omniture

Penyelidikan Antarabangsa Mendedahkan Jangkaan Dan Kebimbangan Terhadap Teknologi Dalam Pendidikan

Qatar Foundation
2021-12-08 19:05 22

DOHA, Qatar, 8 Disember 2021 /PRNewswire/ -- Penyelidikan baharu yang diterbitkan hari ini oleh Economist Impact dan ditugaskan oleh Qatar Foundation, telah mendedahkan bahawa kebanyakan ketua pendidikan telah menjadikan pembelajaran yang diperibadikan sebagai keutamaan kepada sekolah mereka – dan COVID-19 telah mempercepat penerimagunaan tersebut. Walau bagaimanapun, untuk memastikan pembelajaran yang diperibadikan boleh mencapai potensi sepenuhnya, usaha lanjut diperlukan untuk membangunkan bentuk metrik prestasi baharu, meningkatkan kerjasama antara bilik darjah dan firma teknologi pendidikan serta mendapatkan sokongan daripada para pelajar dan ibu bapa.

Laporan dan tinjauan antarabangsa terhadap ratusan para pendidik dan eksekutif Teknologi Pendidikan yang dilancarkan pada Sidang Kemuncak WISE 2021 di Doha, Qatar, meneroka tentang bagaimana Covid-19 telah memberi kesan kepada sikap terhadap pembelajaran yang diperibadikan di UK dan AS. Laporan tersebut mengkaji cara teknologi boleh menyokong pendidikan yang diperibadikan, maksud penerimagunaannya untuk para guru dan sama ada ia boleh membawa kepada hasil pembelajaran yang lebih baik untuk para pelajar.

Dapatannya juga menunjukkan bahawa walaupun pendidik merasakan peningkatan dalam teknologi pendidikan tidak dapat dielakkan, pembiayaan boleh menjejaskan kualiti dan keberkesanan penyelesaian yang boleh digunakan oleh pihak sekolah dan universiti, sementara terdapat juga kebimbangan yang meliputi privasi pelajar, penggunaan data dan pertimbangan etika.

"Sekatan pergerakan yang dialami semasa pandemik COVID-19 ini telah mewujudkan pergantungan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap teknologi pendidikan," kata Abeer Al-Khalifa, Presiden Pendidikan Prauniversiti Qatar Foundation yang menyelia 13 buah sekolah aliran perdana dan khusus.

"Penyelidikan baharu yang ditugaskan oleh Yayasan Qatar ini mengesahkan perkara yang telah menjadi jangkaan hampir keseluruhan warga dunia – iaitu penggunaan teknologi dalam sistem pendidikan akan meningkat – tetapi kebimbangan terhadap pembiayaan masih kekal. Ia juga menunjukkan keperluan untuk memastikan bahawa teknologi direka berdasarkan pengajaran dan pembelajaran, bukan sebaliknya, untuk mengelakkan penerimagunaan alat yang berkos rendah tetapi gagal membawa kita lebih dekat untuk mencapai matlamat akhir: meningkatkan pengalaman pembelajaran para pelajar.

"Kami berharap laporan ini hanyalah permulaan kepada sebuah perbincangan tentang cara kita boleh memastikan alatan Teknologi Pendidikan yang akhirnya digunakan secara meluas direka untuk menjadikan pembelajaran lebih diperibadikan dan bukan sekadar satu percubaan untuk menggunakan perisian sebagai cara meningkatkan produktiviti."

Laporan tersebut mendapati bahawa 92% daripada mereka yang ditinjau membuat penyediaan pengalaman pembelajaran yang diperibadikan menjadi keutamaan di sekolah mereka, dengan hampir semua berperasaan bahawa COVID-19 telah mempercepat penggunaan teknologi pendidikan dan terdapat kepercayaan yang meluas bahawa belanjawan sekolah untuk pembelajaran yang diperibadikan akan meningkat.

Sebahagian besar peserta tinjauan turut merasakan bahawa pembelajaran yang diperibadikan akan memberi manfaat kepada pelajar yang mendapat pencapaian rendah berbanding rakan sebaya mereka yang mendapat pencapaian tinggi, dan bagi mereka yang kurang upaya berbanding mereka yang tidak, manakala 95% berasa yakin bahawa teknologi pembelajaran yang diperibadikan akan membantu memastikan kaedah pengajaran disesuaikan untuk keperluan pelajar yang lebih terpinggir.

Walau bagaimanapun, pelajar dan ibu bapa kurang menyokong pembelajaran yang diperibadikan berbanding guru-guru dan pentadbir sekolah, manakala satu perempat daripada peserta mengatakan bahawa penolakan oleh para pelajar telah menjadi halangan utama dalam memperkenalkan pembelajaran yang diperibadikan yang didayakan oleh Teknologi Pendidikan. Sementara itu, 98% merasakan peralihan secara tiba-tiba kepada pembelajaran jarak jauh semasa pandemik ini telah mewujudkan tumpuan yang terlalu besar kepada aspek teknologi pendidikan yang diperibadikan, dengan hampir separuh daripada pendidik bimbang sekiranya para pelajar menjadi terlalu bergantung pada teknologi, dan 61% berasa bimbang jika peningkatan pembelajaran yang diperibadikan boleh mengurangkan interaksi pelajar-guru dan membantutkan pembangunan sosial.

Laporan penuh tersedia secara percuma untuk dimuat turun di https://www.qf.org.qa/the-economist-intelligence-unit-report/pre-university-education

Qatar Foundation ialah sebuah organisasi bukan berkeuntungan yang ditubuhkan pada tahun 1995 yang menyokong pembangunan mampan Qatar melalui program dan inisiatif dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan komuniti.

 

 

Source: Qatar Foundation
Keywords: Computer/Electronics Education Not for profit Survey, Polls & Research