omniture

Meraikan Hari Habitat Sedunia Dengan Borneo Blitz Build 2014

Procter & Gamble antara sukarelawan yang terlibat dalam pembinaan rumah-rumah bagi golongan berpendapatan rendah di Sarawak.
Procter & Gamble (Malaysia)
2014-10-17 09:00 240

KUCHING, Malaysia, 16 Oktober 2014 /PRNewswire/ -- Kakitangan Procter & Gamble (P&G) Malaysia bersama para sukarelawan lain telah membina rumah untuk keluarga-keluarga berpendapatan rendah di bawah program Borneo Blitz Build 2014. Inisiatif pembinaan selama 6 hari yang dianjurkan dan diketuai oleh Habitat for Humanity Malaysia – Cawangan Kuching dari 14 hingga 19 September 2014 ini menyaksikan pembinaan 14 buah rumah yang lengkap dengan kemudahan sanitasi dan bekalan air bersih di atas sebuah tanah yang didermakan di Jalan Stephen Yong di sini.

Sukarelawan P&G sedang mengangkut batu-bata untuk pembinaan dinding di tapak projek di Jalan Stephen Yong
Sukarelawan P&G sedang mengangkut batu-bata untuk pembinaan dinding di tapak projek di Jalan Stephen Yong

Pembinaan ini dilaksanakan sebelum Hari Habitat Sedunia pada 6 Oktober 2014. Hari yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ini diraikan pada hari Isnin pertama bulan Oktober setiap tahun. Sejak diperkenalkan pada tahun 1985, Hari Habitat Sedunia mengiktiraf hak asasi setiap manusia untuk memiliki tempat perlindungan yang sebaiknya dan membantu usaha-usaha menghapuskan perumahan yang daif di seluruh dunia.

"P&G sangat menghormati usaha-usaha Habitat for Humanity Malaysia dan cawangannya di Kuching. Tahun ini, P&G Malaysia meraikan Hari Habitat Sedunia melalui penglibatan kami di dalam Borneo Blitz Build. Ia merupakan usaha yang hebat dan kami sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Habitat for Humanity, bukan sahaja di peringkat tempatan, tetapi juga global," kata Ketua Komunikasi P&G untuk Malaysia dan Singapura, Zulhaimi Abdul Hamid yang hadir di upacara pembinaan tersebut.

Usahasama di antara Procter & Gamble dan Habitat for Humanity pada skala global pula menyumbang dana untuk pembinaan, pembaikan dan pembersihan rumah-rumah di 12 buah negara di seluruh dunia. Malaysia merupakan salah satu daripada negara-negara yang menerima bantuan daripada P&G dan Habitat for Humanity untuk mendekati masyarakat tempatan yang memerlukan bantuan perumahan dan perlindungan.

Program kali ini merupakan usahasama kedua di antara P&G Malaysia dan Habitat for Humanity Malaysia tahun ini melalui kempen tanggungjawab sosial korporatnya iaitu Hulurkan Harapan. Hulurkan Harapan diwujudkan untuk menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan melalui sumbangan derma dan sukarelawan yang terdiri daripada kakitangannya. Tahun lalu, kakitangan P&G membaiki enam buah rumah dan membina sebuah rumah di penempatan Orang Asli di Kampung Paya Lebar, Sungai Lui, Selangor. Sehingga kini, P&G telah mendermakan sebanyak RM160,000 bagi kedua-dua projek ini.

David Kiu, presiden Habitat for Humanity Malaysia – Cawangan Kuching menghargai usaha pelbagai golongan masyarakat yang berganding bahu membina rumah-rumah tersebut bersama pemiliknya –  para suami dan isteri dari keluarga-keluarga yang terlibat.

"Para sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat dan New Zealand, tidak kira tua dan muda, telah mengambil bahagian di dalam program ini. Mereka sanggup meninggalkan rumah masing-masing dan datang sejauh ini untuk membina rumah bagi membantu orang lain. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah mengambil bahagian di dalam pembinaan ini. Kami berharap Borneo Blitz Build 2014 telah membantu meningkatkan lagi kesedaran mengenai cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sesetengah keluarga dan akan menggalakkan lebih ramai orang untuk menderma dan menjadi sukarelawan bagi program-program kami," jelas Kiu dengan gembira.

Habitat for Humanity adalah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang berusaha untuk membina perumahan yang mampan dan mampu dimiliki oleh golongan miskin. Objektifnya adalah untuk menghapuskan perumahan yang daif di seluruh dunia kerana mereka percaya bahawa semua orang berhak memiliki rumah yang selamat. Keluarga-keluarga miskin dibantu dengan pembaikan rumah-rumah sedia ada atau pembinaan rumah-rumah baru melalui sumbangan derma dan sukarelawan.

Untuk kempen ini, P&G bekerjasama dengan pasaraya Ta Kiong di The Spring, H&L dan EMART di mana pengguna dijemput untuk membantu meraih dana bagi Habitat for Humanity Malaysia – Cawangan Kuching melalui pembelian produk-produk P&G pilihan mereka dari 20 Ogos hingga 30 September 2014. Bagi setiap RM10 yang dibelanjakan ke atas produk-produk P&G, 10 sen akan didermakan kepada Habitat for Humanity. Cek untuk kutipan dana tersebut akan diserahkan pada bulan ini.

"Melalui Hulurkan Harapan dan produk-produk P&G, kami berharap agar dapat terus memberikan keselesaan di rumah-rumah rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah. Sokongan pengguna terhadap jenama-jenama kami dan program-program kutipan derma ini sangat bermakna untuk kami meneruskan usaha ini," tambah Zulhaimi.

Mengenai Procter & Gamble

P&G menyentuh kehidupan pengguna di seluruh dunia sebanyak empat bilion kali sehari. Syarikat ini mempunyai salah satu portfolio terkuat bagi jenama-jenama yang dipercayai, berkualiti dan menerajui pasaran termasuklah Pantene, Head & Shoulders, Rejoice, Olay, Gillette, Oral-B, Duracell, Downy, Ambi-Pur, Clairol Herbal Essences, Febreze, Dynamo, Fab, Pampers dan Whisper. P&G beroperasi di kira-kira 80 buah negara di seluruh dunia. Sila layari http://www.pg.com untuk berita terkini dan maklumat lanjut mengenai P&G dan jenama-jenamanya.

Mengenai Habitat for Humanity Malaysia

Habitat for Humanity Malaysia adalah sebahagian daripada organisasi global perumahan tidak berasaskan keuntungan, Habitat for Humanity International. Visi Habitat adalah untuk mencapai dunia di mana semua orang mempunyai rumah yang elok untuk didiami. Dipandu oleh kepercayaan bahawa perumahan yang selamat dan mampu dimiliki akan menyediakan asas yang penting untuk menghapuskan kitaran kemiskinan, Habitat for Humanity Malaysia bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi, sukarelawan dan keluarga-keluarga untuk membina dan membaiki rumah-rumah di kawasan separa bandar dan luar bandar. Ia juga menjalankan program pendidikan kewangan dan menganjurkan aktiviti-aktiviti pembangunan komuniti.

Sejak 1998, Habitat Malaysia telah membantu lebih daripada 200 buah keluarga melalui pusat sumbernya di Kuala Lumpur dan cawangan Kuching dan Kota Kinabalu, serta melibatkan lebih daripada 300 orang sukarelawan antarabangsa dan tempatan. Untuk maklumat lanjut, menderma atau menjadi sukarelawan, sila layari hfhmalaysia.org atau ikuti kami di Facebook di facebook.com/HabitatforHumanityMalaysia dan Twitter @HFHMalaysia.

Photo - http://photos.prnasia.com/prnh/20141016/8521406065

Source: Procter & Gamble (Malaysia)
Keywords: Construction/Building Home Improvement Household Products Household/Consumer/Cosmetics Corporate Social Responsibility