omniture

Teknologi Smart Cable Guard Dipertingkat untuk Sistem Kabel Voltan Sederhana Mengurangkan Kos Pengendalian dan Meningkatkan Keandalan untuk Pemilik Aset Perindustrian dan Kemudahan

DNV GL
2014-10-28 08:01 95

JEJU, Korea Selatan, 28 Oktober 2014 /PRNewswire/ --

  • Penyelesaian Smart Cable Guard terus memantau dan mengesan dengan serta-merta lokasi kerosakan dengan tepat dalam sistem kabel kuasa voltan sederhana (MV)
  • Maklumat keadaan kabel masa nyata memecut masa pembaikan, meningkatkan keandalan sistem kabel kuasa MV serta mengurangkan kos perkhidmatan keseluruhan untuk pemilik aset perindustrian dan kemudahan
  • DNV GL melancarkan kemajuan teknologi terkini bagi penyelesaian Smart Cable Guard mereka di CEPSI, 26 hingga 30 Oktober, Korea

DNV GL, pakar pengujian dan khidmat nasihat tenaga global terkemuka, hari ini mengumumkan kemajuan terkini bagi penyelesaian Smart Cable Guard mereka. Selain kemampuan sedia ada yang membenarkan pengendali sistem dan pengurus aset perindustrian mengesan dan menentukan kedudukan nyahcas separa secara dalam talian, Smart Cable Guard kini boleh menentukan dengan tepat dan serta-merta, dengan beza ketepatan sebanyak 1 peratus, lokasi yang betul untuk kerosakan dalam sistem kabel MV dan mengurangkan masa pembaikan. Dengan maklumat masa nyata ini, para pengendali dan pengurus aset boleh mengurangkan secara drastik masa pelanggan yang terjejas oleh kerosakan – dan dalam keadaan tertentu, ia juga mengurangkan kekerapan pelanggan yang terjejas – lalu membawa kepada pengurangan kos sistem keseluruhan.

Penyelesaian ini mengurangkan kos penyelenggaraan, menyingkirkan gangguan kuasa sewaktu penggunaan harian, meringankan dakwaan dan publisiti yang negatif serta meningkatkan reputasi pengendali untuk pengurusan grid inovatif dan andal. Disepadukan dalam satu penyelesaian, Smart Cable Guard mengesan dan mencari sebarang kerosakan dan mengeluarkan pemberitahuan serta-merta, yang bebas daripada paras arus litar pintas dan pembumian rangkaian – walaupun apabila tiada arus litar pintas yang melaluinya. Ia juga menyediakan kemampuan untuk mengesan dengan serta-merta lokasi kerosakan yang tenggelam timbul dan yang tersembunyi.

"Smart Cable Guard telah terbukti sebagai penyelesaian yang sangat menarik untuk pengesanan dalam talian yang tepat dan pantas bagi kerosakan dalam rangkaian kami. Sebab itulah kami sudah pun melindungi litar kami menggunakan penyelesaian DNV GL, dan ada lebih banyak lagi yang akan datang," kata Denny Harmsen, Perunding Inovasi Kanan di Alliander, salah satu Kemudahan Rangkaian Pengagihan utama di Belanda.

Dr. Fred Steennis, Perunding Utama dan Pakar Kabel Kuasa di DNV GL berkata, "Dalam persekitaran bandar dengan kos gangguan kuasa yang tinggi, kabel kuasa voltan sederhana merupakan aset paling penting bagi kemudahan, manakala kegagalan rangkaian kuasa perindustrian pula boleh menyebabkan gangguan serius dan kerugian wang. Pemantauan luar talian bagi kabel ini adalah umpama kamera keselamatan yang mengambil gambar sekali setahun, sementara maklumat masa nyata Smart Cable Guard yang baharu pula menawarkan pemerhatian berterusan untuk rangkaian kabel itu kepada para pengendali, dan melengkapi mereka dengan maklumat yang betul bagi membolehkan tindakan serta-merta diambil."

DNV GL melabur 5 peratus daripada hasil mereka dalam penyelidikan dan inovasi, seperti projek usaha sama industri dengan beberapa rakan kongsi dalam industri, dan Smart Cable Guard merupakan salah satu daripadanya. Ketahui lebih lanjut tentang penyelesaian Smart Cable Guard DNV GL di http://www.dnvgl.com/SmartCableGuard.

LATAR BELAKANG DNV GL 

DNV GL didorong oleh matlamatnya untuk melindungi nyawa, harta dan juga alam sekitar, lalu membolehkan organisasi memajukan keselamatan dan kemampanan perniagaan mereka. DNV GL menyediakan perkhidmatan pengelasan dan jaminan teknikal di samping perisian dan perkhidmatan khidmat nasihat pakar bebas kepada industri maritim, minyak & gas serta tenaga. Ia juga menyediakan perkhidmatan pensijilan kepada pelanggan dalam pelbagai industri. DNV GL, yang berasal-usul sejak tahun 1864, beroperasi pada peringkat global di lebih 100 negara dengan 16,000 kakitangan profesionalnya yang dikhususkan untuk membantu pelanggan mereka menjadikan dunia ini lebih selamat, lebih pintar dan juga lebih mesra alam.

Dalam industri Tenaga 

Di DNV GL, kami menyatukan kekuatan DNV, KEMA, Garrad Hassan serta GL Renewables Certification. 2,500 pakar tenaga DNV GL menyokong pelanggan seluruh dunia bagi menyediakan bekalan tenaga yang selamat, andal, cekap dan juga mampan. Kami menyediakan perkhidmatan pengujian, pensijilan serta khidmat nasihat yang dikenali seluruh dunia kepada rantaian nilai tenaga termasuk bahan api boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga. Kepakaran kami merangkumi kuasa angin atas darat dan luar pesisir, tenaga suria, penjanaan konvensional, penghantaran dan pengagihan, grid pintar dan juga penggunaan tenaga mampan, serta pasaran tenaga dan kawal selia. Perkhidmatan pengujian, pensijilan serta khidmat nasihat kami disediakan secara berasingan.

Ketahui lebih lanjut di http://www.dnvgl.com/energy

Sumber: DNV GL

Source: DNV GL
Keywords: Computer/Electronics Electrical Utilities New products/services