omniture

Pengenalan Piawaian Shari'ah AAOIFI berhubung Emas, Dibangun dengan Kerjasama Majlis Emas Dunia

World Gold Council
2016-12-06 01:44 786

DUBAI, UAE, 6 Disember 2016 /PRNewswire/ -- Organisasi Perakauan dan Pengauditan untuk Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) dan Majlis Emas Dunia berbesar hati mengumumkan pengenalan kepada 'Piawaian 'Shari'ah No. 57 berhubung Emas dan Kawalan Dagangannya' ("Piawaian"). Piawaian tersebut melibatkan hukum Shari'ah bagi emas dalam pelbagai bentuk dan kategori, parameter Shari'ah untuk transaksi emas dan peraturan berhubung produk kewangan berasaskan emas oleh institusi-institusi.

Buat pertama kali, Piawaian itu menetapkan peraturan khusus untuk kegunaan emas sebagai pelaburan dalam industri kewangan Islam. Sehingga kini, tiada peraturan sedemikian ditetapkan. Piawaian baharu ini menunjukkan pelaburan dalam emas adalah dibolehkan, asalkan semua hukum Shari'ah yang berkaitan dipatuhi, termasuk perkara yang berhubung dengan pemilikan emas dan pengiraan Zakat yang betul.

Dr. Hamed Hasan Merah, Ketua Setiausaha AAOIFI berkata: "Piawaian Shari'ah yang penting ini merupakan kemuncak usaha hebat yang dilaksanakan oleh Lembaga Shari'ah AAOIFI, selaku peneraju dan pihak berkuasa Shari'ah paling berpengaruh dalam industri kewangan Islam di seluruh dunia. Ia merupakan satu tambahan baharu bagi piawaian AAOIFI sedia ada kerana ia meliputi mekanisme patuh Shari'ah bagi berurusan dan melabur dalam emas dalam situasi masa kini, dengan potensi sebagai satu tapak permulaan bagi pembentukan dan penyusunan produk pelaburan baharu yang selari dengan peraturan dan ajaran Shari'ah, selain produk yang berkaitan dengan pengurusan kecairan bagi institusi kewangan Islam.  Semoga perkara ini melambangkan langkah progresif dalam industri kewangan Islam."

Piawaian itu akan membantu membuka kelas aset pelaburan baharu, membolehkan bank-bank Islam dan institusi-institusi kewangan lain memperluas kumpulan pelanggan mereka, seraya memudahkan pewujudan pilihan produk simpanan, perlindungan nilai dan pelbagaian yang lebih luas.

Aram Shishmanian, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Emas Dunia mengulas: "Ini merupakan satu inisiatif rintis untuk pelabur Islam dan juga untuk industri emas secara keseluruhannya. Kami berbesar hati kerana kini terdapatnya panduan Shari'ah muktamad berhubung keharusan melabur dalam emas. Emas ialah aset pemeliharaan kekayaan terbukti yang kini boleh dimanfaatkan oleh pelabur Islam bagi melindungi kekayaan mereka dan untuk mempelbagaikan risiko pasaran."

Perbincangan tentang Piawaian (no. 57) telah dimuktamadkan dalam mesyuarat Lembaga Shari'ah AAOIFI pada 17-19 November 2016, dan frasa akhir Piawaian tersebut telah diluluskan. Pembangunan Piawaian itu mematuhi proses AAOIFI lazim yang ketat dan menyertakan tempoh perundingan termasuk sesi perbicaraan awam melibatkan semua pihak berkepentingan utama, bagi memastikan Piawaian akhir ini akan menjadi instrumen praktikal untuk industri ini.

Piawaian baharu ini akan tersedia dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris, serta boleh diakses oleh pelanggan menerusi versi digital Piawaian AAOIFI (melalui laman sesawang AAOIFI dan platform aplikasi mudah alih) atau di http://www.shariahgold.com.

Anda boleh mengikuti Majlis Emas Dunia melalui Twitter di @goldcouncil dan klik Suka pada Facebook.

Anda boleh mengikuti AAOIFI melalui Twitter di @ AAOIFI_ORG 

Untuk mengetahui lebih lanjut cara melabur emas dalam kewangan Islam, sila baca laporan kajian kami di sini.

Nota untuk editor: 

Latar Belakang AAOIFI 

AAOIFI, ditubuhkan pada tahun 1991 dan berpangkalan di Bahrain, ialah sebuah organisasi antarabangsa bukan berasaskan keuntungan yang bertanggungjawab khususnya terhadap pembangunan dan pengeluaran piawaian untuk industri kewangan Islam global. Ia disokong oleh sejumlah ahli institusi, termasuk bank-bank pusat dan badan kawal selia, institusi kewangan, firma perakauan dan pengauditan serta firma perundangan dari lebih 45 negara. Piawaiannya masa kini dipatuhi oleh institusi-institusi kewangan Islam terkemuka di serata dunia dan telah memperkenalkan tahap penggabungan yang progresif berhubung amalan kewangan Islam antarabangsa.

Majlis Emas Dunia 

Majlis Emas Dunia ialah organisasi pembangunan pasaran untuk industri emas. Objektif kami adalah untuk merangsang dan mengekalkan permintaan terhadap emas, menyediakan kepimpinan industri dan menjadi kepimpinan berwibawa global dalam pasaran emas.

Kami membangunkan penyelesaian, perkhidmatan dan produk bersandarkan emas, berdasarkan wawasan pasaran yang berwibawa, selain turut bekerjasama dengan pelbagai rakan kerjasama bagi menjadikan idea-idea kami suatu realiti. Hasilnya, kami mewujudkan perubahan struktur dari segi permintaan terhadap emas merentasi sektor-sektor pasaran utama. Kami menyediakan pandangan untuk pasaran emas antarabangsa, membantu orang ramai memahami kualiti pemeliharaan kekayaan menerusi emas dan peranannya dalam usaha memenuhi keperluan masyarakat terhadap aspek sosial dan persekitaran.

Keahlian Majlis Emas Dunia termasuk syarikat-syarikat perlombongan emas yang terkemuka dan paling berpandangan jauh di dunia.

Sumber: World Gold Council

Source: World Gold Council
Keywords: Banking/Financial Service Joint ventures New products/services Survey, Polls & Research