omniture

Trinasolar dan Universidad Politécnica de Madrid berganding bahu dalam penyelidikan teknologi solar

Trinasolar
2024-07-03 10:00 80

MADRID, 3 Julai 2024 /PRNewswire/ -- Trinasolar mengumumkan penandatanganan perjanjian kolaborasi jangka panjang bersama Institute of Solar Energy di Universidad Politécnica de Madrid (IES-UPM). Perjanjian ini, yang ditandatangani pada 26 Jun, merupakan peristiwa penting dalam penglibatan Trinasolar dengan universiti-universiti terkemuka, menonjolkan komitmen semua pihak yang berkenaan terhadap pendidikan, penyelidikan dan inovasi dalam tenaga solar.

Perjanjian ini ditandatangani di kampus IES-UPM, dengan Helena Li, Presiden Eksekutif Trinasolar dan Ignacio Anton Hernandez, Pengarah IES-UPM, turut hadir. Melalui perkongsian ini Trinasolar dan IES-UPM akan mengumpulkan kepakaran mereka bagi memajukan penyelidikan dalam sains dan teknologi fotovolta. Kolaborasi ini bertujuan untuk berinovasi dalam bidang-bidang seperti kecekapan panel solar, kebingkasan serta keteguhan penjejak solar dan menambah baik pengurusan tenaga solar.

Helena Li and Ignacio Anton Hernandez at signing ceremony.
Helena Li and Ignacio Anton Hernandez at signing ceremony.

Dengan pengalaman selama 27 tahun dalam solar, Trinasolar menganggap penyelidikan dan pembangunan sebagai kritikal kepada kemajuan industri. Tahun lalu, syarikat ini memperuntukkan sebanyak $768 juta kepada R&D, 19.7% lebih banyak berbanding pada tahun 2022 dan pasukan R&D Trinasolar bekerjasama erat dengan institut-institut penyelidikan serta universiti-universiti di seluruh dunia.

IES-UPM, institusi aktif yang tertua di dunia dalam penyelidikan PV, ditubuhkan pada tahun 1979. Institusi ini merupakan perintis bagi penyelidikan tenaga solar, mengkhusus untuk meneliti asas dan aplikasi praktikal fotovolta, terutamanya dalam meneroka strategi baharu untuk mengoptimumkan kecekapan dan prestasi loji fotovolta, dengan memanfaatkan data saintifik serta pengalaman praktikal.

"Menandatangani perjanjian ini bersama IES-UPM merupakan satu langkah besar ke hadapan untuk usaha Trinasolar bersama universiti-universiti di Eropah dan ia memainkan peranan penting dalam kolaborasi global Trina bersama rakan-rakan kongsi yang inovatif," kata Helena Li, Presiden Eksekutif Trinasolar. "Perkongsian ini akan membolehkan pasukan R&D kami bekerjasama erat dengan bakat akademik Eropah, mengekalkan kecekapan teras kami dan menyediakan lebih banyak penyelesaian tenaga setempat kepada pasaran Eropah."

Selain daripada projek penyelidikan bersama, Trinasolar akan menubuhkan sebuah pusat latihan termaju di IES-UPM, bagi menyediakan produk dan sistem solar yang terkini. Pusat ini akan dilengkapi dengan teknologi solar, termasuk modul solar, penjejak dan mungkin juga sistem storan dalam masa terdekat. Inisiatif ini merupakan yang pertama daripada Trina bersama sebuah universiti di Sepanyol, bertujuan untuk menyokong pembangunan tenaga solar di rantau ini.

"Kami amat menghargai kolaborasi bersama Trinasolar ini untuk program penyelidikan bersama dalam tempoh jangka panjang," kata Ignacio Anton Hernandez, Pengarah IES-UPM. "Trinasolar ialah sebuah syarikat solar yang terkemuka di dunia yang mana pencapaiannya dalam teknologi R&D dan pengalaman projek dapat memberikan sokongan penyelidikan yang kukuh kepada kami. Perjanjian ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada pelajar kami dengan menyediakan akses kepada teknologi terkini bahkan akan turut menyumbang kepada kemajuan penyelesaian tenaga lestari."

Source: Trinasolar
Keywords: Alternative Energies Environmental Products & Services Oil/Energy Utilities Contracts Licensing/marketing agreements