omniture

Teknologi Jantung Sistem Penjagaan Organ (OCS™) TransMedics® Digunakan untuk Melakukan Pemindahan Jantung Individu Dewasa Siri Pertama Dunia Daripada Penderma Setelah Kegagalan Edaran Darah (Penderma DCD) di St Vincent's Hospital, Sydney, Australia

TransMedics, Inc.
2014-10-25 18:17 171

ANDOVER, Massachusetts, 25 Oktober 2014  /PRNewswire/ -- TransMedics mengumumkan teknologi Jantung OCS™ miliknya telah digunakan untuk memelihara dan menilai siri pertama dunia bagi tiga prosedur pemindahan jantung individu dewasa yang berjaya daripada jantung yang didermakan oleh pihak penderma selepas kegagalan edaran darah (DCD) oleh pasukan Pemindahan Jantung St. Vincent's Hospital. Semua pesakit yang menerima pemindahan yang inovatif ini telah pulih dengan baik. Kejayaan ini merupakan pencapaian baharu yang penting bagi pemindahan jantung di seluruh dunia, dan ia telah dilaksanakan mengikut penyelidikan translasi dan asas perintis yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Jantung Victor Chang dan St Vincent's Hospital dengan menggunakan teknologi Jantung OCS™.

Foto - http://photos.prnewswire.com/prnh/20141024/154161

Jantung ini telah diambil daripada para penderma yang jantungnya telah berhenti berdegup. Pada masa kini, penderma DCD tidak dipertimbangkan untuk pemindahan jantung disebabkan oleh kekangan teknik pemeliharaan penyimpanan sejuk. Jantung ini telah diambil, dihidupkan kembali pada keadaan degupan normal dan diperiksa secara klinikal menggunakan teknologi Jantung OCS™ TransMedics. Platform teknologi OCS™ merupakan satu-satunya peranti perubatan yang mampu mengekalkan organ penderma pada keadaan berfungsi dan fisiologi hampir normal di luar tubuh manusia daripada saat organ tersebut dikeluarkan daripada penderma sehinggalah apabila ia sedia dipindahkan kepada penerima yang sesuai.

"Sistem Jantung OCS™ adalah sangat penting bagi kejayaan pencapaian klinikal pemindahan jantung ini kerana ia membolehkan kami memeriksa secara keseluruhan fungsi jantung penderma dan keadaan metaboliknya sebelum pemindahan dilakukan," kata Dr. Kumud Dhital, Profesor Pembedahan Kardiotoraks di St. Vincent's Hospital dan pakar bedah utama yang telah melakukan pemindahan jantung DCD.

"Kemampuan untuk memindahkan jantung penderma dengan selamat daripada penderma DCD boleh menjadi anjakan paradigma dalam meningkatkan potensi pengumpulan jantung penderma bagi membantu lebih ramai pesakit yang mengalami kegagalan jantung peringkat akhir," kata Dr. Waleed Hassanein, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TransMedics, Inc. "Kami terlibat secara aktif dalam empat ujian penting yang besar untuk jantung, peparu serta hati di A.S. bagi membawa teknologi OCS™ yang revolusioner ini kepada pasaran A.S. yang diharap dapat dimulakan pada tahun 2015," kata Dr. Hassanein.

Apakah itu Sistem Penjagaan Organ (OCS™) TransMedics?

Sejak kemunculan pemindahan organ, asas pemeliharaan organ ialah penyimpanan iskemik sejuk (meletakkan organ di atas ais). Walaupun kaedah ini bertujuan untuk mengurangkan takat kerosakan organ semasa pengangkutan, kemerosotan yang signifikan pada organ yang didermakan masih berlaku. Semakin lama organ tersebut diletakkan di atas ais, semakin besar kerosakan yang terhasil. Selain itu, teknik penyimpanan sejuk tidak membolehkan apa-apa resusitasi atau pemeriksaan ketika organ tersebut dipindahkan daripada penderma kepada penerima. Disebabkan oleh beberapa kekangan penyimpanan sejuk, adalah dijangkakan 60 hingga 65 peratus jantung yang didermakan pada peringkat global akhirnya tidak boleh digunakan untuk pemindahan.

TransMedics telah membangunkan satu-satunya peranti perubatan mudah alih di dunia yang mampu mengatasi kekangan penyimpanan sejuk bagi tujuan pemindahan organ. Teknologi OCS™ direka bagi menyediakan penyelesaian lengkap untuk ketiga-tiga kekangan utama teknik penyimpanan sejuk, memandangkan ia:

  • Mengurangkan kecederaan iskemia sejuk dengan membekalkan jantung dengan darah beroksigen yang hangat;
  • Mengoptimumkan keadaan organ dengan menambahkan semula oksigen, nutrien dan juga hormon yang berkurangan;
  • Menyediakan pemantauan dan pemeriksaan berterusan terhadap organ hingga proses pemindahan dilakukan

Kemampuan tersendiri teknologi OCS ini berpotensi untuk:

  • Meningkatkan penggunaan organ penderma semasa
  • Meningkatkan kelangsungan hidup pesakit
  • Mengurangkan komplikasi selepas pembedahan
  • Meningkatkan keberkesanan daripada segi kos bagi prosedur pemindahan organ

Latar Belakang TransMedics, Inc.

TransMedics Inc. merupakan peneraju dunia daripada segi perfusi mesin eks-vivo mudah alih dan pemeriksaan organ yang didermakan bagi tujuan pemindahan. Dengan ibu pejabatnya di Andover, Massachusetts, syarikat ini ditubuhkan bagi menangani keperluan yang tidak dipenuhi terhadap organ yang lebih banyak dan lebih baik untuk pemindahan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila layari www.TransMedics.com.

Source: TransMedics, Inc.
Keywords: Health Care/Hospital Medical Equipment Medical/Pharmaceuticals