omniture

PGNiG dan Venture Global LNG Setuju Pembelian Baharu 1.5 MTPA LNG

Venture Global LNG
2019-06-15 09:51 126

WASHINGTON, 15 Jun 2019 /PRNewswire/ -- Berhubung dengan lawatan negara oleh Presiden Poland, Andrzej Duda ke Washington D.C., Polish Oil and Gas Company (PGNiG) telah menandatangani satu perjanjian bersama Venture Global LNG di dalam Bangunan Pejabat Eksekutif Eisenhower Rumah Putih untuk membeli tambahan 1.5 juta tan setahun (MTPA) gas asli cecair (LNG). Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Rick Perry dan Setiausaha Negara untuk Infrastruktur Tenaga Strategik Poland, Piotr Naimski menghadiri upacara penandatanganan berkenaan.

Di bawah perjanjian ini, jumlah LNG daripada terminal Plaquemines akan meningkat daripada 1.0 kepada 2.5 juta tan setahun (daripada 1.35 kepada 3.38 bcm gas asli selepas regasifikasi). Penyerahan akan bermula pada tarikh operasi komersial yang kini dijangka pada tahun 2023. Pindaan baharu ini meningkatkan komitmen keseluruhan PGNiG dengan projek-projek Venture Global LNG kepada 3.5 MTPA (4.73 bcm), diperoleh daripada Calcasieu Pass (1 MTPA) dan Plaquemines LNG (2.5 MTPA).

Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Rick Perry berkata: "Poland dan Amerika Syarikat mempunyai perikatan dan jalinan persahabatan yang kukuh serta strategik yang diperkuatkan oleh komitmen bersama terhadap sekuriti tenaga dan pemahaman bahawa sekuriti tenaga sebenar dicapai melalui kepelbagaian tenaga. Pengumuman yang dibuat hari ini tentang peluasan penting perkongsian LNG sedia ada antara Venture Global dan PGNiG mengukuhkan lagi matlamat tersebut. Di bawah kepimpinan Presiden Trump, kedua-dua negara kami melancarkan Dialog Tenaga Strategik A.S.-Poland yang dapat mendorong dan menyokong perkongsian seperti ini. Kami mengharapkan lebih lagi dalam bulan-bulan dan tahun-tahun akan datang."

"Kami meningkatkan portfolio LNG kami dari segi jumlah yang akan kami terima daripada AS selepas tahun 2022, iaitu selepas tamatnya kontrak Yamal. Hasil daripada hubungan baik dengan rakan-rakan kongsi global Amerika kami dan rundingan yang berkesan, kami telah dapat mencapai bekalan LNG yang amat kompetitif daripada terminal Plaquemines," kata Piotr Woźniak, Presiden Lembaga Pengurusan PGNiG.

"Mulai tahun 2022 dan 2023, kami akan menerima sejumlah 3.5 juta tan LNG setahun daripada kemudahan eksport Venture Global LNG (kedua-duanya di negeri Louisiana) yang bersamaan dengan kira-kira 4.73 bcm gas asli setahun susulan regasifikasi. LNG Amerika semakin menjadi lebih berdaya saing, yang disahkan oleh peningkatan import pada suku tahun berturut-turut oleh Eropah," tambah Maciej Woźniak, Naib Presiden Lembaga Pengurusan untuk Perdagangan PGNiG.

Mike Sabel dan Bob Pender, Ketua-ketua Pegawai Eksekutif bersama Venture Global LNG, bersama-sama mengumumkan: "Kami berasa gembira untuk meluaskan perkongsian strategik sedia ada kami dengan Poland dan PGNiG, salah sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa yang paling penting di Eropah. Dengan Calcasieu Pass yang sedang menjalani proses pembinaan dan berjalan mengikut jadual, perjanjian ini menunjukkan lagi kebolehan kami untuk menawarkan LNG berkos rendah daripada projek Plaquemines kami kepada rakan-rakan kongsi antarabangsa kami. LNG Plaquemines menggunakan sistem proses sama yang amat cekap dan andal sebagaimana Calcasieu Pass, disediakan oleh Baker Hughes, sebuah syarikat GE (BHGE). Mike Sabel dan Bob Pender terus menambah: "kami juga berasa gembira kerana turbin stim projek kami dan penjana untuk turbin berkenaan akan dikeluarkan di Poland, pusat kecemerlangan pembuatan bertaraf global."

Suruhanjaya Pengawalseliaan Tenaga Persekutuan (FERC) baru-baru ini mengeluarkan (3 Mei 2019) Kenyataan Kesan Alam Sekitar Akhir untuk kedua-dua kemudahan LNG Plaquemines dan Gator Express Pipeline berkaitan.

Kontrak-kontrak dengan projek-projek Venture Global LNG telah dibuat selama 20 tahun dalam formula FOB (Percuma-atas-Kapal). Ini bermakna bahawa bermula ketika pemuatan dibuat dalam kemudahan pencecairan, pembeli, dalam hal ini PGNiG, mengawal LNG di atas kapal, termasuk memutuskan destinasi kargo berkenaan.

Latar Belakang PGNiG 

Polish Oil and Gas Company (PGNiG) ialah peneraju bagi pasaran gas asli Poland. Tersenarai dalam Bursa Saham Warsaw, perniagaan utama syarikat melibatkan penerokaan dan penghasilan gas asli dan minyak mentah. Subsidiari-subsidiari utamanya mengimport, menyimpan, menjual dan mengagihkan bahan api gas dan cecair. Subsidiari-subsidiari ini turut menjana haba serta kuasa elektrik. PGNiG memegang kepentingan dalam hampir 30 syarikat termasuk entiti-entiti yang menyediakan perkhidmatan geofizik, penggerudian dan penyelenggaraan profesional. PGNiG mempunyai lesen penerokaan dan pengeluaran di Pelantar Benua Norway dan Pakistan. Aktiviti penerokaan dan pengeluaran di Norway dijalankan oleh PGNiG Upstream Norway. PGNiG Supply & Trading yang berpangkalan di Munich terlibat dalam perdagangan gas di Eropah Barat dan turut mengendalikan pejabat perdagangan LNG di London. Maklumat lanjut boleh didapati di www.pgnig.pl.

Latar Belakang Venture Global LNG 

Venture Global LNG ialah penyedia LNG berkos rendah untuk jangka panjang yang akan dibekalkan daripada lembangan gas asli Amerika Utara yang kaya dengan sumber. Sistem proses pencecairan Venture Global LNG menggunakan suit produk yang amat cekap dan andal yang dibekalkan oleh BHGE. Venture Global LNG telah memulakan pembinaan kemudahan Venture Global Calcasieu Pass 10 MTPA di persimpangan Laluan Kapal Calcasieu dan Teluk Mexico serta turut membangunkan kemudahan Venture Global Plaquemines LNG 20 MTPA yang terletak 30 batu bahagian selatan New Orleans di Sungai Mississippi serta kemudahan Venture Global Delta LNG 20 MTPA, juga terletak di Sungai Mississippi bahagian selatan New Orleans. Venture Global telah mengumpul modal kira-kira sebanyak $2.2 bilion setakat ini bagi menyokong pembangunan projek-projeknya. Maklumat lanjut boleh didapati di www.venturegloballng.com

Source: Venture Global LNG
Keywords: Gas Oil/Energy Utilities Joint ventures Public Interest