omniture

SUEZ Tandatangani Kontrak untuk Rawatan Air Buangan dengan Maynilad untuk Membersihkan Teluk Manila dan Meningkatkan Kualiti Hidup Penduduk

SUEZ Group
2024-04-25 21:55 5

MANILA, Filipina, 25 April 2024 /PRNewswire/ -- Dalam satu kolaborasi penting susulan proses pembidaan yang kompetitif, SUEZ dan Maynilad, pemegang konsesi air persendirian yang terbesar di Filipina, berganding bahu untuk menerajui projek rawatan air buangan yang transformatif. Usaha ini, di bawah naungan Kerajaan Filipina, bertujuan untuk mengurangkan pencemaran air di Teluk Manila. Projek ini akan memainkan peranan penting dalam melindungi alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Teluk Manila ialah jasad air yang penting, terletak di pusat kegiatan ekonomi negara ini. Walau bagaimanapun, pembuangan dan pengumpulan kumbahan yang tidak dirawat selama bertahun-tahun di teluk ini menjadikannya salah satu jasad air yang paling tercemar di negara ini. SUEZ akan menubuhkan Kemudahan Reklamasi Air Sistem Pembentungan Manila Tengah (CMSS) untuk mempercepatkan pemulihan Teluk Manila, menunjukkan komitmen yang bercita-cita tinggi terhadap pemulihan alam sekitar.

Terletak di kawasan pelabuhan Manila, kemudahan rawatan 180 juta liter sehari ini akan memastikan air buangan yang dirawat akan mematuhi peraturan efluen Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli (DENR) Filipina, setanding dengan piawaian Kesatuan Eropah. Pemulihan ini akan turut memberi kesan positif kepada Tasik Laguna yang dihubungkan oleh Sungai Pasig dan merupakan sumber air minuman utama untuk berjuta-juta penduduk di wilayah ini.

Projek ini akan memanfaatkan teknologi rintis SUEZ yang terbukti dan inovatif, Cyclor Turbo, dalam proses rawatan. Teknologi yang kompak, tangkas dan bingkas ini akan menyokong integriti dan kualiti kemudahan dalam ruang yang terhad untuk menyelamatkan bumi dan dalam masa yang sama turut mengurangkan jejak alam sekitar keseluruhan melalui penggunaan kuasa yang rendah.

Di samping itu, SUEZ akan melaksanakan pemulihan Loji Pam Kumbahan Tondo yang berusia berdekad-dekad lamanya dan satu sistem hantaran akan dibina sebagai sebahagian daripada CMSS untuk membawa air buangan mentah daripada pelanggan ke kemudahan rawatan. Dilancarkan pada Januari 2024 dan dijadualkan beroperasi pada tahun 2027, projek CMSS ini bertujuan untuk meningkatkan kehidupan sekitar 1 juta orang merentas kawasan berkeluasan 2,820-hektar yang luas.

Ramoncito Fernandez, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maynilad, berkata, "Sistem Pembentungan Manila Tengah ialah salah satu projek besar yang diusahakan oleh Maynilad sejajar dengan komitmennya untuk membantu memulihkan dan melindungi Teluk Manila. Melalui usaha monumental ini, kami bermatlamat untuk meningkatkan kualiti hidup dengan memastikan laluan air yang lebih bersih dan masyarakat yang lebih sihat."

Sabrina Soussan, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SUEZ, berkata, "Kontrak ini merupakan satu pencapaian yang penting untuk SUEZ. Projek Sistem Pembentungan Manila Tengah pada masa akan datang menunjukkan kepakaran kami dalam memelihara sumber air melalui teknologi yang inovatif dan bingkas. Saya berterima kasih kepada Maynilad kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan misi ini bagi membolehkan mereka memacu transformasi ekologi."

Dengan legasi di Filipina sejak tahun 1978 dan sejarah selama 70-tahun di Asia Tenggara, SUEZ sudah lama menjadi pelopor dalam memacu inovasi dan pengawasan terhadap alam sekitar. Jejak syarikat ini menjangkau ke seluruh Vietnam, Indonesia, Filipina dan Singapura. Dalam masa yang sama, SUEZ tekal memperdalam kemahiran tempatannya dalam perkhidmatan alam sekitar, berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam sektor ini dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi kitaran.

SUEZ signs contract for wastewater treatment project with Maynilad to clean Manila Bay.
SUEZ signs contract for wastewater treatment project with Maynilad to clean Manila Bay.

 

3D design of Central Manila Sewerage System project that will leverage SUEZ's pioneering technologies.
3D design of Central Manila Sewerage System project that will leverage SUEZ's pioneering technologies.

Latar Belakang SUEZ:
Berhadapan dengan cabaran alam sekitar yang semakin meningkat, SUEZ telahpun menyampaikan perkhidmatan penting yang melindungi dan meningkatkan kualiti hidup kita selama lebih 160 tahun. SUEZ menyediakan penyelesaian yang inovatif dan bingkas untuk perkhidmatan air dan bahan buangan kepada pelanggannya. Dengan 40 000 pekerja merentas 40 negara, Kumpulan ini bekerjasama dengan pelanggan untuk mencipta nilai dalam seluruh kitar hayat penuh aset dan perkhidmatan mereka serta untuk memacu peralihan rendah karbon mereka. Pada tahun 2023, SUEZ menyediakan air minuman untuk 57 juta orang di seluruh dunia dan perkhidmatan sanitasi untuk lebih daripada 36 juta orang. Kumpulan ini menjana 7.7 TWj tenaga daripada bahan buangan dan air buangan. Pada tahun 2023, SUEZ menjana hasil sebanyak 8.9 bilion euro. Untuk maklumat lanjut: www.suez.com / X @suez / LinkedIn @SUEZ   

Latar Belakang SUEZ di Asia:
Di Asia, perjalanan SUEZ bermula kira-kira 70 tahun yang lalu, yang pertama di Asia Tenggara sebelum berkembang ke China hampir 50 tahun yang lalu. Dengan lebih 6,500 pekerja di seluruh Asia, SUEZ membina lebih 600 loji rawatan air dan air buangan. Bersama-sama rakan kongsi tempatan kami, kami turut menyediakan perkhidmatan kitar semula dan pemulihan air dan bahan buangan untuk lebih 25 juta orang dan 20 taman industri di seluruh rantau ini. SUEZ diiktiraf sebagai salah sebuah syarikat yang paling berpengaruh di China dan penanda aras perkhidmatan untuk industri alam sekitar Asia yang terkemuka. Hari ini, SUEZ bekerjasama dengan pelanggan perbandaran dan industri di lebih daripada 30 bandar dan wilayah utama di seluruh Asia, mengurus kontrak air PPP pertama China di Macau, mengendalikan salah satu kemudahan penunuan sisa berbahaya Asia yang terbesar di Shanghai serta melabur sebanyak lebih RMB 4 bilion di Chongqing.

Latar Belakang Maynilad:
Maynilad Water Services, Inc. (Maynilad) ialah penyedia perkhidmatan air dan air buangan untuk Zon Barat kawasan Metro Manila Raya. Ia merupakan pemegang konsesi air terbesar dari segi kumpulan pelanggan di Filipina. Maynilad diurus oleh Maynilad Water Holding Company, Inc. yang dimiliki dan dikendalikan oleh Metro Pacific Investments Corporation (MPIC), DMCI Holdings Inc. (DMCI) dan Marubeni Corporation. Konsortium MPIC-DMCI mengawal Maynilad pada 24 Januari 2007. Kawasan konsesi Maynilad meliputi keluasan keseluruhan 540 kilometer persegi. Ia termasuk kota Manila (bahagian tertentu), Kota Quezon (bahagian tertentu), Makati (barat South Super Highway), Caloocan, Pasay, Parañaque, Las Piñas, Muntinlupa, Valenzuela, Navotas dan Malabon, kesemuanya di Metro Manila; kota Cavite, Bacoor dan Imus, serta bandar Kawit, Noveleta dan Rosario, kesemuanya di Wilayah Cavite.

Source: SUEZ Group
Keywords: Environmental Products & Services Utilities Water Utilities Contracts Environmental Issues Cision Influencer List - ESG