omniture

CGTN: 5 tahun berlalu, Presiden Xi menekankan semula strategi pembangunan wilayah barat China

CGTN
2024-04-26 20:38 5

BEIJING, 26 April 2024 /PRNewswire/ -- Presiden Cina Xi Jinping menekankan semula perlunya untuk meningkatkan pembangunan wilayah barat China yang berkualiti tinggi semasa pemeriksaan beliau di Perbandaran Chongqing pada hari Isnin dan Selasa. Beliau berkata wilayah barat adalah sangat penting untuk pemodenan seluruh negara ini.

Ini merupakan langkah yang terkini oleh presiden Cina bagi menggalakkan pembangunan wilayah negara ini. Xi, juga merupakan setiausaha agung Jawatankuasa Pusat CPC dan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, baru sahaja menyelesaikan pemeriksaan beliau terhadap Wilayah Hunan, China tengah bulan lalu. Di Hunan, beliau menekankan dengan bersungguh-sungguh untuk merancakkan wilayah tengah dan menggalakkan pembangunan Jalur Ekonomi Sungai Yangtze, bertujuan untuk memperkukuh pembangunan wilayah yang lebih seimbang.

Kawasan barat China terdiri daripada 12 kawasan peringkat wilayah, meliputi lebih 70 peratus daripada kawasan darat negara ini dan mengandungi 27 peratus penduduk China. Wilayah barat terkenal dengan sumber tenaga boleh baharunya yang sangat banyak seperti tenaga solar dan angin serta pelbagai sumber mineral bawah tanah seperti nadir bumi, bauksit, arang batu dan gas asli, yang menyumbang sebanyak lebih daripada 70 peratus jumlah rizab negara ini.

Pada Mac 2019, dalam satu mesyuarat jawatankuasa pusat CPC untuk memperdalam pembaharuan keseluruhan yang dipengerusikan oleh Xi, satu garis panduan untuk memajukan pembangunan wilayah barat dalam era baharu telahpun diluluskan. Garis panduan ini mengemukakan bahawa menjelang tahun 2035, wilayah barat akan seiring dengan wilayah timur dalam bidang perkhidmatan awam, ketersambungan infrastruktur dan mata pencarian rakyat. Wilayah timur China mencatatkan hampir tiga kali ganda KDNK wilayah barat pada tahun 2023.

Lima tahun selepas meluluskan garis panduan ini, Xi menyatakan bahawa, walaupun wilayah barat menyaksikan pencapaian yang ketara, ia masih menghadapi banyak cabaran pembangunan. Beliau menggesa wilayah ini untuk memfokuskan kepada industri tempatan kompetitifnya dan mempercepatkan keterbukaannya.

Xi berkata di simposium tersebut bahawa 12 kawasan peringkat wilayah harus membangunkan industri pembuatan moden dan industri baru muncul yang strategik seperti tenaga baharu dan bioperubatan mengikut keadaan setempat dan mempercepatkan transformasi serta penaiktarafan industri. Beliau menambah bahawa sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan lain boleh dibangunkan menjadi industri tonggak wilayah ini.

Xi menjelaskan bahawa ekonomi China sedang mengalami transformasi daripada pembangunan berkelajuan tinggi kepada berkualiti tinggi, maka setiap wilayah harus membangunkan ekonominya mengikut keadaannya yang tertentu dan memanfaatkan kelebihan perbandingannya. Semasa pemeriksaan beliau di Chongqing, beliau melawat hab logistik antarabangsa, sebuah komuniti di Daerah Jiulongpo dan pusat operasi dan tadbir urus bandar digital. Pegawai-pegawai tempatan memperkenalkan pembangunan Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu, projek pembaharuan bandar dan tadbir urus bandar kepada beliau.

Koridor perdagangan merupakan saluran penting antara wilayah barat China dan negara-negara Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Ia mencapai 490 pelabuhan di 120 negara dan wilayah setakat Januari dan menyaksikan volum kargonya meningkat 21 peratus pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan kerja kerajaan Perbandaran Chongqing.

Pada hari Selasa, Xi menyeru wilayah ini untuk mempercepatkan pembinaan koridor dan bersepadu dengan lebih baik dengan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) bagi menggalakkan keterbukaan wilayah ini. Sebelum ini, beliau pernah berkata bahawa penyertaan aktif daripada wilayah barat China dalam BRI akan meningkatkan keterhubungan antara wilayah timur dan barat China serta antara China dan dunia luar dengan ketara.

Setakat ini, pola keterhubungan telahpun terbentuk di wilayah barat. Data daripada Biro Statistik Kebangsaan (NBS) China menunjukkan bahawa sejumlah 35,000 kereta api pengangkut China-Eropah telahpun dilancarkan dari wilayah barat dalam tempoh lima tahun lalu, menyumbang sebanyak 50.5 peratus daripada jumlah keseluruhan negara. Pada tahun 2023, jumlah volum import-eksport wilayah barat meningkat 37 peratus berbanding tahun 2019.

Memandangkan wilayah barat merupakan tempat berasalnya sungai-sungai besar China seperti Sungai Yangtze, Sungai Kuning dan Sungai Lancang serta banyak haiwan liar yang jarang ditemui, Xi turut berjanji untuk menjaga keselamatan ekologi negara.

Beliau menegaskan tentang usaha mempercepatkan projek-projek besar untuk melindungi dan memulihkan ekosistem, meningkatkan Program Hutan Jalur Pelindung Tiga-Utara bagi mengatasi ribut pasir dan hakisan tanah di wilayah utara serta mendorong penjimatan tenaga dan pengurangan karbon dalam sektor-sektor tradisional serta penggunaan arang batu yang bersih dan cekap.

China mula melaksanakan strategi nasional untuk pembangunan berskala besar wilayah barat dalam tahun 2000. Setakat tahun 2020, purata pertumbuhan KDNK tahunan wilayah ini mencapai 10.2 peratus, benar-benar merapatkan jurang ekonomi dengan wilayah-wilayah lain. Lebih daripada 21.3 juta hektar tanah ladang diubah menjadi hutan atau padang ragut, dengan kadar liputan hutan melebihi 19 peratus, seperti yang ditunjukkan oleh data daripada Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Negara.

https://news.cgtn.com/news/2024-04-24/5-years-on-Xi-reasserts-China-s-western-region-development-strategy-1t3CJMNHteM/p.html 

 

Source: CGTN
Keywords: Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Publishing/Information Service Advocacy Group Opinion Public Interest