omniture

Air China dan Air Canada Bentuk Perikatan Strategik Komprehensif, Perkukuh Jaringan Kanada-China

Air China
2014-11-10 23:59 208

BEIJING dan MONTREAL, 10 November 2014 /PRNewswire/ -- Air Canada dan Air China Limited mengumumkan hari ini kedua-dua syarikat penerbangan tersebut memeterai memorandum persefahaman yang menyatakan prinsip utama bagi usaha sama perkongsian hasil komprehensif yang memantapkan perkongsian laluan antara Kanada dan China yang akan merangsang perkembangan trafik antara kedua-dua negara. Usaha sama tersebut akan menghasilkan faedah penentuan harga dan perkhidmatan sampingan untuk para pelanggan yang melakukan perjalanan antara kedua-dua negara tersebut selain meningkatkan kerjasama antara dua syarikat penerbangan itu dalam bidang jualan, pemasaran serta pengendalian lapangan terbang. Pengumuman tersebut telah dibuat di Beijing ketika lawatan rasmi Perdana Menteri Kanada Stephen Harper ke China, sebelum mesyuarat negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Usaha sama itu dijangka akan berkuat kuasa menjelang akhir tahun 2015, yang tertakluk kepada Air Canada dan Air China melakukan pemfailan yang perlu, mendapatkan persaingan dan kelulusan kawal selia lain serta memuktamadkan dokumentasi.

"Melalui kerjasama dengan rakan kongsi kami Air Canada, kami dapat menyediakan lebih banyak pilihan dan faedah pelancongan untuk para pelanggan yang melakukan perjalanan antara China dan Kanada di samping mengurangkan tempoh perjalanan melalui pengalaman perjalanan yang lebih diperkemas," kata Song Zhiyong, Presiden dan Pengarah Eksekutif Air China Limited. "Usaha sama antara Air China dan Air Canada ini akan menyediakan banyak faedah dan sinergi komersil pada pasaran yang penting dan berkembang bagi tujuan pelancongan dan perdagangan antara Kanada dan China. Sejak lima tahun lalu, pasaran perjalanan udara Kanada-China berkembang dengan purata hampir 11 peratus setiap tahun dan arah aliran ini dijangka akan kekal mantap menurut kumpulan perdagangan industri syarikat penerbangan IATA."

"Sebagai anggota Star Alliance, Air Canada dan Air China akan beroleh manfaat daripada usaha sama perkongsian hasil ini, seperti mana para pelanggan kami melalui pengalaman perjalanan yang diperkemas serta ganjaran kesetiaan," kata Calin Rovinescu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Canada, yang berada di Beijing untuk menandatangani memorandum persefahaman itu. "Dengan meningkatkan kerjasama kami dalam bidang penjadualan dan pengurusan jualan, syarikat penerbangan akan mampu menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada para pelanggan dengan menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan. Usaha sama ini akan menyediakan pilihan perjalanan sampingan untuk para pelanggan kedua-dua syarikat penerbangan itu melalui perluasan penerbangan kod kongsi ke lapangan terbang tambahan untuk jaringan domestik kedua-dua syarikat penerbangan memandangkan jaringan yang diperluas ialah prinsip utama usaha sama ini."

Kini, Air China menawarkan penerbangan kongsi kod untuk para pelanggannya, yang dikendalikan oleh Air Canada antara Vancouver dan enam bandar di Kanada (Edmonton, Calgary, Winnipeg, Toronto, Ottawa serta Montreal) manakala Air Canada pula menawarkan penerbangan kongsi kod yang dikendalikan oleh Air China antara Beijing dan enam bandar di China (Guangzhou, Chongqing, Chengdu, Shenyang, Wuhan dan juga Xi'an).

Air Canada mengendalikan sehingga 28 penerbangan setiap minggu antara Kanada dan China, dari Toronto dan Vancouver ke dan dari Beijing serta Shanghai. Air China pula mengendalikan sehingga 11 penerbangan setiap minggu antara Beijing dan Vancouver.

Latar Belakang Air China

Air China Limited (Air China) merupakan syarikat penerbangan negara China dan penyedia terkemuka produk dan perkhidmatan berkaitan dengan syarikat penerbangan, kargo udara serta penumpang di China. Ibu pejabat operasinya terletak di Beijing, yang merupakan hab domestik dan antarabangsa utama di China. Ia juga menyediakan perkhidmatan berkaitan dengan syarikat penerbangan, termasuk penyelenggaraan kapal terbang, perkhidmatan pengendalian darat di Beijing, Chengdu dan juga lokasi lain. Setakat 30 Jun 2014, Syarikat tersebut mengendalikan armada yang terdiri daripada 316 kapal terbang dengan purata usia 6.28 tahun (tidak termasuk kapal terbang di bawah sewa-pajak 'wet-lease' kapal terbang). Laluan trafik penumpang mencapai 323 laluan, termasuk 79 laluan antarabangsa, 15 laluan serantau serta 229 laluan domestik. Jaringan Syarikat meliputi 32 negara dan wilayah pada peringkat global dan 162 bandar, termasuk 53 bandar antarabangsa, tiga bandar serantau dan juga 106 bandar domestik. Air China turut disenaraikan pada Bursa Saham Hong Kong dan Bursa Saham London pada 15 Disember 2004 masing-masing di bawah kod 00753 dan AIRC. Pada 18 Ogos 2006, Air China telah disenaraikan pada Bursa Saham Shanghai di bawah kod 601111. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Air China: www.airchina.com.cn.

Latar Belakang Air Canada

Air Canada merupakan syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa terbesar di Kanada yang menyediakan perkhidmatan untuk lebih 180 destinasi di lima benua. Syarikat penerbangan negara Kanada ini merupakan antara 20 syarikat penerbangan terbesar dunia dan pada tahun 2013 menyediakan perkhidmatan kepada lebih 35 juta pelanggan. Air Canada menyediakan perkhidmatan penumpang berjadual secara langsung ke 60 bandar di Kanada, 49 destinasi di Amerika Syarikat serta 73 bandar di Eropah, Timur Tengah, Asia, Australia, Caribbean, Mexico dan juga Amerika Selatan. Air Canada juga ialah anggota pengasas Star Alliance, jaringan pengangkutan udara paling menyeluruh di dunia yang menyediakan perkhidmatan untuk 1,316 lapangan terbang di 192 negara. Air Canada ialah satu-satunya syarikat penerbangan jaringan antarabangsa di Amerika Utara yang mendapat pemeringkatan Empat Bintang menurut Skytrax, firma penyelidikan bebas di U.K. yang mengiktiraf Air Canada sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik di Amerika Utara bagi tahun kelima berturut-turut pada tahun 2014, dalam tinjauan sedunia yang melibatkan lebih 18 juta penumpang syarikat penerbangan. Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.aircanada.com.

Perhatian Berhubung Maklumat Pandang ke Hadapan

Komunikasi awam Air Canada mungkin merangkumi kenyataan pandang ke hadapan dalam maksud undang-undang keselamatan yang dapat dikenakan. Kenyataan pandang ke hadapan, menurut sifatnya, adalah berdasarkan andaian dan tertakluk kepada risiko dan ketidaktentuan yang penting. Kenyataan pandang ke hadapan tidak boleh diharapkan disebabkan oleh, antara lain, peristiwa luaran yang berubah dan ketidaktentuan umum perniagaan. Keputusan sebenar mungkin jelas berbeza daripada keputusan yang dinyatakan dalam kenyataan pandang ke hadapan disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk tetapi tidak terhad kepada keadaan ekonomi, kredit, pasaran serta industri, kemampuan untuk mengurangkan kos pengendalian dan mendapat pembiayaan, isu pencen, harga tenaga, hubungan buruh dan pekerja, kadar faedah dan pertukaran mata wang, persaingan, peperangan, tindakan keganasan, wabak penyakit, faktor persekitaran (termasuk sistem iklim dan fenomena alam lain, serta faktor yang berpunca daripada sumber buatan manusia), isu insuran dan kos, perubahan permintaan disebabkan oleh sifat bermusim perniagaan, isu bekalan, perubahan dalam undang-undang, perkembangan kawal selia atau prosiding, litigasi yang belum selesai dan yang akan datang serta tindakan oleh pihak ketiga selain beberapa faktor yang dikenal pasti dalam seluruh fail pendedahan umum Air Canada yang boleh didapati di www.sedar.com. Sebarang kenyataan pandang ke hadapan yang terkandung dalam siaran akhbar ini menggambarkan jangkaan Air Canada setakat tarikh siaran akhbar ini dan tertakluk kepada perubahan selepas tarikh tersebut. Walau bagaimanapun, Air Canada menafikan sebarang niat atau tanggungjawab untuk mengemas kini atau menyemak semula apa jua kenyataan pandang ke hadapan sama ada hasil daripada maklumat baharu, peristiwa masa hadapan atau sebaliknya, kecuali sebagaimana dikehendaki di bawah peraturan keselamatan yang dapat dikenakan.       

Logo - http://photos.prnasia.com/prnh/20141017/0861407509

Source: Air China
Related Stocks:
HongKong:0753 LSE:AIRC OTC:AIRYY Shanghai:601111
Keywords: Aerospace/Defense Airlines/Aviation Leisure/Travel/Hotels Passenger Aviation Transportation Travel Contracts Licensing/marketing agreements New products/services