omniture

Johnson & Johnson Umum Calon Vaksin Utama untuk COVID-19; Perkongsian Baharu Penting dengan Jabatan Kesihatan & Perkhidmatan Manusia A.S., dan Komitmen Bekalkan Satu Bilion Vaksin Seluruh Dunia untuk Kegunaan Pandemik Kecemasan

Johnson & Johnson
2020-04-01 15:38 723

Johnson & Johnson dan BARDA Bersama-sama Beri Komitmen Lebih $1 Bilion untuk Penyelidikan dan Pembangunan Vaksin Novel Coronavirus; Syarikat Dijangka Mulakan Kajian Klinikal Manusia Fasa 1 untuk Calon Vaksin Selewat-lewatnya pada September 2020

Johnson & Johnson Akan Tubuhkan Keupayaan Pembuatan Vaksin A.S. Baharu dan Kapasiti Pengeluaran Tambahan di Luar A.S. untuk Mulakan Pengeluaran Berisiko Demi Bantu Jamin Bekalan Vaksin Global

NEW BRUNSWICK, New Jersey, 1 April 2020 /PRNewswire/ -- Johnson & Johnson (NYSE: JNJ) (Syarikat) hari ini mengumumkan pemilihan calon vaksin COVID-19 utama daripada binaan yang telah diusahakan olehnya sejak Januari 2020; pengembangan signifikan perkongsian sedia ada antara Janssen Pharmaceutical Companies of Johnson & Johnson dan Biomedical Advanced Research and Development Authority (BARDA); peluasan pesat kapasiti pembuatan Syarikat dengan matlamat untuk menyediakan bekalan global sebanyak lebih satu bilion dos vaksin. Syarikat ini menjangkakan untuk memulakan kajian klinikal ke atas manusia untuk calon vaksin penunjuknya selewat-lewatnya pada September 2020 dan menjangkakan kumpulan pertama vaksin COVID-19 akan dapat disediakan untuk pengesahan kegunaan kecemasan pada awal tahun 2021, tempoh masa yang dipercepatkan dengan ketara berbanding dengan proses pembangunan vaksin biasa.

Melalui satu perkongsian baharu yang penting, BARDA, yang merupakan sebahagian daripada Pejabat Penolong Setiausaha untuk Kesediaan dan Respons (ASPR) di Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia A.S. serta Johnson & Johnson bersama-sama menyatakan komitmen pelaburan sebanyak lebih $1 bilion untuk bersama-sama membiayai penyelidikan, pembangunan dan pengujian klinikal vaksin. Johnson & Johnson akan menggunakan platform vaksinnya yang telah disahkan dan memperuntukkan sumber, termasuk kakitangan dan infrastruktur di seluruh dunia, sebagaimana yang diperlukan, untuk memberi tumpuan terhadap usaha-usaha ini. Secara berasingan, BARDA dan Syarikat ini telah menyediakan dana tambahan yang akan membolehkan pengembangan usaha berterusan mereka bagi mengenal pasti rawatan antivirus berpotensi terhadap novel coronavirus.

Sebagai sebahagian daripada komitmennya, Johnson & Johnson turut meluaskan kapasiti pembuatan global Syarikat, termasuk melalui penubuhan keupayaan pembuatan vaksin A.S. baharu dan meningkatkan kapasiti di negara-negara lain. Kapasiti tambahan ini akan membantu pengeluaran vaksin yang pantas dan akan membolehkan pembekalan sebanyak lebih satu bilion dos vaksin yang selamat dan berkesan diberikan di seluruh dunia. Syarikat merancang untuk memulakan pengeluaran yang berisiko tidak lama lagi dan komited untuk membawakan vaksin dengan harga berpatutan kepada orang awam atas dasar bukan untung bagi kegunaan pandemik kecemasan.

Alex Gorsky, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif, Johnson & Johnson, berkata, "Dunia sedang menghadapi krisis kesihatan awam yang mendesak dan kami komited untuk memainkan peranan kami bagi menjadikan vaksin COVID-19 disediakan pada harga berpatutan di peringkat global sepantas yang mungkin. Sebagai syarikat penjagaan kesihatan yang terbesar di dunia, kami merasakan tanggungjawab yang mendalam untuk meningkatkan kesihatan orang ramai di seluruh dunia pada setiap hari. Johnson & Johnson berkedudukan baik melalui kombinasi kami antara kepakaran saintifik, skala operasi dan kekuatan kewangan untuk membawakan sumber kami dengan kerjasama bersama pihak-pihak lain bagi mempercepatkan perjuangan menentang pandemik ini."

Paul Stoffels, M.D., Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif dan Ketua Pegawai Saintifik, Johnson & Johnson, berkata, "Kami amat menghargai keyakinan dan sokongan daripada kerajaan A.S. untuk usaha R&D kami. Pasukan pakar global Johnson & Johnson telah meningkatkan proses penyelidikan dan pembangunan kami ke tahap yang belum pernah terjadi sebelum ini dan pasukan kami berusaha tanpa jemu bersama-sama BARDA, rakan kongsi saintifik dan pihak berkuasa kesihatan global. Kami berasa amat gembira kerana dapat mengenal pasti calon vaksin penunjuk daripada binaan yang telah kami usahakan sejak Januari lalu. Kami sedang bergerak pada garis masa yang dipercepatkan menuju percubaan klinikal manusia Fasa 1 selewat-lewatnya pada September 2020 dan disokong oleh keupayaan pengeluaran global yang ditingkatkan oleh kami selari dengan ujian ini, kami menjangkakan vaksin dapat siap bagi kegunaan kecemasan pada awal tahun 2021."

Calon Vaksin COVID-19 Utama Johnson & Johnson  

Johnson & Johnson memulakan usaha-usaha pada Januari 2020, sebaik sahaja jujukan novel coronavirus (COVID-19) tersedia, untuk mengkaji calon vaksin yang berpotensi. Pasukan penyelidikan di Janssen, dengan kerjasama Beth Israel Deaconess Medical Center, sebahagian daripada Harvard Medical School, membina dan menguji pelbagai calon vaksin menggunakan teknologi AdVac® Janssen.

Melalui kolaborasi dengan saintis-saintis di pelbagai institusi akademik, binaan vaksin ini kemudiannya diuji bagi mengenal pasti vaksin yang paling menyakinkan untuk memberi tindak balas imun dalam ujian praklinikal.

Berdasarkan kerja-kerja ini, Johnson & Johnson telah dapat mengenal pasti calon vaksin COVID-19 utama (dengan dua sokongan), yang akan diteruskan ke langkah-langkah pembuatan pertama. Di bawah garis masa yang dipercepatkan, Syarikat bermatlamat untuk memulakan kajian klinikal Fasa 1 pada September 2020, dengan data klinikal mengenai keselamatan dan keberkesanan dijangka dapat disediakan pada akhir tahun ini. Ini akan membolehkan ketersediaan vaksin untuk kegunaan kecemasan pada awal tahun 2021. Sebagai perbandingan, proses pembangunan vaksin biasa melibatkan beberapa peringkat penyelidikan yang berbeza, berjalan selama 5 hingga 7 tahun, sebelum suatu calon dipertimbangkan untuk diluluskan.

Selama lebih daripada 20 tahun, Johnson & Johnson telah melabur sebanyak berbilion-bilion dolar dalam keupayaan antivirus dan vaksin. Program vaksin COVID-19 memanfaatkan teknologi AdVac® dan PER.C6® terbukti daripada Janssen yang memberi keupayaan untuk membangunkan calon vaksin baharu dengan pantas dan meningkatkan pengeluaran calon vaksin optimum. Teknologi yang sama digunakan untuk membangunkan dan menghasilkan vaksin Ebola oleh Syarikat dan membina calon vaksin Zika, RSV dan HIV kami yang berada dalam peringkat pembangunan klinikal Fasa 2 atau Fasa 3.

Penyelidikan Antivirus Diperluaskan 

Selain daripada usaha pembangunan vaksin, BARDA dan Johnson & Johnson juga meluaskan perkongsian mereka untuk mempercepatkan usaha berterusan oleh Janssen bagi menyaring barisan sebatian termasuk sebatian daripada syarikat-syarikat farmaseutikal yang lain. Matlamat Syarikat adalah untuk mengenal pasti rawatan berpotensi terhadap novel coronavirus. Johnson & Johnson dan BARDA kedua-duanya memberi dana sebagai sebahagian daripada perkongsian ini. Usaha penyaringan antivirus ini dijalankan dengan kerjasama Rega Institute for Medical Research (KU Leuven/University of Leuven), di Belgium.

Sebagaimana yang diumumkan pada Februari 2020, Syarikat dan BARDA telah bekerjasama erat dengan rakan-rakan kongsi global bagi menyaring barisan molekul antivirus Janssen bagi mempercepatkan penemuan rawatan COVID-19 yang berpotensi.

COVID-19 tergolong dalam kumpulan virus yang dikenali sebagai coronavirus yang menyerang sistem pernafasan. Kini tiada vaksin, rawatan atau penawar yang diluluskan untuk COVID-19.

Untuk maklumat lanjut mengenai pendekatan berbilang serampang daripada Johnson & Johnson untuk memerangi pandemik ini, kunjungi: www.jnj.com/coronavirus.

Latar Belakang Johnson & Johnson 
Di Johnson & Johnson, kami percaya kesihatan yang baik menjadi asas bagi kehidupan yang berkualiti, masyarakat yang sejahtera dan kemajuan ke hadapan. Atas sebab inilah, selama lebih 130 tahun, kami menyasarkan untuk menjaga kesihatan orang ramai dengan baik pada setiap peringkat usia dan setiap tahap kehidupan. Hari ini, sebagai syarikat penjagaan kesihatan terbesar dan paling pelbagai di dunia, kami komited untuk memanfaatkan jangkauan dan keluasan syarikat kami untuk kebaikan. Kami berusaha untuk meningkatkan akses dan kebolehmampuan, mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan menjadikan minda, tubuh badan dan persekitaran yang baik dapat dicapai oleh semua orang, di mana-mana jua. Kami menyatukan hati, sains dan kebijaksanaan kami untuk membuat perubahan besar kepada trajektori kesihatan demi umat manusia. Ketahui lebih lanjut di www.jnj.com. Ikuti kami di @JNJNews.

Latar Belakang Janssen Pharmaceutical Companies 

Di Janssen, kami mencipta masa depan yang mana penyakit tinggal sebagai satu sejarah. Kami merupakan Syarikat-syarikat Farmaseutikal Johnson & Johnson, bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk menjadikan masa depan suatu kenyataan buat pesakit di mana-mana sahaja dengan melawan penyakit menerusi sains, meningkatkan akses dengan kebijaksanaan dan menyembuhkan mereka yang berputus asa dengan hati yang mulia. Kami memberi tumpuan pada bidang perubatan yang mana kami dapat membuat perubahan terbesar: Kardiovaskular & Metabolisme, Imunologi, Penyakit Berjangkit & Vaksin, Neurosains, Onkologi dan Hipertensi Pulmonari. Ketahui lebih lanjut di www.janssen.com. Ikuti kami di @JanssenGlobal.

Notis kepada Pelabur Berhubung Kenyataan Pandang ke Hadapan 

Siaran akhbar ini mengandungi "kenyataan pandang ke hadapan" seperti yang ditakrifkan dalam Akta Reformasi Litigasi Sekuriti Persendirian 1995 berkaitan pembangunan rejimen pencegahan dan rawatan berpotensi untuk COVID-19. Pembaca diingatkan agar tidak bergantung pada kenyataan-kenyataan pandang ke hadapan ini. Kenyataan-kenyataan ini adalah berdasarkan jangkaan semasa terhadap peristiwa masa depan. Sekiranya andaian asas terbukti tidak tepat atau risiko atau ketidaktentuan yang diketahui atau tidak diketahui wujud, keputusan sebenar mungkin berbeza dengan ketara berbanding jangkaan dan unjuran terhadap Janssen Pharmaceutical Companies dan/atau Johnson & Johnson. Risiko dan ketidaktentuan termasuk, tetapi tidak terhad kepada: cabaran dan ketidaktentuan yang wujud dalam penyelidikan dan pembangunan produk, termasuk ketidaktentuan kejayaan klinikal dan pemerolehan kelulusan kawal selia; ketidaktentuan kejayaan komersial; kesukaran dan kelewatan pembuatan; persaingan, termasuk kemajuan teknologi, produk dan paten baharu yang dicapai oleh pesaing; cabaran untuk paten; keberkesanan produk atau kebimbangan keselamatan yang mengakibatkan penarikan balik produk atau tindakan pengawalseliaan; perubahan dalam tingkah laku dan corak perbelanjaan pembeli produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan; perubahan terhadap undang-undang dan peraturan terpakai, termasuk pembaharuan penjagaan kesihatan global; dan trend ke arah pembendungan kos penjagaan kesihatan. Senarai dan perihalan lanjut risiko-risiko ini, ketidaktentuan dan faktor-faktor lain boleh ditemui dalam Laporan Tahunan Johnson & Johnson pada Borang 10-K untuk tahun fiskal berakhir pada 29 Disember 2019, termasuk dalam bahagian-bahagian bertajuk "Nota Peringatan Berhubung Kenyataan Pandang ke Hadapan" dan "Item 1A. Faktor-faktor Risiko," dan dalam Laporan Suku Tahunan yang difailkan baru-baru ini oleh syarikat pada Borang 10-Q dan fail-fail berikutnya oleh syarikat bersama Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa. Salinan fail-fail ini disediakan dalam talian di www.sec.gov, www.jnj.com atau secara atas permintaan daripada Johnson & Johnson. Janssen Pharmaceutical Companies mahupun Johnson & Johnson tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini mana-mana kenyataan pandang ke hadapan akibat daripada maklumat baharu atau peristiwa atau perkembangan akan datang.   

Logo - https://mma.prnewswire.com/media/403394/Johnson_and_Johnson_Logo.jpg  

 

Source: Johnson & Johnson
Related Stocks:
NYSE:JNJ
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries Corporate Social Responsibility Public Safety Future Events