BANGKOK, 28 April 2024 /PRNewswire/ -- Perubahan iklim dan perlindungan alam sekitar merupakan antara masalah yang paling signifikan di rantau Asia-Pasifik. Kira-kira 50% daripada emisi karbon dioksida dunia datangnya dari rantau ini dan keadaan menjadi semakin teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila pemanasan global di rantau ini melebihi purata global.
Penyelesaian paladium inovatif yang diusahakan ketika ini oleh Nornickel akan menangani cabaran utama rantau ini: menambah baik rawatan air untuk lebih 2 bilion orang, memudahkan pelaksanaan projek tenaga hijau, mengurangkan emisi berbahaya dan mengoptimumkan peralihan kepada pembungkusan terbiodegradasi. Nornickel akan membelanjakan sebanyak $100 juta dalam penyelidikan dan pembangunan aplikasi paladium yang inovatif menjelang akhir tahun 2030.
Dmitry Izotov, Ketua Palladium Centre Norilsk Nickel, membentangkan topik ini di sidang pleno Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia dan Pasifik (ESCAP) mengenai Memanfaatkan Inovasi Digital untuk Pembangunan Mampan di Asia dan Pasifik, diadakan di Pusat Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Bangkok.
Pada masa ini, kebanyakan air dibasmi kuman dengan klorin, yang menimbulkan risiko alam sekitar yang signifikan dalam penghasilan, pengangkutan dan penyimpanannya. Pemangkin aloi paladium digabungkan dengan teknologi elektrolisis membolehkan bahan nyahjangkit dihasilkan berhampiran dengan bekalan air, lalu mengurangkan risiko alam sekitar.
"Paladium ialah mineral yang kritikal untuk masa depan, terutamanya untuk projek tenaga hidrogen dan solar. Pemangkin berasaskan paladium dalam sektor tenaga hidrogen menunjukkan peningkatan keberkesanan pada setiap peringkat dalam rantaian pengeluaran, bermula daripada pengekstrakan hidrogen daripada air melalui elektrolisis, hingga pengangkutannya dan malah dalam sel bahan api itu sendiri. Dalam industri tenaga solar, paladium kalkogen boleh digunakan untuk menghasilkan sel fotovolta yang amat cekap," kata Dmitry Izotov, ketua Palladium Centre Norilsk Nickel.
Bahan mentah penting untuk pengeluaran pembungkusan terbiodegradasi ketika ini ialah asid glikolik yang diperoleh daripada formaldehid, karsinogen yang berbahaya. Pemangkin berasaskan paladium yang baharu ini menghapuskan keperluan terhadap formaldehid karsinogenik dan memberikan hasil bahan mentah yang lebih baik. Teknologi paladium bukan sahaja membantu pengeluar memenuhi peraturan alam sekitar yang semakin ketat, tetapi juga mengurangkan kos pengeluaran serta meningkatkan keselamatan.
"Dalam era pendigitalisan global, teknologi seperti rangkaian neural, analisis data raya dan pembelajaran mesin memainkan peranan penting dalam mempercepatkan proses. Nornickel menggunakan teknologi digital secara aktif untuk memodelkan dan meramalkan struktur dan sifat bahan. Kerjasama antarabangsa yang erat dalam pembangunan teknologi digital diperlukan pada semua peringkat dan penting untuk mempercepatkan penerimaan teknologi hijau dan mencapai matlamat pembangunan mampan. Palladium Technology Centre bersedia untuk bertindak sebagai tapak rintis bagi menguji alat digital baharu," kata Dmitry Izotov.
Paladium diiktiraf secara meluas di serata dunia atas peranan pentingnya dalam mengatasi cabaran alam sekitar. Ia sudahpun digunakan secara aktif dalam industri automotif bagi membangunkan sistem kawalan emisi. Paladium amat berciri pemangkin, telap hidrogen dan, apabila digabungkan dengan unsur-unsur lain, mempunyai sifat optik yang baik. Ini memberi potensi yang amat besar kepada paladium untuk meningkatkan prestasi teknologi hijau dan menjadikannya lebih murah untuk dilaksanakan.