omniture

Keamanan mencapai tahap terendah dalam masa 15 tahun berikutan ketidaktentuan ekonomi pasca Covid dan konflik Ukraine

Institute of Economics and Peace
2022-06-15 12:00 60

LONDON, 15 Jun 2022 /PRNewswire/ -- Hari ini menandakan pelancaran edisi Global Peace Index yang ke-16oleh kumpulan pemikir antarabangsa iaitu Institute for Economics & Peace (IEP).

Dapatan utama 

  • Kematian akibat konflik luar mencatatkan kemerosotan mendadak yang didorong oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
  • Walaupun terdapat komitmen yang dinyatakan baru-baru ini, penenteraan telah meningkat di 113 buah negara sejak tahun 2008.
  • Situasi keganasan terus bertambah baik, dengan 70 buah negara tidak merekodkan sebarang serangan pada tahun 2021. Ini merupakan keputusan yang terbaik sejak tahun 2008.
  • Kenaikan kos telah meningkatkan ketakjaminan makanan dan ketidakstabilan politik di seluruh dunia, dengan Afrika, Asia Selatan dan Timur Tengah menghadapi ancaman terbesar.
  • Skala keganasan politik, kebimbangan politik, hubungan dengan negara jiran, pelarian serta orang tidak bertempat dalaman (IDP) telah mencapai skor terburuk sejak GPI ini dimulakan.
  • Kesan terhadap ekonomi global akibat keganasan mencatatkan kerugian bernilai $16.5 trilion pada tahun 2021, bersamaan dengan 10.9% daripada KDNK global atau $2,117 setiap seorang.

Kesan Perang di Ukraine terhadap Keamanan

  • Dua daripada lima buah negara yang mengalami kemerosotan keamanan terbesar ialah Rusia dan Ukraine.
  • Media sosial mengubah cara maklumat risikan dikumpulkan - ia kini dikongsikan dengan serta-merta, tanpa tapisan dan dengan sedikit analisis.
  • Berbeza dengan trend global, sentimen positif di Ukraine telah meningkat pada tahun 2021. Sokongan terhadap negara-negara Barat adalah kuat, dengan 58% ingin menyertai kesatuan ekonomi Barat dan 54% menyokong penyertaan ke dalam NATO.

Edisi ke-16 laporan tahunan Global Peace Index (GPI) yang merupakan ukuran keamanan global terkemuka di dunia mendedahkan bahawa purata tahap keamanan global telah merosot sebanyak 0.3% pada tahun 2021. Ini merupakan kemerosotan keamanan kesebelas dalam tempoh empat belas tahun yang lalu, dengan 90 buah negara bertambah baik manakala 71 lagi semakin merosot, menunjukkan bahawa negara-negara mengalami kemerosotan jauh lebih pantas berbanding penambahbaikan.

Iceland kekal sebagai negara yang paling aman, satu kedudukan yang telah dipegangnya sejak tahun 2008. New Zealand, Ireland, Denmark dan Austria turut berada dalam senarai teratas indeks ini. Untuk tahun kelima berturut-turut, Afghanistan kekal sebagai negara paling tidak aman, diikuti oleh Yaman, Syria, Rusia dan Sudan Selatan. Tujuh daripada sepuluh buah negara yang berada pada kedudukan teratas GPI adalah dari Eropah sementara Turki merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang disenaraikan di luar daripada kedudukan separuh teratas dalam Indeks tersebut.

Dua daripada lima buah negara yang mengalami kemerosotan keamanan terbesar ialah Rusia dan Ukraine, diikuti oleh Guinea, Burkina Faso dan Haiti. Semua kemerosotan yang berlaku ini berpunca daripada konflik yang sedang berterusan.

Daripada 23 penunjuk di dalam GPI, kemerosotan terbesar telah direkodkan berlaku dalam hubungan antara negara-negara jiran, intensiti konflik dalaman, pelarian dan IDP, skala keganasan politik serta ketidakstabilan politik. Dua puluh lapan buah negara mempunyai tahap ketidakstabilan yang tinggi manakala sepuluh buah negara mencatatkan skor keganasan politik yang paling teruk.

Ketaksamaan keamanan global dilihat terus meningkat. Sejak tahun 2008, 25 buah negara paling kurang aman telah merosot secara purata sebanyak 16%, manakala 25 buah negara yang paling aman telah meningkat sebanyak 5.1%. Sejak tahun 2008, 116 buah negara telah mengalami kadar pembunuhan yang berkurangan.

Kesan keganasan terhadap ekonomi global mencatatkan kerugian bernilai $16.5 trilion, atau 10.9% daripada KDNK global, bersamaan dengan $2,117 setiap orang. Bagi sepuluh negara yang paling terjejas oleh keganasan, kesan ekonomi purata adalah bersamaan dengan 34% daripada KDNK, berbanding 3.6% di negara-negara yang paling kurang terjejas.

Terdapat peningkatan ketara dalam beberapa penunjuk, termasuk kesan keganasan, senjata nuklear dan berat, kematian akibat konflik dalaman, perbelanjaan ketenteraan, kadar penahanan dan persepsi jenayah. Kesan keganasan berada pada tahap terendah sejak GPI ini dimulakan.

Steve Killelea, Pengasas & Pengerusi Eksekutif IEP berkata: "Pada tahun lepas, kami telah memberi amaran tentang kejatuhan ekonomi akibat COVID-19. Kita sedang mengalami kekurangan rantaian bekalan, peningkatan inflasi dan ketakjaminan makanan pada masa ini yang diburukkan lagi dengan peristiwa tragis di Ukraine. Kesan politik dan ekonomi daripada peristiwa ini akan terus diperkatakan pada tahun-tahun akan datang.

"Apabila digabungkan dengan skor paling rendah bagi hubungan kejiranan, ketakjaminan politik dan intensiti konflik dalaman, maka kerajaan, organisasi dan para pemimpin hendaklah memanfaatkan kuasa keamanan.

"Nilai ekonomi akibat hilangnya keamanan telah mencapai tahap terendah pada tahun 2021. Terdapat keperluan untuk menyongsangkan trend ini dan GPI telah menunjukkan bahawa negara-negara yang mempunyai sikap, institusi serta struktur yang dapat mewujudkan dan mengekalkan masyarakat yang aman akan menyaksikan hasil ekonomi yang lebih baik." 

Penenteraan & perang Ukraine

Perbelanjaan ketenteraan sebagai peratus KDNK telah menurun di 94 buah negara, manakala 112 buah negara telah mengurangkan kakitangan perkhidmatan bersenjata sejak tahun 2008.  Walau bagaimanapun, konflik Rusia Ukraine dan potensi peningkatan perbelanjaan ketenteraan oleh negara-negara NATO kepada 2% daripada KDNK boleh membawa kepada kemerosotan pada tahun-tahun yang akan datang. China yang secara dasarnya bebas daripada konflik ini, merancang untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraannya sebanyak 7.1% pada tahun 2022.

Optimisme terhadap masa depan meningkat sebanyak tiga kali ganda kerana ramai orang merasakan bahawa mereka mempunyai masa depan yang lebih cerah berbanding pada tahun 2019. Apa yang mengejutkan adalah hanya 20% sahaja yang merasakan pihak kerajaan mampu menangani bencana. Sebaliknya, perkadaran rakyat Rusia yang merasakan mereka lebih selamat berbanding lima tahun sebelum ini merosot antara tahun 2019 hingga 2021, manakala hampir tiga kali ganda rakyat Rusia berasa bimbang tentang situasi ekonomi*.

Walaupun kesan perang Rusia Ukraine masih dirasai sepenuhnya, ia telah pun memberi kesan yang signifikan terhadap Indeks ini. Banyak negara Eropah berhampiran Rusia telah menyaksikan skor hubungan dengan negara jiran yang merosot, termasuk Finland, Sweden, Romania, Estonia, Latvia, Lithuania dan Moldova.

Perang ini telah menekankan kepentingan teknologi dalam membentuk konflik; teknologi mudah alih 5G, revolusi media sosial dan tahap kemampuan memiliki dron yang lebih tinggi yang telah mengubah peperangan. Konflik baru-baru ini telah menekankan peralihan daripada maklumat risikan yang statik dan dipilih susun kepada pengumpulan maklumat masa nyata melalui media sosial. Maklumat boleh berubah, didorong kandungan dan dikongsi dalam format asal yang tidak ditapis.

Ekonomi global dan kebangkitan tunjuk perasaan yang ganas

Pandemik COVID-19 mendorong negara-negara bergerak menuju ke arah krisis ekonomi dan politik. Negara-negara yang lebih aman secara progresif telah mengalami kebangkitan protes dan keganasan yang ditujukan kepada cara kerajaan mengendalikan pandemik.

Intensiti tunjuk perasaan ganas telah meningkat sebanyak 49% sejak tahun 2008, dengan 126 daripada 163 negara di dalam Indeks ini mengalami kemerosotan. Ini merupakan satu trend global yang menjejaskan semua rantau di seluruh dunia kecuali Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA). Demokrasi penuh merekodkan kemerosotan yang paling ketara dalam demonstrasi keganasan, namun, jumlah skor bagi demokrasi penuh masih lebih baik berbanding mana-mana jenis pemerintahan lain.

Asia Selatan merupakan rantau dengan kekerapan dan intensiti tertinggi bagi tunjuk perasaan ganas dengan India, Sri Lanka, Bangladesh dan Pakistan mencatatkan skor tertinggi bagi penunjuk tersebut sejak permulaan GPI. Di Eropah, terdapat protes antisekatan pergerakan yang meluas, terutamanya di Belgium, Perancis, Belanda, Austria, Croatia dan UK, dengan perkembangan situasi yang serupa di Amerika Utara.

Konflik dan pengusiran 

Konflik yang Berterusan mengalami peratus kemerosotan yang terbesar pada kadar 9.3% daripada ketiga-tiga domain GPI sejak tahun 2008. Bilangan negara yang mengalami konflik keganasan dalaman telah meningkat daripada 29 kepada 38, tetapi bilangan mereka yang terbunuh dalam konflik dalaman telah berkurangan sejak tahun 2017. Bilangan orang yang diusir secara paksa di seluruh dunia telah meningkat daripada 31 juta pada tahun 2008, kepada lebih 88 juta orang pada tahun 2022.

Terdapat 17 buah negara dengan sekurang-kurangnya 5% daripada penduduknya adalah sama ada pelarian atau orang tidak bertempat dalaman. Sudan Selatan mempunyai lebih 35% penduduk tidak bertempat, manakala Somalia dan Republik Afrika Tengah mempunyai lebih 20%.

Gambaran keseluruhan serantau: 

  • Rusia dan Eurasia mengalami kemerosotan keamanan terbesar yang didorong oleh kemerosotan dalam kematian akibat konflik, pelarian dan IDP, ketidakstabilan politik serta keganasan politik.
  • Asia Selatan kekal sebagai rantau yang paling tidak aman namun mencatatkan peningkatan keamanan tertinggi yang didorong oleh penambahbaikan dalam konflik yang berterusan.
  • Asia Pasifik mencatatkan peningkatan keamanan yang didorong oleh penambahbaikan dalam ketiga-tiga domain GPI dengan kejadian terbesar dalam Keselamatan dan Perlindungan. Di Amerika Utara, AS mempunyai tahap keamanan yang paling rendah sejak tahun 2008, dengan pergolakan awam sebagai pemacu utama.
  • Jenayah ganas meningkat di Amerika Tengah dan Caribbean sebanyak 4.4% pada tahun 2022 yang mencapai tahap tertinggi sejak tahun 2008. Haiti mengalami kemerosotan terbesar di rantau ini.
  • MENA mencatatkan peningkatan kedua terbesar di seluruh dunia. Yaman ialah negara yang paling tidak aman di rantaunya untuk tahun kedua berturut-turut. Libya merekodkan peningkatan keamanan terbesar di seluruh dunia.
  • Afrika Sub-Sahara mencatatkan kemerosotan sebanyak 1%. Sudan Selatan kekal sebagai negara yang paling tidak aman di rantaunya, walaupun terdapat penambahbaikan secara keseluruhan. Walaupun tahap konflik dalaman negara kekal tinggi, bilangan kematian akibat konflik dalaman menunjukkan penambahbaikan sebanyak 15%.

Untuk maklumat lanjut dan memuat turun Global Peace Index 2022, sila layari visionofhumanity.org and economicsandpeace.org

TAMAT 

NOTA KEPADA EDITOR 

*Data adalah daripada Lloyd's Register Foundation World Risk Poll/IEP

Laporan GPI penuh, artikel dan peta interaktif boleh didapati di: www.visionofhumanity.org 

Twitter: @globpeaceindex

Facebook: www.facebook.com/globalpeaceindex 

Tentang Global Peace Index (GPI) 

Diterbitkan oleh kumpulan pemikir antarabangsa iaitu Institute for Economics & Peace (IEP), laporan GPI ini membentangkan analisis berdasarkan data yang paling komprehensif setakat ini tentang keamanan, nilai ekonominya, trend dan cara membangunkan masyarakat yang aman. Laporan ini meliputi 99.7% daripada populasi dunia dan menggunakan 23 penunjuk kualitatif dan kuantitatif daripada sumber yang amat dipercayai bagi menyusun indeks tersebut. Penunjuk-penunjuk ini dibahagikan kepada tiga kumpulan domain utama: Konflik, Keselamatan dan Perlindungan serta Penenteraan Berterusan.

Tentang Institute for Economics and Peace

IEP ialah sebuah syarikat pemikir antarabangsa dan bebas yang dikhususkan untuk mengubah fokus dunia terhadap keamanan sebagai satu bentuk ukuran kesejahteraan dan perkembangan manusia yang positif, boleh dicapai dan bernilai. IEP mempunyai pejabat di Sydney, Brussels, New York, The Hague, Mexico City dan Harare.

 

 

Source: Institute of Economics and Peace
Keywords: Aerospace/Defense Banking/Financial Service Health Care/Hospital Homeland Security Publishing/Information Service Domestic policy Economic news, trends, analysis Environmental Issues Survey, Polls & Research