omniture

GSMA Mendedahkan Kerisauan Tentang Privasi Mudah Alih Boleh Mengehadkan Perluasan Penggunaan App Mudah Alih di Malaysia

GSMA
2013-08-29 09:00 194

KUALA LUMPUR, Malaysia, 29 Ogos 2013 /PRNewswire/ -- GSMA, dengan kerjasama pengendali mudah alih tempatan, hari ini telah melancarkan kajian baharu yang menerokai bagaimana kerisauan tentang privasi boleh menjejaskan penggunaan app dan perkhidmatan mudah alih di Malaysia. Kajian yang melibatkan lebih 1,500 pengguna mudah alih Malaysia menunjukkan bahawa ketelusan dan pilihan yang meningkat bagi cara data peribadi mereka dikumpul dan dikongsi boleh merangsangkan penggunaan app mudah alih di Malaysia. Pasaran app mudah alih sedunia bernilai USD $29 bilion dan sedang meningkat pada kadar 36 peratus setahun [1]. Kajian ini dibentangkan semasa Persidangan Perlindungan Data dan Privasi oleh GSMA, Celcom Axiata dan DiGi di Kuala Lumpur.

Tom Phillips, Ketua Pegawai Hal Ehwal Kerajaan dan Kawal Selia GSMA memberi komen: "Sudah jelas pengguna mudah alih risaukan privasi mereka dan lebih berkemungkinan berinteraksi dengan app dan menerima promosi yang disasarkan jika mereka rasa privasi mereka dihormati. Kami menggesa pembangun perkhidmatan dan app mudah alih meneliti pelbagai garis panduan privasi amalan terbaik yang ada, termasuk yang diterbitkan oleh GSMA[2] dan NTIA[3], dan mula memasukkan ini ke dalam perkhidmatan mereka. Kejujuran dan ketelusan dengan pelanggan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan mereka untuk melibatkan diri dengan apa yang anda tawarkan."

Lebih Keselamatan, Lebih Perkhidmatan Mudah Alih 
Kajian itu mendedahkan langkah perlindungan privasi yang lebih baik akan melegakan kerisauan pengguna mudah alih dan menggalakkan penggunaan perkhidmatan dan app mudah alih:

  • Lapan puluh enam peratus pengguna Internet mudah alih Malaysia yang dikaji selidik berasa risau app mungkin sedang mengutip maklumat peribadi mereka tanpa kebenaran mereka, dan lebih separuh daripada mereka mengehadkan penggunaan app mereka tetapi akan lebih banyak menggunakannya jika mereka pasti maklumat peribadi mereka dilindungi dengan lebih baik; dan
  • Tujuh puluh satu peratus pengguna Internet mudah alih akan mempertimbangkan untuk menerima pengiklanan berasaskan lokasi yang disasarkan daripada syarikat yang meminta kebenaran mereka dahulu.

Pengguna Menyeru Kawalan Lebih Ketat Terhadap Data Peribadi Mereka
Kajian yang dikeluarkan hari ini menunjukkan pengguna mudah alih mahu memahami dan mudah mengawal jenis data peribadi yang boleh diakses oleh perkhidmatan mudah alih berbeza pada peranti mereka:

  • Enam puluh dua peratus daripada pengguna yang memuat turun app cuba mengetahui maklumat apa yang app itu mahu gunakan dan kenapa sebelum memasang app itu;
  • Enam puluh sembilan peratus pengguna mudah alih Malaysia mahu menetapkan pilihan mereka sendiri bagi jenis iklan dan masa iklan itu diterima pada peranti mudah alih mereka;
  • Tujuh puluh sembilan peratus pengguna Internet mudah alih bersetuju dengan polisi privasi tanpa membacanya terlebih dahulu, alasan utama adalah kerana ia "terlalu panjang"; dan
  • Lapan puluh tujuh peratus pengguna Internet mudah alih merasa ikon privasi yang diakreditasikan industri yang dipaparkan pada laman Internet mudah alih yang mereka lawati (cth: bagi menunjukkan pengutipan maklumat peribadi tanpa dikenali) akan menggalakkan mereka menerima iklan yang disasarkan.

Kajian itu juga menemui pengguna mudah alih mementingkan privasi mereka tetapi tidak mahu dibeban dengan notis privasi perundangan yang panjang lebar sebelum mereka boleh menggunakan app. Mereka mahu ikon yang pendek, ringkas dan mudah dikenali bagi membantu mereka memahami apa yang mereka persetujui. Contohnya, app yang ingin berkongsi lokasi pengguna dengan pengiklan boleh mempamerkan ikon grafik dan memerlukan mereka bersetuju dengannya. Ikon seperti itu berkemungkinan tinggi dapat mengukuhkan keyakinan pengguna dengan penyedia perkhidmatan mudah alih serta app dan menggalakkan mereka berinteraksi lebih lagi dengan perkhidmatan itu, lalu memberi faedah kepada kedua-dua pihak serta perniagaan itu sendiri.

Melindungi Maklumat Peribadi adalah Kuncinya
Pengguna mudah alih mempertanggungjawabkan pengendali mudah alih mereka bagi melindungi data peribadi mereka tetapi mahu semua syarikat yang mengakses maklumat peribadi mereka menghormati hak privasi mereka, tidak mengira jenis telefon pintar, perkhidmatan atau app apa yang mereka gunakan. Mereka juga meminta bantuan daripada pengawal selia dan pengendali mudah alih apabila privasi mudah alih mereka telah dicerobohi:

  • Lebih daripada separuh (55 peratus) pengguna mudah alih Malaysia menganggap pengendali rangkaian mudah alih mereka bertanggungjawab untuk melindungi maklumat peribadi mereka walaupun dalam situasi di mana pengendali itu tidak mempunyai sebarang kuasa kawalan, contohnya, apabila mereka memuat turun app daripada kedai app bebas;
  • Lima puluh enam peratus pengguna mudah alih mempunyai set peraturan tetap yang patut diaplikasikan kepada apa-apa syarikat yang mempunyai akses kepada lokasi mereka, tidak mengira cara apa yang mereka gunakan bagi mendapatkan maklumat ini; dan
  • Tujuh puluh lima peratus pengguna mudah alih Malaysia berkata mereka akan menghubungi pengawal selia/pihak berkuasa perlindungan data dan/atau pengendali mudah alih mereka, jika mereka terkena pencerobohan privasi serius semasa menggunakan app, tidak mengira siapa yang bertanggungjawab.

Phillips berkata lagi: "Dengan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) yang akan dikuatkuasakan di Malaysia, pembuat polisi dan pemain industri mempunyai peluang yang bagus untuk bekerjasama bagi memahami cara terbaik bagi menangani isu privasi dalam konteks peranti mudah alih, dan bagi menyokong peluang inovasi dalam pengurusan privasi."

Kajian itu dijalankan secara bebas oleh Futuresight Ltd dan ditaja oleh GSMA, dengan kerjasama Celcom Axiata dan sokongan DiGi. Bagi melihat keputusan penuh kaji selidik dari Malaysia, lawati www.gsma.com/publicpolicy/mobile-and-privacy/resources

Nota kepada Editor 
[1] Sumber: Strategy Analytics, 2012

[2] http://www.gsma.com/publicpolicy/privacy-design-guidelines-for-mobile-application-development

[3] Ketahui lebih lanjut tentang App Trust Project (http://apptrustproject.com) dan inisiatif lain di bawah program ketelusan app mudah alih Pentadbiran Maklumat Telekomunikasi Kebangsaan: http://www.ntia.doc.gov/other-publication/2013/privacy-multistakeholder-process-mobile-application-transparency. Tatakelakuan notis ringkasan draf NTIA bagi menggalakkan ketelusan dalam amalan app mudah alih: http://www.ntia.doc.gov/files/ntia/publications/july_25_code_draft.pdf

Tentang GSMA
GSMA mewakili kepentingan pengendali mudah alih seluruh dunia. Dengan kehadiran di lebih 220 negara, GSMA menyatukan hampir 800 pengendali mudah alih sedunia dengan lebih 230 syarikat dalam ekosistem mudah alih yang lebih luas, termasuk pembuat telefon bimbit, syarikat perisian, penyedia peralatan dan syarikat Internet, serta organisasi dalam sektor industri seperti perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, media, pengangkutan dan kemudahan awam. GSMA juga mengadakan acara yang menerajui industri seperti Kongres Dunia Mudah Alih dan Ekspo Asia Mudah Alih.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web korporat GSMA di www.gsma.com atau Mobile World Live, gerbang dalam talian untuk industri komunikasi mudah alih, di www.mobileworldlive.com

 

 

 

Source: GSMA
Related Links:
Keywords: Mobile Entertainment Telecommunications Telecommunications Carriers and Services Wireless Communications Survey, Polls & Research Trade show news