DELHI, 29 Disember, 2014 /PRNewswire/ -- Akses kepada terapi ini akan memberi kesan kepada 12 juta orang yang menderita penyakit auto imun seperti artritis reumatoid, artritis idiopatik juvana, artritis psoriatik, serta Ankylosing Spondylitis di India.
Setelah penantian lebih sedekad lamanya, terapi revolusi yang memberi harapan baharu kepada berjuta-juta pesakit yang menghidap artritis reumatoid dan penyakit auto imun lain di seluruh dunia kini dapat diakses oleh para pesakit di India. Zydus Cadila menjadi syarikat pertama di dunia melancarkan biosimilar bagi Adalimumab -- terapi dengan jualan terbesar di dunia. Dibangunkan oleh penyelidik di Pusat Penyelidikan Zydus, biosimilar itu telah diluluskan oleh Ketua Kawalan Ubatan India dan akan dipasarkan di bawah jenama Exemptia, untuk merawat penyakit auto imun seperti artritis reumatoid, artritis idiopatik juvana, artritis psoriatik, serta Ankylosing Spondylitis.
Proses baharu yang tidak mengganggu bagi Adalimumab dan formulasi tidak mengganggu baharu telah diselidik, dibangunkan dan dihasilkan di Pusat Penyelidikan Zydus. Biosimilar tersebut merupakan yang pertama dilancarkan mana-mana syarikat di dunia dan merupakan 'padanan cap jari' dengan bahan asal dari segi keselamatan, ketulenan dan kemampuan produk. Biosimilar bagi Adalimumab merupakan sebahagian daripada program biologik kukuh Zydus yang mempunyai bilangan antibodi monoklon terbesar dalam pembangunan di India. Perancangan penyelidikan dan pembangunan kumpulan itu terdiri daripada 24 biologik termasuk biosimilar dan tiga biologik baharu. Biologik tersebut sedang dibangunkan untuk merawat penyakit auto imun seperti artritis, barah, ketidaksuburan dan strok.
Adalimumab, antibodi monoklon alfa anti-TNF manusia sepenuhnya, pertama kali diluluskan secara global pada 2002 dan sejak itu telah menjadi terapi pilihan untuk merawat pesakit yang menderita penyakit auto imun. Walau bagaimanapun, ketika itu terapi tersebut belum tersedia untuk para pesakit di India. Dianggarkan lebih 12 juta pesakit di India menderita gejala kronik ini yang melarat secara progresif dan membawa kesakitan sepanjang hayat dan dalam sesetengah kes, ia turut menyebabkan kehilangan upaya.
Bercakap mengenai penemuan itu, Timbalan Pengarah Urusan Zydus Cadila, Dr. Sharvil P. Patel berkata, "Di Zydus, kami percaya inovasi mesti menghubungkan keperluan kesihatan yang belum dipenuhi dan menyediakan penyelesaian kepada pesakit yang menderita penyakit serta kehilangan upaya terutamanya dalam keadaan yang begitu kronik. Terapi ini akan menawarkan harapan baharu kepada berjuta-juta orang di India yang belum mendapat akses kepada terapi ini. Kami gembira dapat menawarkan mereka harapan, kebebasan daripada rasa sakit dan kualiti hidup yang lebih baik melalui Exemptia."
Biosimilar merupakan produk biologi yang 'serupa' atau 'amat serupa' dengan produk ubatan rujukan (produk asal) mengikut garis panduan pengawalseliaan EMA (Agensi Perubatan Eropah), FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan, AS) serta CDSCO. Biosimilar mempunyai tahap keberkesanan dan keselamatan yang serupa berbanding produk asal serta memberikan kelebihan tambahan kepada para pesakit daripada segi kemampuan dan juga kebolehcapaian.
Exemptia diberikan melalui suntikan subkutaneus sebanyak 40 mg sekali setiap selang seminggu. Para pesakit biasanya perlu menjalani rawatan tersebut selama enam bulan. Secara klinikal, ia didapati dapat merencatkan degenerasi dan pesakit berada dalam tempoh remisi -- bermakna penyakit auto imun adalah di bawah kawalan dan pesakit dapat hidup tanpa mengalami kesakitan serta mampu menjalani hidup yang aktif.
Untuk maklumat lanjut, lawati http://www.exemptia.com
SUMBER Zydus Cadila