SINGAPURA, 1 December 2014 /PRNewswire/ -- Stars of Christmas, suatu projek kemasyarakatan tahunan yang diusahakan bersama OUE Limited (SGX-ST: LJ3), Mandarin Orchard Singapore serta beberapa rakan terpilih, dengan kolaborasi pelbagai persatuan bantuan kanak-kanak, telah dirasmikan dengan berlangsungnya upacara menggantung bintang Krismas di Mandarin Orchard Singapore. Program itu, yang kini pada tahun kelimanya meneruskan tradisi memeriahkan sambutan Hari Natal bagi golongan penerima di bawah naungan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang komited untuk memberi khidmat bantuan kepada kanak-kanak dengan keperluan khas dan yang menghidap penyakit, serta mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah.
Stars of Christmas dijayakan menerusi sokongan sejumlah penderma, sukarelawan serta rakan korporat yang kian bertambah termasuklah Chrysler Jeep Automotive of Singapore Pte Ltd dan Komoco Motorcycles Pte Ltd (Harley-Davidson of Singapore – Wakil Peniaga Tunggal yang Dibenarkan). Tahun ini program tersebut turut menyaksikan tambahan penyertaan yang dialu-alukan daripada pihak Community Chest – cabang pengutipan derma dan pelibatan Majlis Kebangsaan Khidmat Sosial.
Stars of Christmas merupakan program tiga bahagian yang dimulakan dengan mendapatkan hadiah Krismas daripada para pekerja pertubuhan sokongan, para tetamu Mandarin Orchard Singapore dan juga masyarakat awam. Pokok Krismas yang diletakkan di bahagian lobi utama hotel akan turut dihias dengan beberapa bintang yang menandakan nama, umur serta jantina setiap penerima hadiah tersebut. Para penderma digalakkan untuk mengambil seberapa banyak bintang yang mereka mahukan, dan kemudiannya membeli hadiah Krismas berpandukan maklumat yang terdapat pada bintang itu dengan sewajarnya.
Pada 11 Disember 2014, para penerima hadiah Stars of Christmas, berserta ibu bapa, adik-beradik dan juga para penjaga, akan menjadi tetamu kehormat pada majlis jamuan makan tengah hari Krismas yang dianjurkan oleh Pengerusi Eksekutif OUE, Dr Stephen Riady, di Mandarin Orchard Singapore. Kanak-kanak akan diraikan dengan hiburan pada sebelah petang serta jamuan Krismas yang lazat – majlis itu diakhiri dengan gembira apabila Santa mengagihkan hadiah.
Pada acara kemuncak Stars of Christmas, "Toy Run", yang dijadualkan berlangsung pada 13 Disember 2014, para sukarelawan yang menunggang motosikal Harley-Davidson dan menaiki Jeep® mereka akan berbaris di hadapan Orchard Road di Mandarin Gallery. Acara ini akan menjadi tontonan yang meriah apabila mereka bertolak pada jam 9.30 pagi untuk membantu mengagihkan beratus-ratus hadiah Krismas yang didermakan ke beberapa rumah dan juga hospital.
Dalam suatu kenyataan yang dikeluarkan pada majlis perasmian itu, En. Thio Gim Hock, Ketua Pegawai Eksekutif OUE dan Pengarah Urusan Kumpulan, berkata, "Krismas merupakan saat untuk memberi. Di OUE, kami berasa gembira dapat meraikan tradisi Krismas buat kali kelima berturut-turut dengan sambutan tahunan ini. Stars of Christmas tidak mungkin dapat dijayakan tanpa sokongan para penderma kami, para sukarelawan serta rakan kongsi, yang berkongsi komitmen berterusan kami untuk menyumbang semula kepada masyarakat."
"Kami menyambut baik peluang ini untuk menjadi sebahagian daripada usaha yang begitu bermakna," ulas En. Gerald Seng, Pengurus Besar Chrysler Jeep Automotive Singapore. "Melalui program kemasyarakatan Stars of Christmas ini, kami dapat memberi sumbangan dengan membawa mesej harapan pada Hari Krismas ini kepada kanak-kanak dan keluarga mereka yang amat memerlukannya."
Maklumat perhubungan media:
Jordan Isac
Komunikasi Korporat
OUE Limited
T: +65-6809-6052
E: jordanisac@oue.com.sg
Janice Azupardo
Penjenamaan & Komunikasi
Meritus Hotels & Resorts
T: +65-6831-6385
E: janice.azupardo@meritushotels.com