omniture

CGTN: 98.99 juta orang bebas daripada kemiskinan. Bagaimana China capai kemiskinan melampau sifar 10 tahun lebih awal daripada yang dijadualkan?

CGTN
2021-02-26 21:24 544

BEIJING, 26 Februari 2021 /PRNewswire/ -- Pada hari Khamis lalu, China mengisytiharkan "kemenangan penuh" untuk perjuangannya membasmi kemiskinan melampau, dengan 98.99 juta penduduk miskin luar bandar berada di atas garis kemiskinan yang ditakrifkan oleh kerajaan mengikut pendapatan per kapita tahunan. Ia merupakan petunjuk utama bahawa negara ini telah berjaya memulakan masyarakat sederhana makmur dalam segenap aspek seperti yang dijadualkan.

Tempoh berkenaan merupakan 10 tahun lebih awal daripada rancangan negara yang paling ramai penduduknya di dunia untuk merealisasikan matlamat Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menurut Presiden Cina Xi Jinping. Pencapaian berkenaan dilakar dalam tahun yang sama apabila Parti Komunis Cina (CPC) menyambut ulang tahun keseratus sejak penubuhannya.

"Ini merupakan kegemilangan yang besar buat rakyat Cina, CPC dan negara kami!" kata Xi di sebuah perhimpunan bagi menyambut pencapaian negara dalam pembasmian kemiskinan melampau dan memuji suri teladan dalam usaha berkenaan, menggelar pencapaian ini sebagai "suatu keajaiban di muka bumi yang harus ditulis dalam sejarah."

Acara berkenaan diadakan di Dewan Besar Rakyat di ibu kota Beijing pada pagi Khamis lalu.

Reformasi memerlukan masa, kerja yang sukar 

Permulaannya bukanlah mudah.

Semasa beliau masih berusia 30-an, Xi telah diarahkan untuk bekerja pada awal tahun 1980-an sebagai pegawai peringkat akar umbi di Daerah Zhengding, utara Wilayah Hebei menerusi seruan negara untuk program bantuan kemiskinan secara besar-besaran. Di sana, beliau memulakan uji kaji reformasi beliau: kontrak tanah luar bandar. Kemudian beliau menjadi setiausaha jawatankuasa Parti wilayah di Ningde, tenggara Wilayah Fujian.

"Saya sentiasa berasa tidak senang," Xi mengimbau kembali dalam buku beliau "Up and Out of Poverty." "Pembasmian kemiskinan merupakan suatu tugas besar yang memerlukan usaha beberapa generasi."

Sepanjang dua dekad yang seterusnya, beliau membawa impian pembasmian kemiskinan beliau sebagai tumpuan dalam hayat politik China.

"Reformasi oleh Xi berasal daripada pengalaman beliau," kata Shi Zhihong, bekas timbalan pengarah Pejabat Penyelidikan Dasar Jawatankuasa Pusat CPC. "Beliau mengetahui bahawa laluan lama yang kaku tidak akan ke mana dan reformasi merupakan suatu kemestian."

Sejak tahun 2012, presiden Cina ini telah turun padang menjelajah jauh ke dalam masyarakat miskin sebanyak lebih daripada 50 kali dan mempelajari mengenai kehidupan rakyat.

Langkah-langkah disesuaikan mengikut situasi praktikal  

Ketepatan merupakan kunci kejayaan China. Strategi pembasmian kemiskinan bersasaran telah dikemukakan oleh Xi pada lewat tahun 2013, yang membandingkan penerimaan pendekatan yang sembarangan dengan perumpamaan "tuba habis, ikan tak dapat."

Xi menggelarnya sebagai "laluan pembasmian kemiskinan yang menonjolkan ciri-ciri Cina" dalam ucapan beliau pada hari Khamis. Dari rumah ke rumah, persoalan mengenai siapa yang benar-benar memerlukan bantuan, siapa yang harus memberi bantuan, bagaimana bantuan harus diberikan dan piawaian serta prosedur yang harus diterima pakai untuk keluar daripada kemiskinan telahpun dijawab.

Bagi mengambil selangkah ke hadapan, kerajaan pusat juga menghantar berjuta-juta pegawai bandar ke barisan hadapan — turun ke peringkat akar umbi yang paling miskin dan bekerjasama dengan individu dalam keadaan fizikal yang sukar.

"Maka, sekali lagi bagaimana China dapat membasmi kemiskinan mutlak? Ia disebabkan oleh falsafah parti pemerintah, matlamat kemakmuran bersama," Zheng Yongnian, dekan Institut Lanjutan Kajian Global dan China Kontemporari di Chinese University of Hong Kong, Shenzhen, memberitahu CGTN.

Infrastruktur luar bandar, pendidikan dan rawatan kesihatan kesemuanya bertambah baik. Data rasmi menunjukkan lebih 9.6 juta orang berpindah dari rumah bata lumpur kecil mereka yang boleh menimbulkan kebimbangan keselamatan. Beberapa hospital luar bandar bekerjasama dengan rakan sejawat metropolitan mereka untuk menawarkan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi kepada penduduk luar bandar.

"Kemiskinan yang disebabkan oleh penyakit ialah salah satu masalah yang paling sukar di kawasan luar bandar," kata Hu Yi, ketua hospital awam di daerah Zhenxiong, Wilayah Yunnan. "Kini mereka tidak perlu lagi melakukan perjalanan jauh untuk mendapat rawatan, walaupun untuk penyakit yang serius."

Pengukuhan semula luar bandar: Memperkukuhkan pencapaian  

Kini Beijing menyasarkan lebih lagi selain memperkukuhkan hasilnya yang telahpun dicapai. Ia telah menetapkan matlamat untuk mencapai pemodenan asas pertanian dan kawasan luar bandar menjelang tahun 2035 dan matlamat yang besar iaitu industri pertanian yang mantap, kawasan desa yang indah dan petani yang kaya menjelang tahun 2050.

Satu istilah dibangkitkan: pengukuhan luar bandar.

"Bagi mempercepatkan pembentukan corak pembangunan baharu iaitu 'dwiperedaran' yang mana pasaran domestik dan asing saling mengukuhkan antara satu sama lain, dengan pasaran domestik sebagai tunjang utama, penting untuk pertanian, kawasan luar bandar dan petani untuk memainkan peranan pemantapan dan sokongan bagi mengekalkan pembangunan ekonomi serta sosial China," kata Li Guoxiang, felow penyelidikan di Institut Pembangunan Luar Bandar di bawah Akademi Sains Sosial Cina, dalam artikel Pendapat CGTN.

Bagi kampung-kampung yang mana produk pertanian dijual semata-mata di kawasan sekitar mereka, kini pasaran mereka menjadi luas hasil daripada perkhidmatan e-dagang yang semakin berkembang pesat.

Luo Huimin, seorang anak watan dari Daerah Wannian, Wilayah Jiangxi, menganalisis permintaan terhadap produk pertanian di bandar dan mengoptimumkan bekalan produk pertanian. Kini beliau membuka rangkaian kedai yang menghantar tanaman dan minyak kepada penduduk di seluruh negara, dari Nanchang, ibu kota wilayah Jiangxi hingga ke selatan Wilayah Guangdong.

Dengan lebih daripada 90 orang bekerja – kesemuanya dari kampung halaman Luo – kini setiap seorang daripada mereka menerima sehingga 15,000 yuan ($2,172) setiap bulan.

Menurut satu tinjauan dalam kalangan 3,378 pekerja hijrahan yang dijalankan pada awal tahun 2019, lebih daripada 60 peratus responden berkata mereka percaya bahawa peningkatan sumber awam seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur meyakinkan mereka untuk tinggal di luar bandar atau kembali dari kawasan pesisir.

Kesukaran yang dialami dalam pengukuhan semula luar bandar tidak kurang hebatnya daripada pembasmian kemiskinan melampau, kata Xi dalam ucapan pada hari Khamis. "Namun begitu, kami akan mengekalkan momentum bekerja keras dan terus mara ke hadapan!"

Artikel asal: di sini.

Source: CGTN
Keywords: Publishing/Information Service Economic news, trends, analysis