omniture

Merck Umum Perjanjian Jual Perniagaan Sitometri Aliran Amnis® dan Teknologi Guava® kepada Luminex Corporation

Merck
2018-10-19 23:21 1682

- Semua reagen berkaitan di bawah jenama-jenama ini termasuk dalam perjanjian

- Perjanjian strategik membolehkan Luminex tingkatkan jejak dalam pasaran sitometri aliran bernilai berbilion-bilion dolar

- Perjanjian dijangka selesai pada lewat tahun 2018

DARMSTADT, Jerman, 19 Oktober 2018 /PRNewswire/ -- Merck, syarikat sains dan teknologi yang bertenaga, hari ini mengumumkan penandatanganan perjanjian muktamad untuk menjual unit Sitometri Alirannya kepada Luminex Corporation pada nilai €62.5 juta.1 Penutupan transaksi ini, yang dijangka pada lewat tahun 2018, tertakluk kepada syarat-syarat penutupan biasa.

Selepas penyelesaian transaksi ini, Luminex akan memiliki platform sitometri aliran Amnis® dan Guava® serta reagen-reagen berkaitan di bawah jenama-jenama tersebut. Ini termasuk portfolio melibatkan teknologi-teknologi utama yang menawarkan perkhidmatan kepada bidang penyelidikan. Merck terus mengurus portfolio komprehensifnya secara aktif dengan memanfaatkan inovasi dan menyerahkannya kepada pihak terbaik untuk terus memacu nilai buat pelanggan.

"Ini merupakan peluang yang menarik untuk kedua-dua organisasi kami dan saya ingin mengucapkan terima kasih seikhlas hati kepada rakan-rakan sejawat kami yang komited," kata Udit Batra, ahli Lembaga Eksekutif Merck dan Ketua Pegawai Eksekutif Life Science. "Luminex ialah rakan kongsi lama dan dipercayai yang menyediakan pelbagai penyelesaian untuk diagnostik klinikal, penemuan ubatan farmaseutikal dan kajian bioperubatan. Luminex berkongsi keyakinan yang sama dengan kami untuk menyelesaikan masalah-masalah paling sukar dalam sains hayat. Ini akan menjadi pusat baharu yang hebat buat pasukan tersebut untuk memanfaatkan kepakaran mereka dan memperkenalkan lebih banyak penyelesaian kepada kumpulan yang lebih luas. Dalam masa yang sama, pelanggan-pelanggan sedia ada kami akan mendapat akses kepada portfolio produk Luminex yang dikagumi."

Pemerolehan ini meluaskan tawaran sedia ada Luminex melibatkan sistem pengesanan berasaskan aliran yang menumpu pada teknologi pemultipleksan xMAP®, dengan lebih 15,000 sistem xMAP® dijual di seluruh dunia. Sitometer Aliran Pengimejan ImageStream®X Mark II Merck, sebagai contoh, mempunyai tahap kepekaan yang amat tinggi dan digunakan untuk mengesan dan mencirikan partikel-partikel kecil.

"Sebagai penginovasi dalam teknologi berasaskan aliran, kami berasa teruja untuk memperoleh aset-aset sitometri aliran daripada Merck rakan kongsi jangka panjang sedia ada kami, seraya dapat meluaskan portfolio sistem pengesanan kami untuk memenuhi keperluan penyelidik yang berminat dalam analisis selular," kata Homi Shamir, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Luminex. "Kami tidak sabar-sabar untuk menerima pasukan berbakat Merck dalam keluarga Luminex."

Latar Belakang Luminex Corporation
Di Luminex, misi kami adalah untuk memperkasa makmal-makmal bagi memperoleh jawapan yang andal, tepat pada masanya dan boleh diambil tindakan, seterusnya dapat memajukan kesihatan. Kami menawarkan pelbagai penyelesaian yang boleh digunakan dalam pelbagai pasaran termasuk diagnostik klinikal, penemuan ubatan farmaseutikal, kajian bioperubatan, kajian genomik dan proteomik, kajian biopertahanan dan keselamatan makanan. Kami mempercepatkan jawapan yang andal dan dalam masa yang sama memudahkan kerumitan dan memberi kepastian menerusi pengalaman yang lancar. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Luminex, sila kunjungi kami di www.luminexcorp.com.

Ikuti Merck di Twitter @Merckgroup, Facebook @merckgroup dan LinkedIn.

Semua siaran berita Merck diedarkan melalui emel dan dalam masa yang sama turut tersedia di laman sesawang Merck. Sila layari www.merckgroup.com/subscribe untuk mendaftar dalam talian, menukar pilihan anda atau untuk berhenti melanggan perkhidmatan ini. 

Latar Belakang Merck
Merck ialah sebuah syarikat sains dan teknologi terkemuka dalam bidang penjagaan kesihatan, sains hayat dan juga bahan prestasi. Sekitar 53,000 kakitangannya berusaha untuk terus memajukan teknologi yang dapat menambah baik serta mempertingkat kualiti kehidupan, bermula dengan terapi biofarmaseutikal bagi merawat kanser atau sklerosis berbilang, sistem yang canggih untuk tujuan penyelidikan saintifik dan pengeluaran, kepada kristal cecair untuk telefon pintar dan juga televisyen LCD. Pada tahun 2017, hasil jualan Merck mencecah €15.3 bilion di 66 negara.

Ditubuhkan pada tahun 1668, Merck ialah syarikat farmaseutikal dan bahan kimia yang paling lama bertapak di dunia. Keluarga pengasasnya kekal sebagai pemilik majoriti kumpulan korporat senaraian awam ini. Merck memegang hak global nama dan jenama "Merck". Ini tidak termasuk Amerika Syarikat dan Kanada, memandangkan syarikat beroperasi sebagai EMD Serono, MilliporeSigma dan EMD Performance Materials.

1 Terdiri daripada kira-kira €58.3 juta untuk dibayar di bawah Perjanjian Belian Saham dan Aset dan kira-kira €4.2 juta dalam belian inventori komited. Nilai tukaran USD, EUR 1 = $ 1.20.

Source: Merck
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Contracts