NEW YORK, 10 Disember 2014 /PRNewswire/ -- Empire State Realty Trust, Inc. (NYSE: ESRT) dan iHeartMedia hari ini mengumumkan mereka bakal bekerjasama sekali lagi bagi mempersembahkan pertunjukan acara iringan muzik yang unik semasa musim perayaan ini. Bagi memulakan sambutan, ESRT dan iHeartMedia akan mengadakan pertunjukan muzik iringan cahaya pada 12 Disember 2014, sebelum konsert musim perayaan tahunan iHeartRadio dan Z100, Jingle Ball. Mercu tanda ikonik itu akan menyegerakkan cahaya menara LED mereka yang terkenal seluruh dunia, direka tari oleh pereka pencahayaan yang disanjung di peringkat antarabangsa, Marc Brickman, diiringi lagu baharu bintang global dan penghibur Jingle Ball Z100 Taylor Swift, "Welcome to New York." Para peminat yang ingin menyaksikan pertunjukan cahaya itu secara langsung boleh menghala pandangan ke langit atau ikuti saluran Z100 pada pukul 7 petang.
Disember juga membawakan kembali siri pertunjukan cahaya iringan muzik menara LED Musim Perayaan Bangunan Empire State (ESB). Empat pertunjukan cahaya iringan muzik yang unik, disegerakkan mengikut lagu musim perayaan yang tidak lapuk ditelan zaman di saluran 106.7 Lite fm iHeartMedia dan juga melalui app mudah alih iHeartRadio, akan dimainkan setiap malam pada pukul 7 petang bermula Sabtu, 20 Disember sehingga Selasa 23 Disember 2014. Para peminat seluruh dunia akan mendapat peluang unik untuk membantu pertunjukan cahaya kemuncak yang akan dimainkan semula pada malam sebelum Krismas pada pukul 7 petang dengan mengundi video kegemaran mereka melalui www.empirestatebuilding.com. Muzik untuk persembahan yang menang akan dimainkan dalam stesen radio iHeartMedia di saluran 106.7 Lite fm, Z100, dan 103.5 KTU. Bagi mereka yang tidak berpeluang menonton persembahan itu secara langsung, ESB akan memuat naik video setiap pertunjukan sejurus selepas itu pada laman YouTube mereka (www.youtube.com/esbnyc) serta pada laman webnya agar peminat dapat membuat undian.
"Melalui perkongsian kami dengan iHeartMedia, pertunjukan cahaya iringan muzik kami telah menjadi pemandangan tetap di latar langit Kota Raya New York, dan pertunjukan cahaya musim perayaan kami adalah kegemaran istimewa Kota Raya New York. Bangunan Empire State dan iHeartMedia dengan sukacitanya mengadakan kembali pertunjukan itu tahun ini sebagai hadiah musim perayaan terunggul kepada Kota Raya New York dan seluruh dunia," kata Anthony E. Malkin, Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden ESRT. "Nikmatilah tradisi tahunan baharu kami, khazanah sambutan musim perayaan ikonik Kota Raya New York yang memberi suasana yang benar-benar ajaib di bandar raya itu semasa tempoh ini."
"Mengatur cahaya Bangunan Empire State yang hebat dengan muzik Krismas Lite fm memberi kami peluang unik bagi menghidupkan latar langit paling terkenal di dunia semasa musim perayaan ini," kata Tom Poleman, Presiden Platform Pemprograman Kebangsaan untuk iHeartMedia, Inc. 'Apabila anda menambah lagu kepada cahaya yang diatur itu, pertunjukan itu akan jadi benar-benar hidup."
Latar Belakang Bangunan Empire State
Tersergam setinggi 1,454 kaki di Tengah Bandar Manhattan (daripada tapak ke antena), Bangunan Empire State, yang dimiliki Empire State Realty Trust, Inc. merupakan "Bangunan Pejabat Paling Terkenal di Dunia." Dengan pelaburan baharu dalam kecekapan tenaga, prasarana, kawasan awam, dan kemudahan, Bangunan Empire State telah menarik kedatangan penyewa kelas pertama dalam pelbagai industri dari seluruh dunia. Teknologi penyiaran pencakar langit itu yang kukuh menyokong semua stesen televisyen dan radio FM utama dalam pasaran metropolitan New York. Bangunan Empire State telah diiktiraf sebagai bangunan kegemaran Amerika dalam satu kaji selidik yang dikendalikan Institut Arkitek Amerika, dan Balai Cerap Bangunan Empire State merupakan salah satu tarikan paling disukai seluruh dunia sebagai destinasi pelancong No.1 rantau itu. Untuk maklumat lanjut tentang Bangunan Empire State, sila lawati www.empirestatebuilding.com, www.facebook.com/empirestatebuilding, @EmpireStateBldg, www.instagram.com/empirestatebldg, www.youtube.com/esbnyc atau www.pinterest.com/empirestatebldg.
Latar Belakang Empire State Realty Trust
Empire State Realty Trust, Inc. (NYSE: ESRT), dana pelaburan harta tanah (REIT) terkemuka memiliki, mengurus, mengendali, memperoleh, dan menetapkan semula kedudukan harta tanah pejabat dan runcit di Manhattan dan kawasan metropolitan besar New York, termasuk Bangunan Empire State, bangunan pejabat paling terkenal di dunia.
Beribu pejabat di New York, portfolio pejabat dan runcit Syarikat itu merangkumi 10.0 juta kaki persegi kawasan boleh sewa, setakat 30 September 2014, terdiri daripada 9.3 juta kaki persegi boleh sewa dalam 14 harta tanah pejabat, termasuk sembilan di Manhattan, tiga di Daerah Fairfield, Connecticut, dan dua di Daerah Westchester, New York; dan kira-kira 731,000 kaki persegi kawasan boleh sewa dalam portfolio runcit. Syarikat itu juga memiliki tanah di Stamford, Pusat Pengangkutan Connecticut yang menyokong pembangunan kira-kira 380,000 kaki persegi kawasan bangunan pejabat dan garaj yang boleh sewa.
Latar Belakang iHeartMedia
Dengan 245 juta pendengar bulanan di A.S., 97 juta pengguna digital unik bulanan dan 196 juta pengguna bulanan Rangkaian Lalu Lintas dan Cuaca Lengkap, iHeartMedia mempunyai jangkauan terluas berbanding mana-mana saluran radio atau televisyen lain di Amerika. Ia berkhidmat untuk lebih 150 pasaran melalui 859 stesen radio milik mereka, dan stesen radio serta kandungan syarikat itu boleh didengari melalui radio AM/FM, radio digital HD, radio satelit, melalui Internet di iHeartRadio.com dan di laman web stesen radio syarikat itu, melalui app mudah alih iHeart Radio, dalam papan pemuka automatik dipertingkat, melalui iPad dan telefon pintar, dan melalui konsol permainan.
iHeartRadio, platform radio digital iHeartMedia, merupakan perkhidmatan audio digital semua dalam satu No. 1 dengan lebih 430 juta muat turun; ia mencecah angka 20 juta pengguna berdaftar mereka yang pertama lebih pantas berbanding mana-mana perkhidmatan digital dalam sejarah Internet dan mencecah angka 50 juta pengguna lebih pantas berbanding mana-mana perkhidmatan muzik digital, malah lebih pantas berbanding Twitter, Facebook, dan Pinterest. Pengendalian syarikat itu termasuklah penyiaran radio, dalam talian, mudah alih, media digital dan sosial, konsert dan acara langsung, pensindiketan, perkhidmatan kajian muzik, dan perwakilan media bebas.
Kenyataan Pandang ke Hadapan
Siar akhbar ini mengandungi "kenyataan pandang ke hadapan". Kenyataan pandang ke hadapan boleh dikenal pasti dengan penggunaan perkataan seperti "percaya", "menjangka", "mungkin", "akan", "patut", "ingin", "kira-kira", "berniat", "merancang", "pro forma", " anggaran", "mempertimbangkan", "menyasarkan", "terus", atau "mengagak" atau maksud berlawanan semua perkataan dan frasa ini atau perkataan atau frasa yang mirip. Faktor berikut, antara lainnya, boleh menyebabkan keputusan sebenar dan kejadian masa hadapan berbeza daripada yang dinyatakan atau dipertimbangkan dalam kenyataan pandang ke hadapan itu: faktor ini terkandung dalam Laporan Tahunan Syarikat itu dalam Borang 10-K bagi tahun berakhir 31 Disember 2013, termasuk yang dinyatakan di bawah tajuk "Faktor Risiko," "Perbincangan dan Analisis Pengurusan tentang Keadaan Kewangan dan Keputusan Pengendalian," "Perniagaan," dan "Harta Tanah". Walau pun kenyataan pandang ke hadapan mencerminkan kepercayaan dan keyakinan Syarikat, ia tidak menjamin prestasi masa hadapan. Syarikat menafikan sebarang tanggungjawab untuk mengemas kini atau menyemak semula secara awam sebarang kenyataan pandang ke hadapan bagi mencerminkan perubahan dalam andaian atau faktor terselindung atau maklumat, data atau kaedah baharu, kejadian masa hadapan atau perubahan lain selepas tarikh siar akhbar ini, kecuali jika diwajibkan oleh undang-undang. Bagi perbincangan lanjut tentang semua ini dan faktor lain yang boleh memberi impak kepada keputusan, prestasi, atau urus niaga masa hadapan Syarikat, lihat seksyen bertajuk "Faktor Risiko" dalam Laporan Tahunan pada Borang 10-K bagi tahun berakhir 31 Disember 2013 dan risiko lain yang digambarkan dalam dokumen yang difailkan selepas itu oleh Syarikat dari semasa ke semasa dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa. Bakal pelabur tidak patut membuat kebergantungan tidak berasas pada mana-mana kenyataan pandang ke hadapan, yang hanya dibuat berdasarkan maklumat yang sedia ada pada Syarikat (atau pada pihak ketiga yang membuat kenyataan pandang ke hadapan itu).