omniture

Cabaran Insentif Baharu Menawarkan Hadiah untuk Idea bagi Meningkatkan Kesedaran dan Penggunaan Perkhidmatan Kesihatan Mental

New York Academy of Sciences
2013-09-11 02:04 363

- Rakan kongsi mencari idea bagi meningkatkan permintaan dan penggunaan perkhidmatan kesihatan mental yang menyeluruh dan berpusat dalam komuniti untuk kemurungan dan keresahan dalam keadaan kekurangan sumber.

NEW YORK, 11 September 2013 /PRNewswire/ -- Scientists Without Borders, dengan kerjasama Johnson & Johnson, hari ini mengumumkan Cabaran inovasi terbuka bernilai $10,000 bagi mencari idea untuk meningkatkan kesedaran dan penggunaan perkhidmatan kesihatan mental untuk gangguan kemurungan dan keresahan dalam pesakit di dunia membangun. Cabaran ini akan dijalankan selama 31 hari, dan akan ditutup pada Hari Kesihatan Mental Global, 10 Oktober 2013.

Gangguan mental menyebabkan kesan kesihatan awam yang teruk di negara berpendapatan rendah dan sederhana (LMIC), yang menyaksikan hampir tiga suku daripada kes global berlaku. Dalam LMIC dan keadaan kekurangan sumber lain, gangguan mental diburukkan lagi dengan beberapa cabaran. Ini termasuklah kekurangan kesedaran dan pendidikan, serta stigma daripada masyarakat dan individu.

Lebih-lebih lagi, terdapat kekurangan pelaburan dunia yang sangat ketara dalam penjagaan kesihatan mental. Walaupun gangguan mental menyumbang lebih banyak kepada beban global untuk penyakit yang tidak menular berbanding penyakit jantung atau kanser,[1] kebanyakan negara hanya memperuntukkan kurang 2% daripada belanjawan kesihatan mereka untuk kesihatan mental.[2] Antara gangguan kesihatan mental, kemurungan unipolar[3] ialah salah satu gangguan yang paling biasa dan memudaratkan, memberi kesan kepada anggaran 5% daripada populasi atau 350 juta orang seluruh dunia. Gangguan keresahan didiagnosis dalam hampir separuh daripada semua kes kemurungan klinikal.[4]

Walaupun terdapat usaha yang dijalankan oleh kerajaan, penyokong kesihatan, dan penggubal dasar, kekurangan kesedaran yang berterusan serta permintaan antara pesakit dan keluarga untuk perkhidmatan kesihatan mental yang mencukupi serta kekurangan penggunaan perkhidmatan yang memang sedia wujud masih lagi berlaku pada peringkat negara dan tempatan.

Oleh itu, Cabaran ini khusus untuk mencari idea yang berani dan inovatif serta berpotensi untuk meningkatkan secara signifikan penggunaan perkhidmatan berdasarkan bukti yang sedia ada untuk diagnosis dan rawatan antara individu yang berusia 15-44 tahun dengan kemurungan dan gangguan keresahan. Idea itu mestilah menghormati budaya dan boleh dilaksanakan dalam keadaan dengan kekurangan sumber.

"Kami sangat gembira dapat bekerjasama dengan Johnson & Johnson dan InnoCentive bagi mengaplikasikan model inovasi terbuka kolaboratif kami bagi mencari penyelesaian untuk meningkatkan kesedaran dan penggunaan perkhidmatan kesihatan mental bagi diagnosis dan rawatan kemurungan dan gangguan keresahan di LMIC," kata Chenelle Bonavito, Rakan Sekutu Program di Scientists Without Borders.

"Terdapat keperluan yang banyak untuk membantu orang di wilayah negara membangun yang menderitai penyakit mental," kata Husseini K. Manji, MD, Ketua Global, Bidang Neurosains Terapeutik, Janssen Research & Development, LLC, sebuah syarikat Johnson & Johnson. "Kami sangat bertuah kerana dapat menyokong usaha ini bagi menyeru penglibatan penyelesai masalah global yang berkepelbagaian untuk mencari cara baharu bagi membantu mendidik orang ramai dan membolehkan mereka mendapatkan penjagaan untuk penyakit mental dan untuk berharap bagi rawatan yang berkesan." Projek ini berkaitan dengan Inisiatif Minda Sihat, yang dilancarkan pada tahun 2011 oleh Janssen Pharmaceutical Companies, syarikat Johnson & Johnson, yang berusaha untuk memecutkan kemajuan dalam memerangi gangguan otak – melalui penemuan asas, terjemahan klinikal, dan kolaborasi berbilang sektor – dan untuk membantu mendidik orang ramai tentang gangguan otak dan mengurangkan stigma yang dikaitkan dengan mereka.

"Ada halangan pada kedua-dua belah permintaan dan bekalan bagi memperbaiki akses untuk penjagaan kesihatan mental di semua negara. Walaupun terdapat kemajuan untuk memperbaiki bekalan penjagaan kesihatan mental, tidak banyak tindakan yang diambil bagi memenuhi permintaan ini. Boleh dikatakan kita sendiri tidak cukup memahami tentang halangan ini, apatah lagi cara untuk menanganinya. Cabaran ini memang diadakan pada masa yang tepat, dan saya tidak sabar-sabar lagi untuk menerima idea yang benar-benar inovatif bagi menangani halangan untuk permintaan dan penggunaan penjagaan kesihatan mental untuk kemurungan dalam keadaan kekurangan sumber," kata Dr. Vikram Patel, salah seorang hakim dalam panel Cabaran itu, dan profesor Kesihatan Mental Antarabangsa dan Felo Penyelidik Kanan Dana Wellcome dalam Sains Klinikal; Pusat Kesihatan Mental Global, Fakulti Kebersihan dan Perubatan Tropika London; Sangath, Goa, Pusat Kesihatan Mental India, Yayasan Kesihatan Awam India.

"Kami gembira dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif yang penting ini dan bekerja bersama rakan kongsi yang begitu terkemuka," kata Alpheus Bingham, PhD, pengasas dan ahli lembaga InnoCentive. "Penyelesai kami dari seluruh dunia, seperti kami juga, telah mengalami sendiri, atau bagi pihak keluarga dan kawan-kawan, cabaran untuk akses dan sistem penyampaian berkesan bagi kesihatan mental. Kami tidak sabar-sabar lagi untuk menerima kepelbagaian pemikiran dan pendekatan yang akan terhasil daripada Cabaran ini."

Para penyelesai dijemput untuk menghantar idea mereka melalui InnoCentive, yang mentadbir bahagian dalam talian untuk Cabaran ini. Satu panel bebas yang terdiri daripada peneraju pakar yang dibawa bersama oleh Scientists Without Borders akan memilih pemenang Cabaran.  Para pemenang akan diumumkan enam minggu selepas penutupan Cabaran itu.

Agar selaras dengan komitmen rakan kongsi bagi menggalakkan kemajuan terbuka idea hebat, penyelesaian yang menang akan dimuat naik dan disediakan untuk orang awam pada laman web Scientists Without Borders bagi menggalakkan pemahaman dan inovasi.

Bagi membaca tentang Cabaran itu dan mengetahui lebih lanjut lagi, sila lawati www.scientistswithoutborders.org

Tentang Scientists Without Borders
Scientists Without Borders, program Akademi Sains New York, ialah komuniti kolaboratif berasaskan web yang menjana dan memajukan penyelesaian berasaskan sains dan teknologi yang inovatif dan berkesan bagi cabaran pembangunan global. Model unik Scientists Without Borders menggunakan kelebihan platform dalam talian percuma bagi menghubungkan kumpulan seluruh dunia yang terdiri daripada pengguna berbilang sektor dan bidang pengkhususan bagi membangunkan dan berkongsi secara terbuka penyelesaian berkesan dan konkrit untuk cabaran ini. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Scientists Without Borders, lawati www.scientistswithoutborders.org

Tentang Akademi Sains New York
Akademi Sains New York ialah organisasi bebas dan bukan untung yang telah komited sejak tahun 1817 bagi memajukan sains, teknologi dan masyarakat seluruh dunia. Dengan 25,000 ahli di 140 negara, Akademi itu sedang mencipta satu komuniti sains global bagi kebaikan kemanusiaan. Misi teras Akademi itu ialah memajukan pengetahuan sains, memberi impak positif kepada cabaran global besar dalam masyarakat dengan penyelesaian berasaskan sains, dan meningkatkan bilangan individu yang berpengetahuan sains dalam masyarakat. Sila lawati kami dalam talian melalui www.nyas.org.

Tentang InnoCentive
InnoCentive ialah peneraju global dalam menggunakan sumber orang ramai bagi masalah inovasi, mempergunakan orang terpandai di dunia yang bersaing bagi menyediakan idea dan penyelesaian untuk Cabaran perniagaan, sosial, polisi, saintifik, dan teknikal yang penting. Selama lebih satu dekad, organisasi komersil, kerajaan dan bukan untung yang meneraju telah bekerjasama dengan InnoCentive bagi menjana dengan pantas idea baharu inovatif dan menyelesaikan masalah yang mendesak. Untuk maklumat lanjut, lawati http://www.innocentive.com/

[1] The Global Burden of Disease: 2004 Update. Organisasi Kesihatan Sedunia. (WHO 2008)

[2] PROGRAM TINDAKAN JURANG KESIHATAN MENTAL (mhGAP),"Fokus Khas terhadap draf Pelan Tindakan Kesihatan Mental Global" http://www.who.int/mental_health/mhgap/mhGAP_forum_2012.pdf, Organisasi Kesihatan Sedunia. (WHO 2012).

[3]Kemurungan unipolar ialah gangguan perasaan di mana perasaan sedih, kehilangan, kemarahan atau kekecewaan yang dalam mengganggu kehidupan seharian (termasuk perhubungan peribadi, rutin kerja atau belajar, tidur, kebersihan diri, dan corak pemakanan) selama dua minggu atau lebih. Bagi tujuan Cabaran ini, istilah "kemurungan" merujuk kepada kemurungan unipolar.

[4] Barbee, J. G. (1998). Mixed symptoms and syndromes of anxiety and depression: Diagnostic, prognostic, and etiologic issues. Jurnal Annals of Clinical Psychiatry, 10: Halaman 15–29.

HUBUNGI: Diana Friedman, (212) 298-8645
dfriedman@nyas.org

Source: New York Academy of Sciences
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Mental Health New products/services