omniture

KERTAS PUTIH EKUITI DIGITAL OLEH EDGEPOINT INFRASTRUCTURE MENEKANKAN PEMBAHARUAN DASAR SEBAGAI KUNCI PENTING UNTUK MERAPATKAN JURANG KETERSAMBUNGAN DAN MEMACU KETERANGKUMAN DIGITAL SERANTAU

EdgePoint Infrastructure
2023-11-30 13:51 8

KUALA LUMPUR, Malaysia, 30 November 2023 /PRNewswire/ -- EdgePoint Infrastructure ("EdgePoint"), sebuah syarikat telekomunikasi dan infrastruktur bebas, hari ini telah mengeluarkan sebuah kertas putih yang menjelaskan jurang digital di Asia Tenggara. Bertajuk "An Infrastructure-Based Approach to Advance Digital Equity in South-East Asia", kertas putih itu telah mengenal pasti cabaran ketersambungan dari pandangan penyedia infrastruktur di tiga ekonomi penting, yakni Malaysia, Indonesia dan Filipina, sambil menetapkan perubahan dasar-dasar yang komprehensif untuk merapatkan jurang tersebut.

(Dari kiri) Suresh Sidhu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas EdgePoint Infrastructure bersama Muniff Kamaruddin, Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers Sdn Bhd melancarkan kertas putih yang bertajuk "An Infrastructure-Based Approach to Advance Digital Equity in South-East Asia" yang menjelaskan jurang digital di Asia Tenggara.
(Dari kiri) Suresh Sidhu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas EdgePoint Infrastructure bersama Muniff Kamaruddin, Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers Sdn Bhd melancarkan kertas putih yang bertajuk "An Infrastructure-Based Approach to Advance Digital Equity in South-East Asia" yang menjelaskan jurang digital di Asia Tenggara.

Berucap di majlis pelancaran kertas putih tersebut, Suresh Sidhu, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas EdgePoint Infrastructure berkata, "EdgePoint berkongsi informasi ini untuk memangkinkan perbualan yang bermakna mengenai ekuiti digital di arus perdana. Infrastruktur telekomunikasi yang teguh dan boleh dikongsi adalah asas penting untuk mengembangkan ketersambungan ke kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan dan memastikan ketersambungan yang lancar di kawasan yang sangat padat. Kita perlu memacu keterangkuman digital sebagai sebuah komuniti serumpun dan memastikan bahawa ketersambungan boleh diakses dengan mudah oleh semua di Asia Tenggara, sambil memastikan bahawa semua mendapat manfaat daripada dunia digital, dari segi teknologi, ekonomi dan sosial. Sebagai rakan kongsi yang dipercayai pengendali rangkaian mudah alih (RMA), organisasi-organisasi telekomunikasi dan juga pengawal selia, EdgePoint berharap kertas putih ini dapat memberi inspirasi kepada pihak berkepentingan industri dan penggubal dasar untuk mengadakan perbualan penting ini, ke arah mencapai ketersambungan sejagat."

 Di Sebalik Jurang Digital

Walaupun ketersambungan telah berkembang dengan pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, masih terdapat wilayah-wilayah yang belum mendapat manfaat sepenuhnya. Di Malaysia, 76% penduduk adalah pengguna mudah alih, tetapi hanya 66% mempunyai akses ke internet mudah alih. 56% dari penduduk Indonesia memiliki peranti mudah alih, tetapi hanya 47% mempunyai akses internet. Di Filipina pula, 54% adalah pengguna peranti mudah alih, tetapi hanya 42% mempunyai akses ke internet. Ini menunjukkan bahawa masih terdapat jurang yang ketara, dan ianya penting  untuk pihak industri meluaskan ketersambungan ke kawasan-kawasan yang tidak mempunyai liputan

Penemuan daripada kertas putih juga mendedahkan peratusan penduduk tanpa liputan 4G di beberapa negara, termasuk Filipina (5%), Indonesia (5%), dan Malaysia (3%). Di samping itu, negara-negara ini mempunyai nisbah penduduk yang sangat tinggi bagi setiap menara telekomunikasi, jauh melebihi norma negara maju. Ini menunjukkan bahawa terdapat juga kemungkinan sebahagian populasi kurang diberi perkhidmatan.

Beberapa faktor yang menyumbang kepada ketersambungan yang lemah ialah liputan 4G yang tipis di luar pusat-pusat populasi utama, dan ketiadaan infrastruktur untuk sambungan terakhir, seperti backhaul. Isu-isu ini akhirnya akan membawa kepada tahap penggunaan internet mudah alih yang rendah, dan akan menghalang pertumbuhan KDNK.

Pembaharuan Dasar-dasar Untuk Memacu Keterangkuman Digital
Kertas putih itu turut menggariskan enam dasar utama untuk merapatkan jurang digital di Malaysia, Indonesia dan Filipina:

  1. Memperbaharui pengeluaran dana untuk inisiatif akses sejagat bagi memastikan dana digunakan dengan lebih cekap dan boleh memanfaatkan masyarakat luar bandar dengan lebih pantas. Pihak berkuasa boleh mempertimbangkan untuk menukar model pengeluaran dana daripada pengeluaran perbelanjaan modal (capex) kepada model perbelanjaan operasi bulanan (opex) bagi mewujudkan pendekatan yang mampan dan jangka panjang untuk membiayai projek-projek telekomunikasi.
  2. Menjalankan proses pemetaan infrastruktur dan meningkatkan akses kepada maklumat untuk membantu penyedia-penyedia membuat keputusan strategik; sebagai contoh, kawasan-kawasan yang tidak menguntungkan sektor swasta mungkin memerlukan pembiayaan penuh kerajaan.
  3. Meningkatkan pembiayaan untuk infrastruktur backhaul dengan akses bersama di kawasan luar bandar, kerana ia merupakan penyumbang utama kepada jurang liputan yang sedia ada. Analisis harus dijalankan untuk menentukan pendekatan backhaul yang paling optimum, tetapi teknologi yang digunakan boleh juga termasuk gelombang mikro, satelit dan juga kabel dasar laut domestik.
  4. Mewujudkan program-program tersasar untuk meningkatkan liputan di kemudahan-kemudahan penting di luar bandar dan kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan seperti hospital, hab-hab pengangkutan, sekolah dan pasar-pasar. Semua lokasi-lokasi ini adalah kawasan awam yang penting dan dikunjungi oleh orang ramai, dan program tersasar akan memanfaatkan pengguna yang kurang bernasib baik, sama ada mereka yang mempunyai akses internet yang terhad ataupun tiada langsung sambungan internet di rumah.
  5. Mewajibkan sambungan ke kemudahan-kemudahan ICT dalam bangunan bagi membolehkan liputan dalam bangunan yang lebih mantap melalui undang-undang untuk membolehkan pemegang lesen telekomunikasi memasang peralatan yang diperlukan. Dengan liputan dalam bangunan yang telah dipertingkatkan, para pengguna boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti digital seperti kerja, transaksi kewangan dan penjagaan kesihatan.
  6. Membina standard berkualiti untuk liputan mudah alih sebagai komitmen bagi RMA untuk menggunakan infrastruktur bagi memenuhi sasaran mereka, dan merangsang pelancaran infrastruktur baharu di kawasan-kawasan yang kurang mendapat liputan.

Kertas putih itu menggariskan tiga lagi cadangan untuk dasar tambahan yang membincangkan cabaran di setiap pasaran, termasuklah memudahkan akses kepada hak laluan di Malaysia untuk mempercepatkan proses membina dan menggunakan infrastruktur-infrastruktur komunikasi, merasionalisasikan yuran spektrum di Indonesia bagi meningkatkan pelaburan di kawasan luar bandar dan menumpukan perhatian kepada tiadanya dana perkhidmatan sejagat di Filipina yang mewujudkan jurang untuk syarikat telekomunikasi tidak melabur di kawasan yang mempunyai liputan yang sedikit.

Suresh tambah lagi, "Memperkenalkan pendekatan-pendekatan baharu adalah kunci untuk memastikan tiada negara yang ketinggalan dalam dunia yang sentiasa berubah. Menggunakan cara pemikiran baharu dan mewujudkan perkongsian awam-swasta yang kukuh akan membantu untuk mempercepatkan perubahan oleh pihak berkuasa. Di EdgePoint kami akan terus menumpukan pada pembinaan infrastruktur digital yang berkualiti di rantau ini supaya kemajuan ekuiti digital di Asia Tenggara dapat dicapai dan memberi manfaat kepada rakyat."

Edgepoint Infrastructure kini memiliki 14,500 menara telekomunikasi di Malaysia, Indonesia dan Filipina.

Untuk informasi lanjut mengenai EdgePoint, sila lawati https://edgepointinfra.com/

MENGENAI EDGEPOINT INFRASTRUCTURE

EdgePoint Infrastructure ialah sebuah syarikat infrastruktur telekomunikasi yang berhasrat untuk memperkasakan Digital ASEAN melalui Infrastruktur Generasi Baharu. Beribu pejabat di Singapura dengan operasi di Malaysia, Indonesia dan Filipina, melalui EdgePoint Towers Sdn Bhd, PT Centratama Telekomunikasi Indonesia, Tbk dan EdgePoints Towers Inc., kami memberi fokus untuk menyediakan struktur telekom yang terbaharu dan boleh dikongsi, sel-sel kecil dan sistem di dalam bangunan. EdgePoint menyasarkan untuk menjadi peneraju industri melalui skala dan inovasi, memacu kecekapan operasi melalui penggunaan analitik dan teknologi digital.

Source: EdgePoint Infrastructure
Keywords: Computer Software Computer/Electronics Telecommunications Telecommunications Carriers and Services Telecommunications Equipment Survey, Polls & Research