omniture

Grifols Sumbang 140 Juta Unit Antarabangsa Faktor Pembekuan Darah kepada Program Bantuan Kemanusiaan Persekutuan Hemofilia Dunia

Grifols
2017-04-17 21:00 583

Bantu rawat puluhan ribu pesakit negara-negara membangun; perbaharui perkongsian dengan WFH; perkukuh lagi komitmen untuk tingkatkan kehidupan pesakit seluruh dunia  

BARCELONA, Sepanyol, 17 April 2017 /PRNewswire/ -- Hari ini, Grifols, S.A. (MCE:GRF, MCE:GRF.P dan NASDAQ:GRFS) mengumumkan ia akan menyumbang sekurang-kurangnya 140 juta unit antarabangsa (IU) ubat-ubatan faktor pembekuan darah (Faktor VIII) kepada Program Bantuan Kemanusiaan Persekutuan Hemofilia Dunia (WFH) selama lima (5) tahun akan datang. Pengumuman ini merupakan satu kesinambungan daripada komitmen tiga tahun Syarikat bermula dari tahun 2014, menjadikan jumlah komitmen bantuan kemanusiaan kepada lebih 200 juta IU Faktor VIII selama lapan tahun. Sumbangan terus Grifols kepada Program Bantuan Kemanusiaan WFH adalah hasil penyertaan Syarikat dalam Project Recovery, yang menukarkan mendakan krio (cryoprecipitate) yang tidak digunakan sebelumnya daripada penderma darah Kanada kepada ubat-ubatan yang dapat merawat pesakit hemofilia di negara-negara sedang membangun.


Selama lebih sedekad, Grifols merupakan penyokong WFH dan usahanya untuk meningkatkan akses kepada rawatan untuk gangguan pendarahan di seluruh dunia. Perkongsian yang diperbaharui dengan WFH mengukuhkan lagi komitmen Grifols terhadap komuniti hemofilia dunia yang mencakupi sumbangan paling penting Syarikat terhadap Program Bantuan Kemanusiaan WFH setakat ini. Menurut WFH, sumbangan ubat-ubatan Faktor VIII ini akan menjamin purata unjuran sebanyak 10,300 dos untuk merawat kira-kira 6,000 pesakit setahun di negara-negara sedang membangun seluruh dunia menjelang tahun 2021, yang mana akses terhadap rawatan yang mencukupi sering kekurangan atau tidak wujud sama sekali.

"Hari ini, Hari Hemofilia Sedunia memperlihatkan saat ideal untuk Grifols mengukuhkan lagi komitmen sekian lama kami terhadap komuniti gangguan pendarahan dan hemofilia," kata Victor Grifols Roura, Presiden Grifols. "Falsafah kami selari sepenuhnya dengan misi WFH, berkongsi semangat yang jelas untuk menyediakan rawatan secukupnya kepada semua pesakit tanpa mengira lokasi tempat tinggal mereka."

Grifols mengeluarkan ubat-ubatan yang diperoleh daripada plasma untuk merawat penyakit kronik yang jarang berlaku seperti hemofilia dan turut membangunkan penyelesaian untuk mendiagnosis gangguan pendarahan. Syarikat merancang untuk meningkatkan pengeluaran ubat-ubatan faktor pembekuan darah khususnya demi memenuhi komitmen sumbangan untuk program ini.

"Sejak ditubuhkan pada tahun 1996, Program Bantuan Kemanusiaan WFH memberi manfaat kepada lebih 100,000 orang di 90 negara. Kami amat berterima kasih atas komitmen dan sokongan penyumbang kami terhadap misi kami, seperti Grifols, untuk menambah baik diagnosis dan akses kepada khidmat penjagaan untuk orang ramai yang menghidap gangguan pendarahan. Tanpa bantuan ini mereka tidak dapat menerima rawatan yang mereka perlukan. Kami berulang kali melihat impak positif ketara sumbangan sedemikian terhadap kualiti hidup pesakit," kata Alain Bauman, Ketua Pegawai Eksekutif, WFH, dan Pengarah Eksekutif WFH AS.

Dianggarkan seramai 400,000 orang di seluruh dunia menghidap hemofilia, namun hanya 25% menerima rawatan secukupnya. Sumbangan daripada Grifols turut menyokong program Global Alliance for Progress (GAP) dekad kedua oleh WFH yang bertujuan untuk meningkatkan jumlah pesakit yang menerima diagnosis dan rawatan terhadap gangguan pendarahan, khususnya di negara-negara paling miskin di dunia.

Untuk maklumat lanjut tentang WFH, hemofilia dan gangguan pendarahan lain, sila ke http://www.wfh.org/.

Latar Belakang Grifols:
Grifols ialah sebuah syarikat penjagaan kesihatan global dan peneraju industri yang terlibat selama lebih 75 tahun dalam pembangunan ubat-ubatan yang menyelamatkan nyawa, diperoleh daripada plasma manusia yang dapat merawat banyak penyakit kronik yang jarang berlaku. Misi kami adalah untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan orang ramai di seluruh dunia dengan menghasilkan rawatan untuk pesakit dan menyediakan hospital, farmasi dan golongan profesional penjagaan kesihatan dengan peralatan serta sumber yang mereka perlukan demi memberikan rawatan perubatan pakar.

Syarikat ini berada di lebih 100 negara di seluruh dunia dan ibu pejabatnya terletak di Barcelona, Sepanyol. Grifols merupakan peneraju bagi pengumpulan plasma yang memiliki rangkaian dengan lebih 170 pusat sumbangan plasma di A.S., dan merupakan pengeluar utama bagi ubat-ubatan yang diperoleh daripada plasma.

Latar Belakang Persekutuan Hemofilia Dunia
Selama lebih 50 tahun, Persekutuan Hemofilia Dunia (WFH), sebuah pertubuhan bukan untung bertaraf antarabangsa, berusaha memperbaiki kehidupan orang ramai yang menghidap hemofilia dan gangguan pendarahan keturunan yang lain. Ditubuhkan pada tahun 1963, ia merupakan satu jaringan organisasi pesakit global di 134 negara dan mendapat pengiktirafan rasmi daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Layari WFH secara dalam talian di www.wfh.org

WFH AS meneruskan misi global Persekutuan Hemofilia Dunia di Amerika Syarikat.

Latar Belakang Program Bantuan Kemanusiaan WFH 
Bagi kebanyakan negara sedang membangun, sumbangan produk seringkali menjadi satu-satunya sumber produk rawatan untuk pesakit yang menghidap hemofilia dan gangguan pendarahan lain. WFH menerima permohonan, yang kebanyakannya bersifat mendesak, daripada organisasi-organisasi ahli kebangsaan (NMO) kami dan daripada pusat-pusat rawatan hemofilia (HTC) yang diiktiraf di serata dunia. Semakin banyak rakan usaha sama dalam komuniti gangguan pendarahan global menyahut cabaran untuk menyediakan bekalan produk sumbangan yang berterusan dan boleh diramal. Melalui sumbangan daripada Bioverativ dan Sobi kepada Program Bantuan Kemanusiaan WFH sehingga mencecah 500 juta IU dalam tempoh lima tahun, komitmen Grifols selama lapan tahun berjumlah 200 juta IU, perjanjian selama tiga tahun dengan CSL Behring untuk sejumlah 10 juta IU dan perjanjian dengan Green Cross untuk 6 juta IU, kini terdapat aliran sumbangan bantuan kemanusiaan yang semakin boleh diramal dan berterusan untuk masyarakat global. Selain itu, usaha berterusan antara Canadian Blood Services, Biotest, dan Grifols dengan Project Recovery membolehkan penghasilan faktor pembekuan yang dikumpul daripada 'cryopaste' buangan, yang menyediakan produk rawatan kepada negara-negara yang amat memerlukan.


Foto - http://mma.prnewswire.com/media/489462/Grifols_Committed_to_Hemophilia.jpg

Logo - http://mma.prnewswire.com/media/463444/Grifols_Logo.jpg

Source: Grifols
Related Stocks:
NASDAQ:GRFS OTC:GIKLY SpanishCats:GRF
Related Links:
Keywords: Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Corporate Social Responsibility Not for profit