MANAMA, Bahrain, 1 Disember 2023 /PRNewswire/ -- Bahrain Mumtalakat Holding Company (Mumtalakat), dana mahsul Kerajaan Bahrain, hari ini mengumumkan pelancaran platform pengimbangan karbon sukarela miliknya iaitu Safa bagi membantu perniagaan dan individu untuk lebih memahami tentang jejak karbon mereka dan mengurusnya dengan lebih baik dengan menyumbang kepada inisiatif iklim yang boleh dicontohi. Ini bertepatan dengan penyertaan Kerajaan Bahrain di COP28 yang sedang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu pada masa ini.
Mengulas mengenai pelancaran tersebut, Tuan Yang Terutama Shaikh Abdulla bin Khalifa Al Khalifa, Ketua Pegawai Eksekutif Mumtalakat berkata, "Selain menekankan komitmen kami terhadap kelestarian merentasi pelbagai bidang, kami amat yakin bahawa transformasi sebenar akan berlaku apabila kita semua bersatu untuk menghasilkan impak secara kolektif. Dengan Safa, individu dan perniagaan berupaya untuk mengurangkan jejak karbon mereka dan terlibat secara aktif bagi mewujudkan masa depan yang lebih mesra alam serta menyokong matlamat Kerajaan Bahrain untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2060."
Perkhidmatan pengimbangan daripada Safa ini bukanlah suatu alternatif kepada usaha penyahkarbonan; malah dengan membangunkan kesedaran, mendidik masyarakat dan memperkasakan tindakan di peringkat individu dan korporat, Safa bertujuan untuk melengkapkan inisiatif penyahkarbonan yang penting dengan menyediakan fungsi pengimbangan yang mesra pengguna bagi pelepasan yang sukar dikurangkan daripada aktiviti seperti perjalanan, penginapan dan logistik. Ia juga bertujuan untuk membawa perkhidmatan ini ke hujung jari para pengguna dengan bersepadu secara terus ke dalam aplikasi harian kegemaran mereka.
Platform mesra pengguna yang baharu diperkenalkan ini merupakan bukti penggunaan teknologi dan inovasi yang dilaksanakan oleh Kerajaan ini sebagai pendaya utama terhadap peralihan yang lebih pantas, dengan harga yang lebih berpatutan dan lebih berkesan dalam menuju sifar bersih menjelang tahun 2060. Platform ini boleh diakses oleh semua individu dan perniagaan untuk memudahkan transaksi kredit karbon yang berkualiti tinggi dan diperakui di peringkat global yang membolehkan mereka mengira dan mengimbangi pelepasan karbon mereka. Kredit ini diperuntukkan kepada projek alam sekitar antarabangsa yang bertujuan untuk mengurang atau menghapuskan pelepasan gas rumah hijau, dengan matlamat untuk dikembangkan bagi merangkumi projek tempatan dan serantau dalam masa terdekat.
Demi memudahkan tindakan iklim untuk semua pihak, Safa telah menjalin kerjasama dengan CHOOOSE™️, sebuah syarikat teknologi iklim yang menyampaikan platform Perisian sebagai Perkhidmatan (SaaS) terkemuka yang membolehkan rakan kongsinya menawarkan maklumat pelepasan karbon dan akses yang lancar kepada penyelesaian iklim yang dipercayai.
Tentang Mumtalakat:
Mumtalakat ialah dana mahsul Kerajaan Bahrain. Dengan mandat untuk mengembangkan kekayaan Bahrain melalui pelaburan jangka panjang berdasarkan prinsip kewangan, strategik dan tadbir urus yang kukuh, Mumtalakat mempunyai kepentingan dalam lebih 50 buah perusahaan komersial dengan portfolio yang merangkumi pelbagai sektor termasuk pembuatan perindustrian, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, hartanah, logistik, produk pengguna, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Butiran lanjut tentang Mumtalakat boleh didapati di www.mumtalakat.bh