omniture

Qatar Investment Authority bakal Labur INR 3,200 Kror dalam Adani Electricity Mumbai Limited

Qatar Investment Authority (QIA)
2019-12-12 16:36 128

AHMEDABAD, India, 12 Disember 2019 /PRNewswire/ --  Adani Transmission Limited ("ATL"), Adani Electricity Mumbai Limited ("AEML") dan subsidiari Qatar Investment Authority ("QIA") telah menandatangani perjanjian muktamad bagi penjualan 25.1% kepentingan dalam AEML kepada QIA dan untuk pelaburan hutang subordinat pemegang saham oleh QIA dalam AEML ("Transaksi"). Jumlah pelaburan QIA dalam AEML akan menjadi kira-kira INR 3,200 Kror (bersamaan dengan kira-kira $450 juta).

Mumbai
Mumbai

AEML ialah pemegang lesen untuk perniagaan pengagihan, penghantaran dan penjanaan kuasa bersepadu yang kini menawarkan perkhidmatan kepada lebih 3 juta pengguna merentas kawasan lesen berkeluasan iaitu kira-kira 400 kilometer persegi di bandar Mumbai, bandar ketujuh terbesar di dunia mengikut saiz populasi. Bahagian pasaran AEML Mumbai adalah kira-kira 87% oleh kawasan lesen, 67% oleh pengguna yang menerima perkhidmatan dan 55% oleh tenaga elektrik yang dibekalkan.

Sebagai sebahagian daripada Transaksi, ATL dan QIA telah bersetuju dengan rancangan muktamad untuk memastikan lebih 30% daripada tenaga elektrik dibekalkan oleh AEML bersumberkan daripada loji kuasa solar dan angin menjelang tahun 2023. Di samping itu, ATL dan QIA bersetuju dalam beberapa inisiatif hijau yang lain bagi memerangi perubahan iklim dan memudahkan peralihan kepada ekonomi rendah karbon yang lestari.

Transaksi berkenaan menunjukkan hubungan yang semakin kukuh antara India dan Qatar serta komitmen kedua-dua negara untuk membangunkan lagi hubungan erat mereka pada tahun-tahun akan datang.

Pengerusi Adani Group, En. Gautam Adani, mengulas: "Kami berasa gembira untuk memulakan perkongsian ini bersama Qatar Investment Authority. Kami akan terus berusaha bersama-sama ke arah meningkatkan keandalan bekalan dan kepuasan pengguna untuk lebih 3 juta pengguna AEML yang menerima khidmat kami di Mumbai. Kami percaya transaksi ini merupakan langkah penting dalam perjalanan Adani Group, melambangkan permulaan perkongsian jangka panjang bersama QIA."

Ketua Pegawai Eksekutif QIA, En. Mansoor Al-Mahmoud, mengulas: "Kami percaya Adani Electricity Mumbai Limited ialah utiliti tenaga elektrik yang terbaik dalam kelasnya di India dan mempunyai potensi yang amat besar untuk pertumbuhan. Kami mengharapkan perkongsian jangka panjang bersama Adani Group, yang bersamanya kami berkongsi perspektif antara generasi tentang pelaburan dan visi bersama untuk pertumbuhan mampan serta kejayaan berterusan AEML."

En. Al-Mahmoud menambah: "Pelaburan ini menunjukkan keyakinan kami di India, yang bersamanya Qatar berkongsi pertalian yang telah lama terjalin dan hubungan yang sangat baik."

Transaksi ini merupakan yang terkini dalam siri pelaburan yang dilaksanakan oleh QIA dalam aset-aset infrastuktur kelas dunia bersama rakan-rakan kongsi yang dipercayai di seluruh dunia.

Transaksi ini dijangka selesai pada awal tahun 2020 tertakluk kepada penerimaan kelulusan kawal selia dan pemenuhan syarat-syarat lazim terdahulu.

SKN Advisors Limited bertindak sebagai penasihat kewangan manakala Cyril Amarchand Mangaldas bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada ATL dan AEML berhubung Transaksi.

J.P. Morgan bertindak sebagai penasihat kewangan manakala Cleary Gottlieb Steen & Hamilton LLP dan AZB & Partners bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada QIA berhubung Transaksi.

Latar Belakang Adani Electricity Mumbai Limited   (AEML)  – Adani Electricity Mumbai Limited, sebahagian daripada Adani Group yang pelbagai, ialah perniagaan bersepadu penjanaan kuasa, penghantaran dan pengagihan tenaga elektrik runcit. AEML memiliki dan mengendalikan rangkaian pengagihan kuasa yang terbesar dan paling cekap di India. AEML menawarkan perkhidmatan kepada lebih 3 juta pengguna yang tersebar merentas 400 km persegi di Mumbai dan kawasan pinggir bandarnya bagi memenuhi hampir 2,000 MW permintaan kuasa dengan 99.99% keandalan, yang merupakan antara yang tertinggi di negara ini. AEML menyediakan perkhidmatan penjagaan pelanggan yang cemerlang dengan bantuan daripada teknologi canggih. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.adanielectricity.com

Latar Belakang Adani Transmission Limited   (ATL) – Adani Transmission Limited ialah cabang perniagaan penghantaran dan pengagihan Adani Group, salah satu konglomerat perniagaan yang terbesar di India. ATL ialah syarikat penghantaran persendirian yang terbesar di negara tersebut dengan rangkaian penghantaran kumulatif sekitar 14,738 ckt. km., yang mana 11,477 ckt. km. beroperasi dan 3,261 ckt. km. berada pada pelbagai peringkat pembinaan. Dengan keperluan tenaga India bakal meningkat empat kali ganda beberapa tahun akan datang, ATL berkembang maju sepenuhnya bagi mewujudkan rangkaian penghantaran kuasa yang kukuh dan andal serta berusaha dengan aktif ke arah mencapai 'Power for All' ('Kuasa buat Semua') menjelang tahun 2022. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.adanitransmission.com

Latar Belakang Qatar Investment Authority  (QIA) - Qatar Investment Authority ialah dana kekayaan berdaulat Negara Qatar dan merupakan penyumbang utama bagi merealisasikan Wawasan Negara Qatar 2030. QIA ditubuhkan pada tahun 2005 bagi mengukuhkan ekonomi negara melalui pempelbagaian ke dalam kelas aset baharu. Meneruskan warisan pelaburan Qatar yang bermula sejak lebih daripada tiga dekad lalu, portfolio pelaburan jangka panjang QIA yang semakin berkembang membantu melengkapi kekayaan Negara Qatar dalam sumber aslinya. Beribu pejabat di Doha serta melalui subsidiarinya New York (QIA Advisory), QIA distrukturkan untuk beroperasi pada tahap pelaburan global yang tertinggi. Sebagai pelabur yang bertaraf dunia, QIA berpegang teguh kepada disiplin kewangan dan komersial yang paling ketat. QIA memegang rekod prestasi mantap bagi pelaburan dalam pelbagai kelas aset, termasuk sekuriti tersenarai, hartanah, aset alternatif dan ekuiti persendirian dalam semua pasaran utama di seluruh dunia. QIA mencari peluang pelaburan yang bertanggungjawab dari segi sosial, ekonomi dan alam sekitar dan memandang melangkaui pulangan jangka pendek, tatkala QIA memburu pertumbuhan yang seimbang dan mampan bagi memaksimumkan pulangan jangka panjang. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.qia.qa

Penafian 

Beberapa kenyataan dalam siaran media ini mungkin merupakan kenyataan pandang ke hadapan atau kenyataan dengan jangkaan masa depan berdasarkan maklumat yang tersedia masa kini. Kenyataan sedemikian biasanya tertakluk kepada risiko dan ketidaktentuan. Faktor-faktor seperti perkembangan keadaan ekonomi umum, keadaan pasaran masa depan, peristiwa kerugian bencana luar biasa, perubahan dalam pasaran modal dan keadaan-keadaan lain boleh menyebabkan peristiwa atau keputusan sebenar berbeza dengan ketara berbanding yang dijangkakan oleh kenyataan sedemikian. ATL, QIA dan AEML tidak membuat apa-apa perwakilan atau jaminan, yang dinyatakan atau tersirat, mengikut ketepatan, kesempurnaan atau status yang dikemas kini dalam kenyataan sedemikian. Oleh yang demikian, dalam apa jua keadaan sekalipun ATL, QIA, AEML atau mana-mana syarikat-syarikat bersekutu masing-masing tidak akan dipertanggungjawabkan kepada sesiapa sahaja untuk apa-apa keputusan yang dibuat atau tindakan yang diambil lantaran maklumat dan/atau kenyataan dalam siaran media ini atau untuk apa-apa ganti rugi yang berkaitan.

AEML_Map
AEML_Map
CEO_QIA_Mansoor
CEO_QIA_Mansoor
Chairman_Adani_Gautam
Chairman_Adani_Gautam
Source: Qatar Investment Authority (QIA)
Keywords: Electrical Utilities Oil/Energy Utilities Accounting news, issues Contracts Shareholder Activism