omniture

Memperkenalkan Quantinuum: Syarikat Pengkomputeran Kuantum Bersepadu Terbesar Di Dunia

Quantinuum
2021-12-01 23:05 56

Quantinuum merupakan hasil gabungan dua peneraju global dalam pengkomputeran kuantum: Honeywell Quantum Solutions dan Cambridge Quantum 

CAMBRIDGE, England dan BROOMFIELD, Colorado, 1 Disember 2021 /PRNewswire/ -- Kedua-dua buah syarikat yang terkemuka dalam industri pengkomputeran kuantum ini telah bergabung untuk mewujudkan Quantinuum bagi mempercepat pembangunan pengkomputeran kuantum dan inovasi teknologi kuantum secara platform agnostik untuk menyampaikan penyelesaian didayakan kuantum dunia nyata bagi beberapa masalah yang paling sukar diselesaikan oleh komputer klasik.

Cambridge Quantum, perintis dalam perisian kuantum, sistem operasi dan keselamatan siber dan Honeywell Quantum Solutions, yang telah membangunkan perkakasan kuantum berprestasi tertinggi berdasarkan teknologi pemerangkapan ion, hari ini mengumumkan bahawa mereka telah memenuhi semua syarat yang diperlukan untuk memuktamadkan gabungan perniagaan ini dan membentuk syarikat baharu yang kini dikenali sebagai Quantinuum.

"Quantinuum kini merupakan syarikat pengkomputeran kuantum bersepadu yang terbesar dan paling maju di dunia," kata Ilyas Khan, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat baharu tersebut yang juga merupakan Pengasas Cambridge Quantum. "Dengan menyatukan perisian kuantum terbaik yang tersedia dengan perkakasan berprestasi tertinggi yang ada, kami berada pada kedudukan yang unik untuk membawakan produk dan penyelesaian pengkomputeran kuantum yang sebenar kepada pasaran yang besar dan berkembang pesat dalam jangka masa pendek, sederhana dan jangka panjang apabila komputer kuantum meningkat dari segi kapasiti dan kualitinya. Kami didorong oleh sains serta berasaskan perusahaan dan penampilan serta skala global kami dalam bidang teknologi yang paling kritikal ini akan menghasilkan kepemimpinan dalam setiap bidang utama yang membentuk 'ciri wajib' pengkomputeran kuantum bagi menyampaikan penyelesaian dunia nyata kepada semua pelanggan dan rakan kongsi kami."

Quantinuum akan melancarkan produk keselamatan siber kuantum pada bulan Disember 2021 di seluruh dunia dan kemudian pada tahun 2022, akan memperkenalkan sebuah pakej perisian perusahaan yang menggunakan pengkomputeran kuantum untuk menyelesaikan masalah saintifik yang kompleks dalam sektor farmaseutikal, sains bahan, bahan kimia dan agrokimia khusus.  Ia akan turut mengumumkan penambahbaikan utama terhadap teknologi perkakasan System Model H1 yang Dikuasakan oleh Honeywell, yang mempunyai jumlah ukuran kuantum paling tinggi, serta inovasi industri yang mengurangkan ralat sekali gus berkembang ke arah pembangunan sistem kuantum tahan rosak yang menakjubkan. Dalam hal ini, komputer kuantum Siri-H meneruskan trend dalam memenuhi dan mengatasi pencapaiannya yang telah dijanjikan oleh syarikat sebelum ini sebagai sebahagian daripada pelan hala tuju perkakasannya.

"Saya teruja untuk membantu memimpin syarikat baharu kami yang akan mengubah dunia secara positif melalui penggunaan pengkomputeran kuantum. Para saintis kami terus berusaha dengan gigih untuk membangunkan teknologi perisian kuantum dan perkakasan terbaik yang tersedia dan saya teruja untuk menawarkan produk ini kepada pelanggan secara berterusan," kata Tony Uttley, Presiden merangkap Ketua Pegawai Operasi Quantinuum. "Beberapa minggu dan bulan akan datang akan menjadi suatu tempoh yang sangat aktif bagi Quantinuum apabila kami mempercepat langkah kami untuk menjana nilai yang unik daripada komputer kuantum masa kini, terutamanya dalam keselamatan siber. Walau bagaimanapun, sebagai tambahan kepada keselamatan siber, produk kami akan merangkumi penyelesaian untuk penyelidikan dan penghasilan ubat-ubatan, sains bahan, kewangan, pemprosesan bahasa semula jadi, serta pengoptimuman, pengecaman pola dan rantaian bekalan serta pengurusan logistik."

Quantinuum telah ditubuhkan enam bulan selepas Honeywell membuat pengumuman tentang Honeywell Quantum Solutions, bahagian pengkomputeran kuantum syarikatnya, akan dipisahkan dan bergabung dengan Cambridge Quantum. Pada peringkat permulaan ini, Honeywell akan menjadi pemegang saham Quantinuum terbesar dengan kira-kira 54 peratus pegangan dalam syarikat baharu tersebut. Selain pegangan ini, Honeywell juga telah melaburkan hampir $300 juta dalam usaha sama baharu ini untuk memastikan bahawa Quantinuum mempunyai modal yang cukup semasa pelancarannya.  Honeywell juga akan menjadi pembekal kepada Quantinuum yang menyokong proses pembuatan perangkap ion proprietari milik syarikat. Selain itu, Honeywell juga merupakan pelanggan Quantinuum dalam pelbagai projek di seluruh unit perniagaannya.

Quantinuum mempunyai hampir 400 orang kakitangan permulaan dengan pejabat-pejabat di United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman.  Daripada bilangan pekerja tersebut, kira-kira 300 orang saintis bertugas dalam pasukan teknikal untuk memajukan perkakasan dan membangunkan penyelesaian perisian.

Quantinuum akan mengekalkan sebuah ibu pejabat Eropah di Cambridge, UK dan sebuah ibu pejabat Amerika Utara di Colorado, AS. Syarikat ini akan terus menjadi syarikat platform agnostik sepenuhnya dalam pemilihan perkakasannya untuk menyediakan kemudahalihan yang menyeluruh kepada para pelanggannya dan memastikan prestasi paling berkesan bagi masalah yang diselesaikan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.quantinuum.com.

Siaran ini mengandungi pernyataan tertentu yang mungkin dianggap sebagai "pernyataan berpandangan ke hadapan" mengikut takrifan Seksyen 21E Akta Bursa Sekuriti 1934. Semua pernyataan, selain daripada pernyataan fakta sejarah yang menerangkan tentang aktiviti, peristiwa atau pembangunan yang kami atau pihak pengurusan kami hasratkan serta jangkaan, unjuran, kepercayaan atau ramalan, yang akan atau mungkin berlaku pada masa hadapan, adalah pernyataan yang berpandangan ke hadapan. Pernyataan tersebut adalah berdasarkan andaian dan penilaian tertentu yang dibuat oleh pihak pengurusan kami berdasarkan pengalaman mereka dan persepsi mereka terhadap trend masa lalu, keadaan ekonomi dan industri semasa, jangkaan perkembangan masa depan dan faktor-faktor lain yang dipercayai munasabah. Pernyataan berpandangan ke hadapan yang disertakan dalam siaran ini juga tertakluk kepada beberapa risiko dan ketidakpastian secara material, termasuk tetapi tidak terhad kepada faktor ekonomi, persaingan, kerajaan dan teknologi yang mempengaruhi operasi, pasaran, produk, perkhidmatan dan harga kami. Pernyataan berpandangan ke hadapan sedemikian bukan suatu jaminan prestasi pada masa hadapan dan hasil, pembangunan dan keputusan perniagaan sebenar mungkin berbeza daripada yang dijangkakan oleh pernyataan berpandangan ke hadapan yang berkenaan. Tanda dagangan Honeywell digunakan di bawah lesen Honeywell International Inc. Honeywell tidak membuat sebarang pernyataan atau jaminan yang berkaitan dengan perkhidmatan ini.

 

 

Source: Quantinuum
Keywords: Computer Hardware Computer Networks Computer Software Computer/Electronics High Tech Security Acquisitions, mergers, takeovers