SINGAPURA, 21 November 2014 /PRNewswire/ -- Amgen (NASDAQ:AMGN) telah menyiapkan pembinaan kemudahan Biopembuatan Generasi Seterusnya yang pertama, terletak di Singapura, menandakan peringkat baharu bagi penghasilan ubat-ubatan secara cekap dan inovatif yang merawat penyakit serius.
Ubat-ubatan biologi dihasilkan di dalam sel hidup dan kemudahan Tuas baharu ini terdiri daripada pelbagai teknologi yang menggalakkan kepantasan, produktiviti serta fleksibiliti bagi penghasilan ubat-ubatan dalam skala komersil.
Dibina dalam tempoh kurang dua tahun, kemudahan Biopembuatan Generasi Seterusnya itu berjaya disiapkan dalam tempoh separuh daripada masa yang diperuntukkan untuk membina kilang biopembuatan konvensional. Ia menggunakan bioreaktor sekali guna, bekas plastik pakai buang, pemprosesan penulenan berterusan serta analisis kualiti masa nyata. Reka bentuk yang fleksibel dan modular ini boleh direplikakan untuk kemudahan pada masa hadapan, lalu membolehkan penghasilan yang lebih tinggi dan kebolehcapaian yang lebih luas untuk para pesakit di seluruh dunia.
"Di Amgen, kami berusaha mencipta semula penghasilan ubat-ubatan biologi," kata Robert A. Bradway, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif Amgen. "Singapura merupakan tempat yang sesuai untuk melabur dalam kemudahan perintis sebegini kerana kelebihan tenaga kerja yang berbakat dan komitmennya terhadap industri bioteknologi."
Kemudahan Biopembuatan Generasi Seterusnya ini dijangka akan beroleh hasil tahunan yang sama sebagaimana kemudahan konvensional, tetapi dalam bangunan tunggal yang menggunakan kurang tenaga dan air serta mempunyai paras sisa pepejal dan pelepasan yang lebih rendah – kesemuanya selari dengan komitmen Singapura terhadap pembangunan ekonomi yang lestari dan inovatif.
Yeoh Keat Chuan, pengarah urusan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura (EDB) mengucapkan tahniah kepada Amgen dan berkata, "Keputusan Amgen untuk membina kemudahan yang besar dan pertama di Singapura, yang menggunakan set teknologi biopembuatan mereka yang hebat, merupakan bukti kemampuan Singapura sebagai hab biofarmaseutikal berkualiti tinggi, bersedia untuk masa hadapan dan juga global. EDB akan terus melabur dalam bakat, keupayaan proses serta teknologi baharu bagi menyokong pertumbuhan yang kukuh dalam sektor ini."
Amgen turut mengumumkan ia akan terus membina kemudahannya di tapak Tuas di Singapura dan tidak lama lagi membina satu lagi kemudahan untuk menghasilkan carfilzomib, yang merupakan bahan aktif untuk Kyprolis®.
Latar Belakang Amgen
Amgen amat komited untuk menyerlahkan potensi biologi untuk para pesakit yang mengalami penyakit serius melalui penemuan, pembangunan, pembuatan serta penyediaan terapeutik manusia yang inovatif. Pendekatan ini bermula dengan menggunakan alatan seperti genetik manusia lanjutan bagi membongkar kerumitan penyakit dan memahami asas biologi manusia.
Amgen bertumpu pada beberapa bidang dengan keperluan perubatan tinggi yang belum dapat dipenuhi dan memanfaatkan kepakaran pembuatan biologi bagi mendapatkan penyelesaian yang mampu meningkatkan kesihatan dan memperbaiki kehidupan orang ramai secara dramatik. Sebagai perintis bidang bioteknologi sejak tahun 1980, Amgen telah berkembang menjadi syarikat bioteknologi bebas terbesar di dunia, yang membantu berjuta-juta pesakit di seluruh dunia serta membangunkan rancangan ubat-ubatan yang berpotensi untuk membawa perubahan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.amgen.com dan ikuti kami di www.twitter.com/amgen.