omniture

Para penyelidik mendapati bahawa pendidikan keibubapaan membawa manfaat yang besar kepada kelangsungan hidup kanak-kanak

Institute for Health Metrics and Evaluation
2021-06-11 21:21

Salah satu daripada beberapa kajian yang meninjau pendidikan keibuan dan kebapaan mendapati kesan perlindungan bagi kedua-duanya

SEATTLE, 11 Jun 2021 /PRNewswire/ -- Sebuah kajian baharu yang dijalankan oleh para penyelidik Institute for Health Metrics and Evalution (IHME) di University of Washington School of Medicine dan Centre for Global Health Inequalities Research (CHAIN) mendapati pengurangan yang ketara dalam risiko kematian kanak-kanak yang dikaitkan dengan tempoh pendidikan keibubapaan yang lebih lama.

Menurut kajian tersebut, pendidikan keibuan selama setahun mengurangkan risiko kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun sebanyak 3% manakala 30% daripada kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu berpendidikan selama 12 tahun didapati kurang cenderung untuk meninggal dunia sebelum berumur 5 tahun berbanding mereka yang dilahirkan oleh ibu yang tiada pendidikan langsung. Pendidikan kebapaan selama dua belas tahun mengurangkan risiko kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun sebanyak 17% berbanding mereka yang tiada pendidikan langsung.

"Penyelidikan ini amat menarik kerana konsistensi kesan positif yang didapati daripada pendidikan di seluruh lokasi geografi dan masa," kata Hunter York, pengarang utama bagi kajian ini. "Walaupun bukti ini bukanlah penyebabnya, namun ia menunjukkan hubungan lain yang dipengaruhi oleh tingkah laku berhubung kait dengan pendidikan rendah, seperti merokok atau campur tangan polisi yang bertujuan untuk meningkatkan tahap kelangsungan hidup kanak-kanak tanpa mengira tahap pendidikan ibu bapa, misalnya, perancang keluarga yang diberikan secara percuma. Ini merupakan mekanisme penting yang mempengaruhi hubungan antara pendidikan dan kesihatan kanak-kanak, namun hasil kajian kami mengesyorkan tentang manfaat fungsi pendidikan itu sendiri."

Pengarang kajian ini menekankan kepentingan penyelidikan lanjut tentang pendidikan kebapaan yang kajiannya terlalu sedikit berbanding pendidikan keibuan.

"Walaupun setelah pendidikan seorang ibu berjaya dikawal, namun pendidikan bagi seorang bapa tetap penting," kata Profesor Emmanuela Gakidou, salah seorang pengarang kanan dalam kajian ini. "Kebanyakan kajian hanya memerhatikan bilangan tahun pendidikan keibuan, tetapi hubungan antara kedua-duanya amat penting untuk difahami dan dianalisis dan sumbangan pendidikan kebapaan terhadap kelangsungan hidup kanak-kanak tidak boleh dipandang remeh."

Lebih 300 kajian daripada 92 buah negara dimasukkan ke dalam analisis dengan merekodkan lebih tiga juta kelahiran secara langsung. Para penyelidik mendapati bahawa kesan perlindungan daripada pendidikan kebapaan diperkukuh apabila usia kanak-kanak meningkat, tetapi ia signifikan untuk semua kumpulan umur di bawah 5 tahun.

  • Bagi neonat (0-27 hari), setiap pertambahan tahun pendidikan keibuan mengurangkan risiko kematian sebanyak 1.5%. Setiap tahun pendidikan kebapaan mengurangkan risiko sebanyak 1.1%.
  • Bagi bayi (1-11 bulan), setiap tahun pendidikan keibuan mengurangkan risiko kematian sebanyak 3.7%. Setiap tahun pendidikan kebapaan mengurangkan risiko sebanyak 1.8%.
  • Bagi kanak-kanak bertatih (1-4 tahun), setiap tahun pendidikan keibuan mengurangkan risiko kematian sebanyak 4.4%. Setiap tahun pendidikan kebapaan mengurangkan risiko sebanyak 2.2%.

Hubungan ini didapati di seluruh wilayah dan selepas faktor kekayaan atau pendapatan, tahap pendidikan pasangan dan jantina kanak-kanak dikawal.

"Pengurangan yang lebih banyak dalam kadar kematian kanak-kanak amat diperlukan dan pelaburan dalam pendidikan mungkin menjadi kunci untuk mencapai matlamat ini," kata Ketua CHAIN, Profesor Terje Andreas Eikemo. "Sudah tiba masanya pendidikan diketengahkan ke dalam agenda polisi antarabangsa sebagai penentu kelangsungan hidup kanak-kanak global."

Yang lebih penting, kajian ini juga mendapati bahawa kesan pertambahan setiap tahun pendidikan ke atas kelangsungan hidup kanak-kanak kekal sama untuk pendidikan rendah, menengah dan tertiari – menunjukkan bahawa fokus terhadap pendidikan rendah semata-mata menghilangkan peluang untuk mengurangi bilangan kematian di bawah umur 5 tahun dan juga peluang untuk memberikan kelangsungan hidup yang terbaik pada kanak-kanak. 

"Seluruh generasi, pendidikan dan kesihatan adalah saling berkaitan," kata Kam Sripada, salah seorang pengarang utama kajian ini. "Akses yang universal terhadap pendidikan berkualiti mesti dijadikan keutamaan dari awal kehidupan hingga ke pengajian tinggi, kedua-dua ini adalah untuk menyokong generasi semasa mencapai potensinya dan membantu generasi akan datang untuk terus hidup dan berkembang maju."

Kajian ini dibiayai oleh Norwegian Research Council, Bill & Melinda Gates Foundation dan Rockefeller Foundation-Boston University Commission on Social Determinants, Data and Decision Making (3-D Commission).

Sila hubungi:   media@healthdata.org

Tentang Institute for Health Metrics and Evaluation

Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME) ialah sebuah organisasi penyelidikan kesihatan global yang bebas di University of Washington School of Medicine yang menyediakan ukuran yang ketat dan boleh dibandingkan pada masalah kesihatan yang paling penting di dunia dan menilai strategi yang digunakan untuk menanganinya. IHME komited terhadap ketelusan dan menjadikan maklumat ini tersedia secara meluas supaya pembuat dasar mempunyai bukti yang mereka perlukan untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat tentang peruntukan sumber bagi meningkatkan kesihatan penduduk.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1156878/IHME_Logo.jpg?p=medium600  

Source: Institute for Health Metrics and Evaluation
Keywords: Education Health Care/Hospital