DUBAI, UAE, 18 Februari 2019/PRNewswire/ --
Pengumuman dibuat di UAE ketika berlangsungnya Platform Industri Halal Global ke-4
Al Maeeni: UAE tubuhkan dan laksanakan sistem makanan Halal pertama dunia
Rangka kerja Pan-Arab yang seragam untuk pengiktirafan bersama bagi pensijilan produk dan perkhidmatan Halal diumumkan di Emiriah Arab Bersatu pada hari Isnin. Ini merupakan satu langkah yang bertujuan untuk meningkatkan daya saing makanan halal dalam pasaran antarabangsa.
Pengumuman Program berkenaan dibuat di astaka Pertubuhan Pembangunan Industri dan Perlombongan Arab dalam Platform Industri Halal Global kali ke-4 yang dianjurkan oleh Lembaga Piawaian dan Metrologi Emiriah (ESMA).
Emiriah Arab Bersatu menyasarkan untuk mengglobalisasikan Industri Halal. Pasaran makanan dan minuman halal dijangka mencecah nilai USD 2.5 trilion tahun ini, menurut Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
"Platform Industri Halal Global, yang diadakan serentak dengan Gulfood Dubai, dianggap sebagai titik pertemuan untuk pengusaha-pengusaha global yang paling terkenal dalam industri halal. Ia turut membawakan peluang besar bagi tujuan bertukar-tukar idea dan wawasan pertumbuhan, dengan lebih 1.6 bilion umat Islam di serata dunia mengambil produk-produk makanan halal," kata Ketua Pengarah ESMA, Abdulla Al Maeeni.
Beliau menambah bahawa selama bertahun-tahun, UAE menerajui usaha-usaha dalam sektor ini dan melancarkan inisiatif 'Dubai sebagai Ibu Kota Ekonomi Islam' pada tahun 2013. Ia turut menubuhkan 'Pusat Pembangunan Ekonomi Islam Dubai' selain 'Forum Akreditasi Halal Antarabangsa' yang melibatkan 32 negara anggota.
Al Maeeni berkata UAE turut mengukuhkan kedudukannya dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global, sebagai sebahagian daripada wawasan pengeluaran pasca-minyaknya. Bahkan, negara ini merupakan negara pertama yang mewujudkan dan melaksanakan sistem makanan Halal pertama dunia dengan piawaian dan amalan dalam bidang-bidang akreditasi, pensijilan dan penilaian.
Negara-negara GCC sahaja sudah mengimport sebanyak USD 50 bilion produk-produk Halal. Di samping itu, pengguna-pengguna beragama Islam di seluruh dunia dijangka membelanjakan USD 3 trilion menjelang tahun 2023, menurut satu laporan oleh Pusat Pembangunan Ekonomi Islam Dubai.
Hubungi:
Mohamed Osman
mohamed.o@esma.gov.ae
+971-50-268-2444