Sumatera kebangsaan Kerajaan Indonesia, diketuai oleh Species Survival Commission daripada International Union for Conservation of Nature, dengan kerjasama Global Wildlife Conservation, International Rhino Foundation, National Geographic Society, dan WWF.

Dengan bilangannya kurang daripada 80 ekor badak Sumatera yang tinggal di dunia, spesies ini berhadapan dengan titik krisis. Tanpa campur tangan, badak Sumatera tidak lama lagi bakal pupus. Setelah berdekad-dekad diburu secara haram dan kehilangan habitat, ancaman terbesar yang dihadapi oleh spesies iniadalah jarak yang memisahkan populasi kecil mereka. Sukar mencari pasangan, banyak badak Sumatera dalam umur yang boleh membiak mengalami risiko kemandulan akibat pengasingan yang lama. Dalam kumpulan kecil semasa mereka yang terpecah-pecah dan bertaburan di dua pulau Indonesia yang luas, harapan untuk kelangsungan hidup badak ini bergantung pada keupayaan para penyokong pemuliharaan untuk mencari dan menempatkan semula badak secara selamat ke kemudahan-kemudahan khusus yang diwujudkan bagi tujuan penjagaan badak-badak tersebut.

"Cabaran getir ini tidak dapat ditangani dengan jayanya oleh sebuah pertubuhan bersendirian. Di Suruhanjaya Kelangsungan Hidup Spesies IUCN, kami berbangga dapat mengumpulkan perikatan yang kuat dan luar biasa ini serta yakin bahawa kami dapat melihat badak Sumatera untuk membiak sekali lagi," kata Jon Paul Rodríguez, pengerusi Suruhanjaya Kelangsungan Hidup Spesies IUCN.

"Usaha menyelamatkan badak Sumatera daripada pupus menjadi keutamaan yang amat tinggi untuk kerajaan Indonesia," kata Wiratno, Ketua Pengarah Pemuliharaan Alam Semula Jadi dan Ekosistem, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, Kerajaan Indonesia. "Dengan menjalin kerjasama bersama pakar-pakar pemuliharaan spesies dan pihak-pihak berkuasa tempatan serta masyarakat demi menyokong kempen dan meningkatkan kesedaran, kami telah menyediakan Pelan Tindakan Kecemasan untuk badak tersebut yang menggesa penubuhan program pembiakan pemuliharaan kebangsaan. Projek Menyelamat Badak Sumatera akan menjadi kepentingan kritikal dalam usaha ini dan kami mengalu-alukan sokongan daripada gabungan organisasi ini dari seluruh dunia."

Sejak peringkat awal gerakan pemuliharaan, pertubuhan-pertubuhan individu serta para penyelidik telah berusaha untuk menyelamatkan dan melindungi spesies-spesies di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, pertubuhan-pertubuhan pemuliharaan kadang kala bersaing antara satu sama lain bagi mendapatkan pembiayaan, sumber, kepakaran dan akses terhadap haiwan yang ingin diselamatkan oleh mereka. Misi Menyelamat Badak Sumatera menyatukan NGO antarabangsa dan Indonesia untuk mewujudkan dan melaksanakan pelan kerjasama bagi menyelamatkan spesies tersebut, saling bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi pelaksana di lapangan dan membuat penyelarasan bersama yang erat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan untuk menyingkirkan halangan-halangan tradisional ini bagi mencapai kejayaan.

"Matlamat bersama kami untuk menubuhkan program pembiakan pemuliharaan untuk spesies dengan menghimpunkan haiwan yang tidak dapat membiak di habitat liar akan menjurus kepada suatu yang saya harap dapat saya saksikan dalam hidup saya: satu generasi badak Sumatera yang seterusnya," kata Barney Long, pengarah kanan pemuliharaan spesies di Global Wildlife Conservation.

Misi Menyelamat Badak Sumatera akan memudahkan aktiviti-aktiviti dalam tiga aspek utama bagi pemuliharaan dan penjagaan spesies:

  • Pembinaan Kapasiti: Menubuhkan dua Pusat Perlindungan Badak Sumatera baharu di Indonesia, satu di Borneo Indonesia dan satu lagi di Sumatera utara serta meluaskan kemudahan sedia ada di Taman Negara Way Kambras;  
  • Mencari dan Menyelamat: Menjalankan operasi mencari dan menyelamat untuk memindahkan badak Sumatera yang terasing ke kemudahan-kemudahan pembiakan pemuliharaan terurus; dan
  • Penjagaan dan Perlindungan: Memasukkan badak dalam satu program pembiakan pemuliharaan yang menggunakan teknik penjagaan veterinar dan penternakan terkini yang direka untuk memaksimumkan pertumbuhan populasi.

"Berdekad-dekad menjalankan penyelidikan, latihan dan kemajuan saintifik menandakan bahawa perikatan ini bukan sekadar menawarkan peluang kelangsungan hidup terbaik untuk badak Sumatera, inilah satu-satunya peluang yang ada," kata Rizal Malik, Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Indonesia.

"Kami memanfaatkan pengalaman kami selama lebih 22 tahun dalam menyelenggara dan membiak badak Sumatera dalam tempat kurungan dan menggunakan teknik-teknik yang pertama kali disempurnakan di Zoo & Taman Botani Cincinnati yang telah dilaksanakan di Pusat Perlindungan Badak Sumatera di Taman Negara Way Kambas," kata Susie Ellis, pengarah eksekutif International Rhino Foundation. "IRF yakin bahawa projek ini dapat membantu memulihkan situasi sukar yang dihadapi oleh badak Sumatera."

Usaha yang bercita-cita tinggi ini akan memerlukan pelaburan besar. Bagi memulakan usaha pengumpulan dana selama tiga tahun, setiap organisasi yang bekerjasama telah menyatakan komitmen sebanyak $1 juta bagi menyokong dana tindakan kecemasan sebanyak $30 juta untuk badak Sumatera.

"Ini merupakan peluang terakhir kami untuk menaikkan profil spesies badak yang kurang dikenali ini dan memulihara lebih 20 juta tahun sejarah evolusi," kata Jonathan Baillie, naib presiden eksekutif dan ketua saintis di National Geographic Society. "Inilah masanya untuk bersama-sama bertindak."

Untuk maklumat lanjut dan bagi mengetahui cara menyumbang, layari www.sumatranrhinorescue.org

Imej-imej badak Sumatera disediakan di sini.

Latar Belakang Global Wildlife Conservation

GWC memelihara kepelbagaian hidupan di Bumi dengan menjaga tanah belantara, melindungi hidupan liar dan menyokong para pendukung. Kami memaksimumkan impak kami melalui penyelidikan saintifik, penerokaan biodiversiti, pemuliharaan habitat, pengurusan kawasan terlindung, pencegahan jenayah hidupan luar, pemuliharaan spesies-spesies terancam dan pemupukan kepimpinan pemuliharaan. Ketahui lebih lanjut di http://globalwildlife.org

Latar Belakang International Rhino Foundation

International Rhino Foundation ialah sebuah pertubuhan bukan untung yang kecil dan memberi impak yang ditubuhkan bagi memastikan kelangsungan hidup lima spesies badak di dunia melalui usaha pemuliharaan dan penyelidikan. Selama hampir 30 tahun, kami telah membiayai dan mengendalikan program-program perlindungan dan pemuliharaan badak di Afrika dan Asia, dengan memberi tumpuan khusus terhadap Indonesia, dengan mengusahakan kawasan-kawasan yang mana usaha pemuliharaan amat diperlukan dan sumber-sumber berharga akan mendapat impak paling banyak. Tumpuan visi IRF ialah kepercayaan bahawa spesies hebat ini perlu bertahan demi generasi-generasi masa depan dan usaha melindungi badak dapat menjamin kelangsungan hidup banyak spesies lain yang berkongsi habitatnya, termasuk manusia. Untuk maklumat lanjut, layari www.rhinos.org, Twitter: @rhinosIRF.

Latar Belakang International Union for Conservation of Nature

International Union for Conservation of Nature (IUCN) ialah Kesatuan keahlian yang uniknya terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan kerajaan dan masyarakat sivil. Ia menyediakan pertubuhan-pertubuhan awam, persendirian dan bukan kerajaan dengan pengetahuan dan instrumen yang mendayakan kemajuan manusia, pembangunan ekonomi dan pemuliharaan alam semula jadi untuk dilaksanakan bersama-sama. Dengan jaringan seramai lebih 8,000 pakar, Species Survival Commission (SSC) merupakan yang terbesar daripada enam suruhanjaya IUCN. SSC membolehkan IUCN mempengaruhi, menggalakkan dan membantu masyarakat untuk memulihara biodiversiti dengan membina pengetahuan tentang keadaan dan ancaman terhadap spesies, menyediakan khidmat nasihat, membangunkan dasar dan garis panduan, memudahkan perancangan pemuliharaan dan memangkinkan tindakan pemuliharaan, Ketahui lebih lanjut di: https://www.iucn.org.

Latar Belakang National Geographic Society

National Geographic Society ialah sebuah pertubuhan bukan untung yang melabur dalam individu berani dan idea transformatif dalam bidang penerokaan, penyelidikan saintifik, penceritaan dan pendidikan. Melalui geran dan program kami, kami beraspirasi untuk mewujudkan komuniti perubahan, memajukan pandangan utama mengenai planet kita dan menilai antara persoalan saintifik yang paling mendesak pada zaman ini di samping memastikan bahawa generasi seterusnya dilengkapi dengan ilmu pengetahuan geografi serta pemahaman global. Matlamat kami adalah impak yang boleh diukur: meneruskan penerokaan dan mendidik orang ramai di seluruh dunia bagi menginspirasikan penyelesaian demi kebaikan yang lebih besar. Untuk maklumat lanjut, layari www.nationalgeographic.org.

Latar Belakang WWF

WWF ialah salah sebuah pertubuhan pemuliharaan bebas yang terbesar dan paling disegani di dunia, dengan lebih 5 juta penyokong dan jaringan global yang aktif di lebih 100 negara dan wilayah. Misi WWF adalah untuk menghentikan kemusnahan persekitaran semula jadi di Bumi dan untuk membina masa depan yang mana manusia dapat hidup secara harmoni dengan alam semula jadi, dengan memulihara kepelbagaian biologi dunia, memastikan penggunaan sumber asli yang boleh diperbaharui adalah lestari dan menggalakkan pengurangan pencemaran serta penggunaan yang menyebabkan pembaziran. Kunjungi www.panda.org/news untuk mendapatkan berita terkini serta sumber media dan ikuti kami melalui Twitter @WWF_media

Logo - https://mma.prnewswire.com/media/745485/National_Geographic_Logo.jpg  

Source: National Geographic Society
Keywords: Animal Welfare Conservation/Recycling Not for profit