omniture

AACSB International Menampilkan Kebijaksanaan dan Kreativiti Global Kolej Perniagaan Seluruh Dunia

AACSB International
2016-02-02 08:00 274

Inisiatif sulung Inovasi Yang Menginspirasikan mengetengahkan strategi kreatif yang dibangunkan oleh kolej perniagaan merentasi teknologi, pembelajaran berasaskan pengalaman, keusahawanan, pembangunan kerjaya, dan banyak lagi

TAMPA, Florida, 2 Februari 2016 /PRNewswire/ -- Kolej perniagaan sudah lama menjadi pemacu penting dengan mencipta persekitaran yang menyuburkan pemikiran di luar kotak. Hari ini, sempena Persidangan Dekan 2016, AACSB International (AACSB), badan pentauliahan global dan persatuan keahlian kolej perniagaan, menampilkan sampel 30 inovasi yang memperlihatkan sejauh mana kolej perniagaan kini menginovasi dan mempelbagaikan persekitaran pendidikan perniagaan.

Disambut sebagai sebahagian daripada Sambutan Ulang Tahun Keseratus AACSB serta Inisiatif Wawasan akan datang, Inovasi Yang Menginspirasikan yang pertama kali diadakan ini membawa sorotan kepada pelbagai cara yang diusahakan oleh kolej ahli AACSB seluruh dunia dalam menginovasikan dan mempelbagaikan persekitaran pendidikan perniagaan. Menerusi pendekatan mereka terhadap penyelidikan dan pembelajaran, hinggalah kepada penglibatan mereka dengan pihak berkepentingan, serta pemantauan pengurusan dan juga pengendalian mereka, kolej perniagaan kini menentukan semula cara semua institusi akademik mencipta, mengajar, menghubungkan, dan memimpin.

"Kolej perniagaan di seluruh dunia kini menyumbang kepada masyarakat dalam cara yang tidak pernah dilihat sebelum ini, melalui idea mereka yang serba baharu, amalan akademik rintis, dan komitmen utuh bagi mempersiapkan pemimpin perniagaan pada masa depan," kata Thomas R. Robinson, presiden dan ketua pegawai eksekutif AACSB. "Inisiatif Inovasi Yang Menginspirasikan menonjolkan inovasi, kreativiti, dan keusahawanan kepada umum yang disemat ke dalam jati diri kolej perniagaan. Kami berbangga kerana dapat menampilkan sedutan daripada ketinggian dan keluasan pemikiran yang bijaksana yang dimanfaatkan dalam pendidikan pengurusan setiap hari."

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, ahli AACSB dijemput untuk berkongsi cara mereka mencabar status semasa, dan mencetuskan impak positif terhadap kolej mereka, para pelajar, dan komuniti yang lebih besar secara keseluruhannya. Hampir 300 penyertaan diterima daripada lebih 200 buah institusi ahli AACSB daripada 35 buah negara— pelbagai inspirasi yang menunjukkan komitmen mengagumkan terhadap penglibatan, inovasi, dan impak.

"Inovasi Yang Menginspirasikan merupakan salah satu daripada banyak cara yang digunakan AACSB bagi menggalakkan dan menaikkan nama kolej perniagaan yang mengamalkan pemikiran di luar kotak," kata William H. Glick, pengerusi Lembaga Pengarah AACSB dan dekan Kolej Perniagaan Pascasiswazah Jesse H. Jones di Universiti Rice. "Penyertaan ini menunjukkan kehebatan perintis kolej ahli AACSB sebagai mangkin terhadap inovasi, pencipta bersama ilmu pengetahuan, hab pembelajaran sepanjang hayat, ketua kepimpinan, dan pendorong kesejahteraan bersama."

Bagi mendapatkan gambaran menyeluruh yang terperinci bagi inovasi yang terpilih itu, sila lawati www.AACSB.edu/Innovations-That-Inspire. Dalam bulan-bulan akan datang, AACSB akan terus menampilkan lebih banyak kolej dan inovasi yang menunjukkan pelbagai kreativiti dan komitmen terhadap kualiti yang mengagumkan. Tambahan lagi, akses kepada portfolio penyertaan yang lengkap disediakan untuk kolej ahli melalui pangkalan data penandaarasan AACSB, DataDirect.

Pandangan yang menyeluruh untuk inisiatif Wawasan AACSB akan datang ini juga boleh didapati dalam talian di www.AACSB.edu/Vision, dan penemuan daripada Inisiatif Wawasan akan dibentangkan semasa ICAM 2016 di Boston, Massachusetts, AS pada 3-5 April 2016.

Latar Belakang AACSB International
Ditubuhkan pada tahun 1916, AACSB adalah sebuah persatuan yang disertai oleh lebih 1,450 institusi pendidikan, perniagaan, dan organisasi lain dari 90 buah negara dan wilayah. Matlamat AACSB adalah untuk memajukan kualiti pendidikan pengurusan seluruh dunia menerusi pentauliahan, kepimpinan pemikiran, dan perkhidmatan bernilai tambah. Sebagai badan pentauliahan institusi utama yang menawarkan ijazah sarjana muda, ijazah sarjana, dan ijazah kedoktoran dalam bidang perniagaan dan perakaunan, AACSB menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk industri pendidikan pengurusan. Ibu pejabat global AACSB terletak di Tampa, Florida, AS; ibu pejabat Asia Pasifik terletak di Singapura; manakala ibu pejabat Eropah, Timur Tengah, dan Afrika pula terletak di Amsterdam, Belanda.

Source: AACSB International
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Education Higher Education