omniture

Empat daripada lima firma FinTech di ASEAN akan tetap berkembang walaupun dalam pandemik COVID-19: laporan UOB, PwC dan SFA

Tiga daripada lima urus janji pembiayaan diberikan kepada firma FinTech yang berpusat di Singapura
United Overseas Bank
2020-12-16 11:00 194

SINGAPURA, 16 Disember 2020 /PRNewswire/ -- Empat daripada lima firma teknologi kewangan (FinTech) di ASEAN akan meneruskan rancangan perkembangan mereka untuk dua tahun akan datang walaupun menghadapi gangguan akibat pandemik COVID-19. Menurut laporan[1] FinTech in ASEAN: Get up, Reset, Go! oleh UOB (U11.SI), PwC Singapura dan Persatuan FinTech Singapura, (SFA), ASEAN adalah pilihan utama untuk pengembangan pasaran bagi firma ini (78 peratus). Rantau ini juga merupakan destinasi utama untuk pengembangan firma FinTech yang berpusat di luar ASEAN (69 peratus).

Sikap optimis ini muncul berikutan peningkatan dalam trend penggunaan digital di seluruh ASEAN di tengah-tengah pandemik ini, di mana lebih 40 juta pengguna internet baharu telah dicatat pada tahun ini.[2] Tujuh puluh peratus penduduk ASEAN hari ini menggunakan internet[3] dan ini dijangka terus meningkat dalam dekad akan datang apabila perkhidmatan digital seperti pasaran dalam talian menjadi perkara biasa.[4] 

Trend makro ini memberi peluang kepada firma FinTech di rantau ini untuk menyediakan penyelesaian kewangan digital dalam bidang seperti pembayaran dan pinjaman alternatif kepada penduduk yang semakin terhubung secara digital. Satu cara di mana firma FinTech dapat memperluas perkhidmatan mereka di ASEAN adalah melalui kerjasama dengan bank untuk menggabungkan kelebihan masing-masing, termasuk titik sentuhan ('touch point')dengan pelanggan yang ditawarkan oleh bank dan keupayaan teknologi yang disediakan oleh firma FinTech.

Janet Young, Ketua Saluran Kumpulan dan Digitalisasi, UOB, berkata, "Apabila firma FinTech di ASEAN terus berkembang di rantau ini, perkongsian adalah penting untuk mendorong pertumbuhan yang mampan dalam persekitaran keperluan kawal selia dan operasi yang berbeza. Memanfaatkan kelebihan perkongsian yang saling melengkapi juga membolehkan firma FinTech menjangkau rangkaian pelanggan yang lebih luas di samping meningkatkan cara pelanggan bekerja, hidup, bersantai dan berurusan dengan bank. Sebagai contoh, kerjasama yang semakin meningkat antara bank dan firma FinTech di ASEAN telah menghasilkan keupayaan teknologi dan industri yang terbaik. Ini telah membangunkan penyelesaian inovatif yang menjadikan perbankan lebih mudah dan lebih senang diakses di seluruh ASEAN."

Tiga daripada lima urus janji pembiayaan diberikan kepada firma FinTech yang berpusat di Singapura

Daripada 95 urus janji yang termeterai dalam tempoh tiga suku pertama tahun 2020, hampir dua pertiga daripadanya diberikan kepada firma FinTech di Singapura.

Minat pelabur terhadap firma FinTech yang berpusat di Singapura juga terus kukuh, di mana firma-firma ini berjaya menarik jumlah pembiayaan tertinggi (42 peratus) di rantau ini. Ini mungkin disebabkan oleh para pelabur yang yakin terhadap persekitaran kawal selia dan perniagaan yang menggalakkan di Singapura selain rekod prestasinya yang baik dalam menangani kesan krisis seperti pandemik COVID-19.

Singapura merupakan pasaran FinTech paling matang di ASEAN, dengan itu pembiayaan dalam firma FinTech yang berpusat di Singapura tetap terpelbagai dalam setiap kategori, didahului oleh pinjaman alternatif, pembayaran dan teknologi perbankan. Di pasaran ASEAN yang lain, pembiayaan di ruang pembayaran terus dikuasai oleh jangkaan penerimaan dan penggunaan pembayaran digital yang berterusan.

Cik Wong Wanyi, Ketua FinTech, PwC Singapura, berkata, "Pada tahun lalu, Singapura terus menarik jumlah pembiayaan paling tinggi di ASEAN dan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam lanskap FinTech ASEAN. Penyumbang utama prestasi kukuh di Singapura adalah ekosistem yang kondusif, bersepakat dan disokong. Sebagai contoh, insentif daripada pengawal selia dan persatuan industri utama seperti SFA, selain budaya berkongsi pengetahuan di kalangan syarikat pemula telah membantu mempercepat pertumbuhan industri. Pemain industri juga memainkan peranan penting untuk membangun dan mengembangkan kumpulan bakat kami. Kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan bakat adalah kunci kepada hab FinTech yang berjaya."

Firma FinTech di ASEAN tetap optimistik tentang masa hadapan walaupun ketika pandemik

Menurut laporan tersebut, firma FinTech di ASEAN terus berpandangan positif terhadap masa hadapan walaupun menghadapi pandemik. Kira-kira dua daripada tiga firma FinTech menyatakan bahawa pandemik ini tidak memberi kesan atau mempunyai kesan positif terhadap rancangan pengumpulan dana masa depan (65 peratus) dan pelaburan tahap akhir (62 peratus) mereka. Sebilangan besar firma FinTech di ASEAN (87 peratus) juga mengatakan mereka berada di landasan yang tepat untuk memastikan perniagaan mereka dapat bertahan sehingga selepas pandemik, dengan memberi tumpuan kepada inovasi produk selain mendorong pertumbuhan pendapatan pada tahun akan datang.

Encik Chia Hock Lai, Presiden, SFA, berkata, "Firma FinTech di ASEAN mempunyai sebab yang baik untuk bersikap optimistik tentang masa hadapan kerana COVID-19 telah mempercepat penggunaan kewangan digital oleh pengguna dan perniagaan. Untuk merebut peluang pertumbuhan di rantau ini, firma FinTech perlu sentiasa tangkas dalam menyesuaikan produk dan model pendapatan mereka supaya dapat bersaing secara berkesan. Ini termasuk bekerjasama dengan institusi kewangan tradisional untuk berkembang dalam persekitaran yang menarik namun berpecah di rantau ASEAN."

Laporan FinTech in ASEAN: Get up, Reset, Go! boleh dimuat turun dengan melayari: https://www.uobgroup.com/techecosystem/news-insights-fintech-in-asean-2020.html. Penemuan laporan tersebut juga akan disampaikan kepada para peserta Singapore FinTech Festival 2020 melalui Green Shoots Session di Sidang Kemuncak Impak pada hari Rabu, 9 Disember, 19:40 - 20:00 SGT.

Infografik FinTech in ASEAN: Get up, Reset, Go! boleh dimuat turun di sini.


Mengenai United Overseas Bank

United Overseas Bank Limited (UOB) adalah sebuah bank terkemuka di Asia dengan rangkaian global yang terdiri daripada lebih 500 pejabat di 19 negara dan wilayah di Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara. Sejak penubuhannya pada 1935, UOB telah berkembang secara organik dan melalui beberapa pengambilalihan strategik. UOB menerima penarafan di antara bank terkemuka dunia: Aa1 oleh Moody's dan AA- oleh Standard & Poor's dan Fitch Ratings. Di Asia, UOB beroperasi di ibu pejabatnya di Singapura dan anak syarikat perbankannya di China, Indonesia, Malaysia, Thailand dan Vietnam, serta pejabat cawangan dan perwakilan di seluruh rantau.

Selama lebih lapan dekad, kakitangan UOB telah mengamalkan semangat keusahawanan, dengan menumpu pada pewujudan nilai jangka panjang dan komitmen yang teguh untuk melakukan apa yang tepat untuk pelanggan dan kakitangan kami.

Kami merupakan pembekal perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab dan kami komited untuk melakukan perbezaan dalam kehidupan pemegang berkepentingan kami dan juga dalam komuniti di mana kami beroperasi. Sama seperti dedikasi kami untuk membantu pelanggan kami menguruskan kewangan secara bijak dan mengembangkan perniagaan mereka, UOB berpegang teguh dalam sokongan kami terhadap pembangunan sosial, terutamanya dalam bidang seni, kanak-kanak dan pendidikan.

Mengenai PwC

Di PwC, tujuan kami adalah untuk membina kepercayaan di dalam masyarakat dan menyelesaikan masalah penting. Kami merupakan rangkaian syarikat di 155 negara dengan lebih 284,000 kakitangan yang komited untuk menyampaikan kualiti di dalam perkhidmatan jaminan, nasihat dan cukai. Ketahui lebih lanjut dan beritahu kami apa yang penting bagi anda dengan melayari www.pwc.com/sg

PwC merujuk kepada rangkaian PwC dan/atau satu atau lebih syarikat ahlinya, yang masing-masing merupakan entiti sah yang berasingan. Sila layari www.pwc.com/structure untuk maklumat lanjut.

Mengenai Persatuan FinTech Singapura (SFA)

SFA adalah organisasi merentas industri dan bukan untung. Ia bertujuan menyokong pembangunan industri FinTech di Singapura selain memudahkan kerjasama di antara para peserta dan pihak berkepentingan ekosistem FinTech di Singapura. SFA adalah organisasi berasaskan ahli yang mempunyai lebih 850 ahli. Ia mewakili pelbagai pihak berkepentingan dalam industri FinTech, daripada syarikat inovatif peringkat awal hingga syarikat kewangan besar dan penyedia perkhidmatan.

Dalam melanjutkan matlamatnya, SFA juga bekerjasama dengan institusi dan persatuan di Singapura dan secara global untuk menjalin perkongsian dalam inisiatif yang berkaitan dengan industri FinTech. SFA telah menandatangani lebih 60 Memorandum Persefahaman (MoU) antarabangsa di 40 negara dan merupakan organisasi Bersekutu U pertama yang bergabung dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). Melalui Program FinTech Talent (FT) yang dilancarkan pada tahun 2017, lebih 300 profesional telah dilatih dalam FinTech, termasuk blok rantai & mata wang kripto, keselamatan siber dan peraturan.

[1] Tinjauan ini dijalankan oleh UOB, PwC dan SFA pada bulan September 2020 di kalangan 109 firma FinTech di enam pasaran ASEAN termasuk Indonesia, Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam.

[2] Menurut laporan e-Conomy SEA 2020 oleh Google, Temasek Holdings dan Bain & Company yang diterbitkan pada bulan November 2020.

[3] Ibid.

[4] Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia bertajuk Penggunaan Masa Depan di Pasaran Pengguna yang Berkembang Pesat: ASEAN telah diterbitkan pada November 2020.

Source: United Overseas Bank
Related Stocks:
OTC:UOVEY Singapore:U11
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Survey, Polls & Research Financial Technology