omniture

Sambutan Ulang Tahun ke-100 Desa Sekolah Jimei Dibiayai oleh Tan Kah-Kee di Xiamen, China

Xiamen Municipal Government, P.R. China
2013-10-01 07:47 142

XIAMEN, China, 1 Oktober 2013 /PRNewswire/ -- Tahun 2013 merupakan ulang tahun ke-100 bagi Desa Sekolah Jimei, kompleks pendidikan di Xiamen, wilayah Fujian. Pembinaan kompleks itu dibiayai oleh Tan Kah-Kee, seorang dermawan dan usahawan Cina yang berpangkalan di Asia Tenggara. Xiamen akan menganjurkan siri aktiviti yang akan menonjolkan kompleks itu dan akan berlangsung pada 21 hingga 22 Oktober. Siri aktiviti itu menampilkan acara perasmian bagi Bangunan Kah-Kee Hospital Jimei yang bernilai 300 juta yuan (kira-kira AS$48 juta), satu pelaburan usahasama oleh kerajaan perbandaran Xiamen dan Jawatankuasa Desa Sekolah Jimei, termasuk peningkatan bagi bangunan Sekolah Rendah Jimei yang bernilai 11 juta yuan (kira-kira AS$1.8 juta), antara lainnya.

Tan Kah-Kee yang dilahirkan di Desa Jimei pada tahun 1874, telah menyertai bapa beliau menguruskan perniagaan pada usia 17 tahun, bagi mengembangkannya di seluruh Asia Tenggara. Tan juga mendermakan hampir seluruh keuntungan beliau kepada bidang pendidikan dan kebajikan. Bermula pada tahun 1913, beliau membiayai pembinaan sedozen sekolah di kampung halaman beliau yang akhirnya dikenali sebagai Desa Sekolah Jimei. Beliau turut membiayai pembinaan sekolah dan universiti, termasuk Universiti Xiamen dan Institusi Hwa Chong. Kini, terdapat sekolah serta dana pendidikan dan amal di Singapura dan juga Malaysia yang dinamakan bersempana namanya.

Semua aspek acara ulang tahun ke-100 itu dikendalikan sendiri oleh Datuk Bandar Xiamen iaitu Liu Keqing. Lebih 500 tetamu dari seluruh dunia serta lebih 1,700 alumni, guru dan wakil pelajar telah mengesahkan kehadiran mereka. Agenda yang berkaitan termasuklah perjumpaan bagi memperingati Tan, pameran pencapaian pendidikan untuk ulang tahun ke-100 ini, simposium antarabangsa tentang penyelidikan Tan Kah-Kee, persidangan rangkaian alumni Jimei global dan perlumbaan perahu naga Cina.

Lin Hanyi, timbalan pengarah bagi jawatankuasa persediaan acara dan pengarah sekretariat berkata, "Tan Kah-Kee ialah seorang model bagi rakyat Cina yang tinggal di luar negara dalam memberi sumbangan kepada tanah air dan masyarakat. Cinta beliau terhadap negara dan kampung halaman beliau serta dana amal yang beliau sumbangkan bagi penubuhan sekolah mendapat sanjungan secara meluas di China dan juga di seluruh dunia. Sejak pembaharuan negara China dan pembukaannya, bandar Xiamen telah memperoleh banyak manfaat pembangunan sosial dan ekonomi serta pendidikan. Kami mengalu-alukan rakyat yang tinggal di luar negara dan rakan kami dari seluruh dunia untuk melawat Xiamen dan mengambil bahagian dalam persekitaran pelaburan yang cemerlang di sini serta peluang pendidikan dan pelancongan unik yang boleh didapati di sini."

Sumber:  Xiamen Municipal Government, P.R. China

Source: Xiamen Municipal Government, P.R. China
Keywords: Amusement Parks and Tourist Attractions Education Higher Education Travel