STOCKHOLM, 3 September 2014 /PRNewswire/ --
Peneraju global telah berhimpun di Stockholm hari ini bersempena Minggu Air Sedunia tahunan ke-24, menggesa komuniti tenaga dan air untuk bekerjasama bagi menghadapi beberapa cabaran utama pada masa kini, menyediakan air minuman bersih serta tenaga untuk populasi dunia yang kian bertambah.
Tema Minggu Air Sedunia 2014 adalah "Tenaga dan Air". Air dan tenaga adalah saling bergantung dalam pelbagai cara. Kita memerlukan tenaga untuk mengepam, menyimpan, mengangkut dan turut merawat air, kita memerlukan air untuk menghasilkan pelbagai jenis tenaga. Peningkatan atau penurunan salah satu daripadanya pasti akan memberi kesan kepada yang lain. Dua sumber ini juga tidak boleh dipisahkan daripada pembangunan mampan dan perlu dipromosikan tanpa mengenal penat lelah dalam membuat keputusan global.
Ketika berucap pada sesi pembukaan Minggu tersebut, En. Torgny Holmgren, Pengarah Eksekutif Institut Air Antarabangsa Stockholm, penganjur Minggu Air Sedunia berkata: "Segala cabarannya adalah amat hebat. Memandangkan permintaan global terhadap air dijangka meningkat sebanyak 55 peratus antara tahun 2000 dan 2050 manakala permintaan elektrik dijangka meningkat sebanyak 50 peratus pada dua dekad akan datang, terdapat keperluan segera untuk hubungan lebih rapat antara komuniti tenaga dan air jika kita mahu menyediakan penyelesaian agar masyarakat dapat maju."
Profesor John Briscoe, penerima Hadiah Air Stockholm tahun ini, berucap tentang air sebagai platform untuk pertumbuhan, bagi kedua-dua sektor dan masyarakat secara keseluruhan, dan berkata "negara membangun menghadapi cabaran yang besar. Mereka masih belum memobilisasikan sumber tersebut." Beliau turut berkata "tiada penyelesaian kekal [terhadap krisis air], sama ada di sini atau di sana. Sebaliknya, terdapat kitaran cabaran dan tindak balas."
Dengan lebih 100 seminar, bengkel dan juga acara yang berlangsung sepanjang minggu tersebut, para wakil akan membincangkan usaha berterusan dan masa depan serta kolaborasi antara komuniti tenaga dan juga komuniti air.
Profesor John Briscoe, berasal dari Afrika Selatan, akan menerima Hadiah Air Stockholm daripada DYMM Raja Carl XVI Gustaf dari Sweden, pada majlis di Dewan Bandar Stockholm pada hari Khamis 4 September ini.
Institut Air Antarabangsa Stockholm (SIWI) ialah institut dasar yang menjana pengetahuan dan memaklumkan pembuat keputusan terhadap dasar cermat air dan pembangunan mampan. SIWI menganjurkan Minggu Air Sedunia di Stockholm dan turut menganjurkan Hadiah Air Stockholm, Hadiah Air Muda Stockholm serta Anugerah Air Industri Stockholm.
Maklumat perhubungan akhbar, permintaan untuk temu ramah dan juga maklumat lanjut: http://www.worldwaterweek.org/pressroom
Sumber: Institut Air Antarabangsa Stockholm (SIWI)