omniture

Ramboll ambil alih ENVIRON yang berpusat di AS bagi memasuki lingkungan elit global pasaran perundingan alam sekitar dan kesihatan

ENVIRON
2014-12-18 06:51 155

COPENHAGEN, Denmark dan ARLINGTON, Virginia, 18 Disember 2014 /PRNewswire/ -- Ramboll telah mengambil alih syarikat perundingan global yang berpusat di AS, ENVIRON, seraya menambah lebih 1,500 pakar sains alam sekitar dan sains kesihatan dalam 21 buah negara. Pengambilalihan itu meletakkan Ramboll dalam lingkungan elit bagi khidmat alam sekitar dan memperlihatkan langkah besar bagi syarikat perundingan Nordic terkemuka itu untuk menjadi benar-benar global.

Pengambilalihan itu meletakkan kedudukan Ramboll sebagai antara 10 syarikat perundingan alam sekitar terbaik di dunia dengan 2,700 pakar bekerja dalam bidang alam sekitar, kesihatan, dan air seluruh dunia serta jumlah kakitangan seramai hampir 12,500 kakitangan di 35 buah negara.

"Mengukuhkan portfolio kami dalam khidmat alam sekitar dan melebarkan sayap ke rantau baharu yang menarik, khususnya Amerika Utara, telah menjadi keutamaan strategik kami sejak 2012. Pengambilalihan ENVIRON merupakan kejayaan penting bagi memenuhi cita-cita ini. Kami sedang mencipta platform yang hebat untuk kemajuan masa hadapan dan Ramboll bergerak selangkah lebih hampir untuk menjadi syarikat perundingan yang benar-benar global," kata Ketua Pegawai Eksekutif Ramboll Group Jens-Peter Saul.

"Menggembleng tenaga dengan Ramboll meletakkan kami dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk terus berusaha menyelesaikan masalah alam sekitar dan kesihatan manusia yang paling mencabar, termasuk implikasi terhadap pembandaran global, perubahan iklim, dan kekurangan sumber. Cabaran alam sekitar dan kesihatan manusia yang dihadapi masyarakat pada masa kini adalah yang paling sukar setakat ini. Dengan berganding bahu, Ramboll dan ENVIRON berada dalam kedudukan sesuai untuk membantu masyarakat global dan pelanggan kami bagi mengatasi semua cabaran ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif ENVIRON Stephen Washburn.

Dengan gandingan ENVIRON, kehadiran Ramboll akan menjadi lebih kuat terutamanya di Nordics, Amerika Utara, UK, benua Eropah (termasuk Perancis, Jerman, dan Itali), Timur Tengah, serta India, berserta dengan perwakilan yang signifikan di Asia, Australia, Amerika Selatan, dan juga Afrika Sub-Sahara.

Ketika pengambilalihan dilakukan, hasil gabungan Ramboll dan ENVIRON adalah melebihi DKK 10 bilion (USD 1.7 bilion), yang mana 34% daripadanya akan dijana di luar kawaasan Nordic. Jika diukur berdasarkan hasil, Amerika Syarikat akan menjadi negara keempat terbesar selepas Denmark, Norway, dan Sweden.

Profil alam sekitar dan kesihatan yang lebih kukuh
ENVIRON merupakan salah satu daripada syarikat perundingan sains alam sekitar dan sains kesihatan terkemuka dunia yang kebanyakannya bekerja dengan pelanggan sektor swasta, termasuk syarikat multinasional, firma perundangan, serta organisasi kewangan terkenal. Syarikat itu menggabungkan pendekatan berasaskan sains dengan kemahiran rundingan perniagaan bagi menawarkan perkhidmatan pelopor seperti penyelesaian tapak, pengurusan kualiti udara, ketekunan wajar, sains kesihatan, penilaian kesan alam sekitar, dan perkhidmatan air.

"ENVIRON adalah padanan sempurna dan akan memberi profil alam sekitar kami rangsangan yang signifikan. Syarikat itu membawa portfolio perkhidmatan yang saling melengkapi untuk kecekapan berkualiti tinggi dengan sinergi penting terutamanya dalam kualiti udara, kesihatan, penyelesaian tapak, dan ketekunan wajar. Ini memberi kami tawaran yang lebih kukuh dan luas. Bersama, kami akan mendapat akses kepada antara bandar paling besar serta pelanggan antarabangsa yang membolehkan kami bersaing untuk projek pelbagai bidang yang lebih besar dan lebih mencabar. Ini akan membantu kami mempercepatkan kemajuan portfolio masa hadapan dan mencipta peluang mengujakan yang tidak akan dapat dicapai sekiranya tanpa gandingan ini," kata Jens-Peter Saul.

Platform AS kukuh untuk pertumbuhan
Amerika Utara merupakan pasaran paling menarik di dunia untuk perkhidmatan perundingan kejuruteraan. Di Amerika Utara sahaja, ENVIRON menggajikan sehingga 1,000 pakar dalam bidang sains alam sekitar dan sains kesihatan merentasi lebih 50 cawangan. Oleh sebab itu, pengambilalihan ini menyediakan platform yang kukuh untuk pertumbuhan perkhidmatan berbilang disiplin Ramboll di AS dan lebih jauh lagi.

"Dengan kehadiran dan jenama ENVIRON yang kukuh di Amerika Utara, kami boleh menambah lagi perkhidmatan berbilang disiplin Ramboll pada masa akan datang. Bermula dengan perkhidmatan berkaitan seperti tenaga, minyak, dan gas serta kemudiannya beralih kepada bidang lain, kami akan membina portfolio yang pelbagai di lokasi yang sudah pun ditetapkan oleh ENVIRON, dan juga sinergi antara kedua-dua syarikat ini akan dimanfaatkan dalam projek-projek dengan serta-merta," kata Jens-Peter Saul.

Pertumbuhan signifikan
Pada dekad lepas, Ramboll telah mengalami pertumbuhan yang pesat. Dalam tiga suku tahun pertama 2014, Ramboll telah berkembang dengan kira-kira 800 kakitangan hasil daripada pengambilalihan dan pertumbuhan organik. Pengambilalihan ENVIRON menambah lagi 1,500 rakan sekerja baharu.

Dalam cara yang sama, berganding bahu dengan Ramboll mencipta lebih banyak peluang pertumbuhan untuk ENVIRON.

"Sepanjang sejarahnya selama 30 tahun, ENVIRON mampu berkembang di AS dan seluruh dunia tanpa mengorbankan margin keuntungan. Dengan penggabungan ini, kami dapat menyediakan pelanggan dengan kemampuan dan perkhidmatan yang dipertingkat, seterusnya mencipta peluang yang lebih besar untuk pertumbuhan," kata Stephen Washburn.

Latar Belakang ENVIRON
ENVIRON ditubuhkan di Washington D.C. pada tahun 1982 sebagai syarikat perundingan alam sekitar dan kesihatan. Selama lebih 30 tahun, ENVIRON telah mengekalkan fokus jelas terhadap peranannya sebagai penasihat strategik kepada para pelanggan di seluruh dunia bagi masalah kesihatan manusia dan alam sekitar mereka yang paling mencabar.

Hari ini, ENVIRON merupakan syarikat perundingan global terkemuka yang bertapak kukuh dengan rangkaian seramai lebih 1,500 kakitangan yang bekerja dari lebih 90 cawangan di 21 buah negara seluruh dunia. Asas kewangan ENVIRON kekal kukuh dan mantap dengan sejarah hasil serta pertumbuhan pendapatan yang tinggi. Sejak 10 tahun lalu, pendapatannya telah meningkat lebih tiga kali ganda, lalu menghasilkan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 12% sejak 2001. Pada 2014, ENVIRON menjangkakan hasil kasar lebih sedikit daripada USD 300 juta.

Latar Belakang Ramboll 
Ramboll merupakan syarikat kejuruteraan, rekaan, dan rundingan terkemuka yang ditubuhkan di Denmark pada tahun 1945. Termasuk ENVIRON, syarikat itu menggajikan hampir 12,500 pakar di Nordic, Amerika Utara, UK, Benua Eropah (termasuk Perancis, Jerman, dan Itali), Timur Tengah, serta India, ditambah dengan perwakilan signifikan di Asia, Australia, Amerika Selatan, dan juga Afrika Sub-Sahara.

Dengan lebih 300 cawangan di 35 buah negara, Ramboll menggabungkan pengalaman tempatan dengan asas pengetahuan sedunia yang sentiasa berusaha untuk mencapai penyelesaian yang mencetuskan idea serta mementingkan ketelitian yang akan memberi perbezaan ketara kepada para pelanggan kami, para pengguna, dan masyarakat secara keseluruhannya. Ramboll menawarkan khidmat merentasi semua pasaran: Bangunan, Pengangkutan, Alam Sekitar, Air, Tenaga, Minyak & Gas, serta Rundingan Pengurusan.

Source: ENVIRON
Keywords: Environmental Products & Services Acquisitions, mergers, takeovers