SEATTLE, 12 September 2014 /PRNewswire/ -- Yayasan Bill & Melinda Gates hari ini telah mengumumkan ia akan menyumbangkan $50 juta untuk membantu memperluas usaha kecemasan bagi membendung wabak Ebola di Afrika Barat serta menghalang penularan virus tersebut.
Yayasan tersebut akan segera menyumbangkan dana fleksibel kepada beberapa agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan organisasi antarabangsa yang terlibat dalam respons tersebut bagi membolehkan mereka serta kerajaan kebangsaan untuk mendapatkan bekalan yang sangat diperlukan dan turut memperluas operasi kecemasan di negara yang terlibat. Di samping itu, yayasan tersebut akan bekerjasama dengan rakan sektor awam dan swasta untuk mempercepat pembangunan terapi, vaksin, dan juga diagnostik yang berkesan untuk merawat para pesakit serta mencegah penjangkitan lanjut penyakit tersebut.
"Kami sedang berusaha keras bersama rakan kongsi kami untuk mengenal pasti cara paling berkesan untuk membantu mereka menyelamatkan nyawa pada masa kini dan mencegah penjangkitan penyakit yang membawa maut ini," kata Sue Desmond-Hellmann, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gates. "Kami juga mahu mempercepat pembangunan rawatan, vaksin serta diagnostik yang dapat membantu menamatkan wabak ini dan mencegah penularannya pada masa hadapan."
Sehingga kini, Yayasan Gates telah menyumbang lebih $10 juta untuk memerangi wabak Ebola, termasuk $5 juta untuk WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) bagi tujuan operasi kecemasan dan penilaian R&D (Penyelidikan & Pembangunan) serta $5 juta kepada Dana A.S. untuk UNICEF bagi membantu usaha di Liberia, Sierra Leone dan juga Guinea untuk mendapatkan bekalan perubatan yang diperlukan, menyelaras aktiviti respons serta menyediakan maklumat kesihatan yang dapat menyelamatkan nyawa untuk komuniti berisiko. Tambahan $2 juta turut disumbangkan segera kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit bagi membantu mengukuhkan pengurusan insiden, rawatan serta sistem penjagaan kesihatan.
Pada bulan Ogos, Nigeria bertindak balas terhadap krisis berkenaan dengan membuka Pusat Operasi Kecemasan (EOC) di Lagos, dengan sokongan yayasan tersebut dan juga Yayasan Dangote. Memanfaatkan kepakaran dan pengalaman daripada program polio kebangsaan, EOC telah lama menerajui desakan agresif oleh kerajaan persekutuan dan negeri untuk membendung penyebaran virus tersebut. Terdapat sikap optimis cermat terhadap tindakan pantas ini yang mungkin telah membantu mengelakkan penularan wabak tersebut.
Memandangkan geran tambahan telah dibuat, yayasan tersebut akan menyediakan maklumat lanjut berkenaan komitmen pembiayaannya untuk operasi pada peringkat akar umbi serta penyelidikan dan pembangunan ubat-ubatan, vaksin dan juga diagnostik untuk Ebola.
Latar Belakang Yayasan Bill & Melinda Gates
Dipandu oleh keyakinan setiap kehidupan mempunyai nilai yang sama, Yayasan Bill & Melinda Gates berusaha untuk membantu orang ramai menjalani kehidupan yang sihat dan produktif. Di beberapa negara membangun, ia bertumpu pada usaha meningkatkan kesihatan orang ramai dan memberi mereka peluang untuk membebaskan diri daripada kebuluran dan kemiskinan tegar. Di Amerika Syarikat, ia berusaha memastikan semua individu – terutamanya mereka yang mempunyai sumber paling sedikit – mendapat akses kepada peluang yang mereka perlukan untuk meraih kejayaan di sekolah dan dalam kehidupan. Berpusat di Seattle, Washington, yayasan tersebut diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sue Desmond-Hellmann dan Pengerusi bersama William H. Gates Sr., di bawah arahan Bill dan Melinda Gates serta Warren Buffett.