omniture

StashAway kumpul USD$12 juta dalam pembiayaan Siri B dipimpin Eight Roads Ventures

Dana dikumpul akan diguna tembusi pasaran-pasaran tambahan di wilayah ini dan percepat pembangunan produk pelaburan
StashAway
2019-07-30 10:57 196

SINGAPURA, 30 Julai 2019 /PRNewswire/ -- StashAway, penasihat-robo untuk kedua-dua pelabur runcit dan terakreditasi, telah menyempurnakan pusingan Siri B bernilai USD$12 juta (SGD$16.4 juta) yang dipimpin oleh Eight Roads Ventures, cabang pelaburan proprietari Fidelity International. Asia Capital & Advisors, firma ekuiti persendirian yang dipimpin oleh Francis Rozario dan Aaron Rozario, turut mengambil bahagian. Asia Capital & Advisors melabur dalam pusingan Pra-Siri A dan Siri A StashAway. Pusingan ini akan menjadikan jumlah keseluruhan dana StashAway yang terkumpul setakat ini kepada USD$20.4 juta.

StashAway ialah platform pengurusan kekayaan digital yang menyediakan pengurusan portfolio automatik yang diperibadikan kepada portfolio individu setiap pelanggan. Strategi pelaburan pengurusan risikonya, ERAA® (Economic Regime-based Asset Allocation), direka bentuk untuk memaksimumkan pulangan jangka panjang pelanggan sambil memastikan setiap pendedahan risiko tertentu pelanggan adalah malar menerusi kitaran ekonomi yang berubah-ubah.

Puluhan ribu individu daripada 125 kerakyatan dan menetap di 77 negara telah membuka akaun dan menggunakan platform itu sejak StashAway mula dilancarkan di Singapura pada Julai 2017. Sejak pusingan pengumpulan dana Siri A pada Mac 2018, StashAway menembusi negara keduanya, Malaysia dan menjadi yang pertama dan satu-satunya penasihat-robo di Singapura yang menerima Dana Skim Persaraan Tambahan negara berkenaan bagi tujuan pelaburan. Syarikat ini turut memperkenalkan program pendidikan kewangan miliknya, StashAway Academy, untuk mereka yang baru dalam pelaburan hinggalah kepada pakar dan semua yang berada di antaranya.

Michele Ferrario, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif StashAway berkata, "Sokongan kewangan daripada Eight Roads Ventures, salah satu pelabur terawal dalam Alibaba, berserta sokongan berterusan daripada Asia Capital & Advisors akan dapat mempercepatkan pembangunan produk pelaburan kami untuk pelanggan kami di Singapura dan Malaysia, di samping turut menyokong peluasan pasaran di seluruh rantau APAC serta mengukuhkan komitmen ke atas pembangunan dan pengedaran kandungan pendidikan kewangan."

Raj Dugar, Rakan Pengurusan Asia di Eight Roads Ventures mengulas, "Lanskap pengurusan kekayaan Asia Tenggara yang tidak berkesinambungan membawa potensi besar kepada pengurus-pengurus pelaburan digital berkos rendah. StashAway ialah perintis serantau dalam sektor ini dan kami kagum dengan visi dan pelaksanaan pasukan pengurusannya. Penentuan harga mereka yang telus, kaedah pelaburan yang mantap dan kemudahan penggunaan dapat memberikan proposisi pelanggan yang menarik. Kami berharap dapat menyokong StashAway tatkala ia terus meningkatkan cara individu di seluruh rantau ini mengurus kewangan mereka dan membina kekayaan." Raj Dugar akan turut menyertai Lembaga Pengarah, membawakan pengalaman kepimpinan selama lebih lima belas tahun termasuk tempoh berkhidmat di The Carlyle Group dan Goldman Sachs.

Asia Capital & Advisors turut mengambil bahagian dalam pengumpulan dana StashAway untuk pusingan ketiga berturut-turut. "Sejak dilancarkan, StashAway telah membuktikan bukan sahaja berada di hadapan dalam memajukan pengalaman pelaburan, bahkan turut menunjukkan, khususnya sepanjang tahun lalu ketika mengalami turun naik pasaran yang ketara, daya tahan strategi pelaburan dan pasukan dalam menangani turun naik pasaran," kata Francis Rozario, yang dahulunya merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Fullerton Financial Holdings, subsidiari Temasek Holdings. "StashAway telah muncul sebagai peneraju pasaran untuk pelaburan berkos rendah, sofistikated dan tahap institusi bagi pelabur-pelabur runcit mahupun terakreditasi. Hal ini hanya terus meningkatkan lagi keyakinan saya bahawa perniagaan ini dapat meneruskan trend ini dalam pasaran yang kurang diberi perkhidmatan tambahan di wilayah tersebut."

Latar Belakang StashAway 

StashAway telah ditubuhkan pada tahun 2016 di Singapura oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ZALORA, Michele Ferrario (Ketua Pegawai Eksekutif); bekas Pengarah Urusan dan Ketua Strategi Derivatif Global di Nomura, Freddy Lim (Ketua Pegawai Maklumat); dan usahawan teknologi bersiri, Nino Ulsamer (Ketua Pegawai Teknologi) dan beroperasi di Singapura dan Malaysia. StashAway mempunyai Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal untuk Pengurusan Dana Runcit daripada Lembaga Monetari Singapura dan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal untuk Pengurusan Pelaburan Digital daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. StashAway mempunyai 40 kakitangan di Singapura dan Malaysia. Syarikat telah mengumpul $20.4 juta USD dalam tiga pusingan pembiayaan.

www.stashaway.sg 

Latar Belakang Eight Road Ventures 

Eight Roads ialah cabang pelaburan proprietari FIL, Fidelity International Limited. Dalam Ventures, Eight Roads melabur dalam syarikat-syarikat berkualiti tinggi dan mengalami pertumbuhan tinggi di Asia, Eropah dan AS, dengan tumpuan pada teknologi, penjagaan kesihatan dan pengguna. Eight Roads komited untuk menjadikan syarikat-syarikat yang mendapat pelaburannya sebagai peneraju dalam industri-industri mereka melalui akses kepada modal pesakit, jaringan sumber yang hebat dan pasukan ahli-ahli profesional pelaburan dengan rekod prestasi kejayaan terbukti. Pelaburan Eight Roads di India dan Asia Tenggara termasuk Akulaku, BankBazaar, Chai Point, Cipla Health, Eywa, Icertis, Laurus Labs, Manthan Systems, Netmagic (NTT), Northern Arc Capital, Shadowfax dan Silot.

www.eightroads.com @8roadsventures

Latar Belakang Asia Capital & Advisors 

Asia Capital and Advisors ("ACA") ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Francis Rozario, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Fullerton Financial Holdings, subsidiari pelaburan sektor kewangan Temasek. Sejak penubuhannya, ACA menumpu pada pelaburan transformatif dalam sektor kewangan di Asia, dengan penekanan khusus diberikan pada rangkuman kewangan untuk individu dan perniagaan kecil-kecilan, transformasi perniagaan serta syarikat baharu. Beberapa tahun kebelakangan ini, pelaburan ACA memberi tumpuan bagaimana teknologi kewangan dapat meningkatkan kecekapan dan akses kepada perkhidmatan kewangan dalam dunia yang semakin bersifat digital.

www.aca.sg 

Perhubungan Akhbar
Amanda Ong
Ketua Penglibatan Pelanggan dan Perhubungan Awam
+65-9150-7507
amanda.ong@stashaway.com

Source: StashAway
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Accounting news, issues Venture Capital Financial Technology