omniture

Huawei Menyeru Perluas Perkongsian bagi Mendorong Rangkuman Digital Global melalui TECH4ALL

Huawei
2024-09-24 23:28 43

SHANGHAI, 24 September 2024 /PRNewswire/ -- Di Forum Rangkuman Digital TECH4ALL yang dihoskan di Huawei Connect 2024, Huawei menyeru agar lebih ramai rakan kongsi menyertai inisiatif TECH4LL bagi mendorong rangkuman digital global.

TECH4ALL Digital Inclusion Forum at HUAWEI CONNECT 2024
TECH4ALL Digital Inclusion Forum at HUAWEI CONNECT 2024

Dilancarkan pada tahun 2019 dan sejajar dengan SDG PBB, TECH4ALL merupakan pelan tindakan jangka panjang Huawei untuk mendayakan dunia digital yang inklusif dan mampan, memfokuskan kepada domain pendidikan, alam sekitar, kesihatan dan pembangunan.

Di forum ini, para hadirin meneroka projek-projek rangkuman TECH4ALL dan kemajuan rangkuman digital di China yang digariskan dalam China Digital Inclusion Report (Laporan Rangkuman Digital China) 2024 yang dihasilkan oleh China Academy of Information and Communications Technology (CAICT).

"Menggalakkan rangkuman digital bukan sahaja dapat menangani masalah yang mungkin wujud dalam pembangunan dan aplikasi teknologi digital dengan berkesan, bahkan turut menambah baik pencapaian matlamat keseluruhan kami," kata Xin Yongfei, Pengarah CAICT Institute for Policy and Economics.

Perbincangan memfokuskan kepada bagaimana teknologi dapat membantu menghapuskan halangan kepada kebolehcapaian maklumat, peluang yang sama rata dan kualiti hidup yang tinggi. Satu tema penting di forum ini ialah berkenaan kepentingan perkongsian rentas sektor dalam memaksimumkan keberkesanan projek-projek rangkuman seperti yang dijalankan oleh Huawei di bawah TECH4ALL.

"Huawei komited untuk menyokong strategi rangkuman digital China," kata Jeffrey Zhou, Presiden Pemasaran ICT di Huawei. "Kami bekerjasama dengan kerajaan, perusahaan, institusi penyelidikan saintifik, universiti dan NGO bagi melaksanakan projek-projek yang menyediakan rujukan berguna kepada dunia bagi merebut peluang transformasi digital dan berkongsi manfaat inklusif pendigitalan."

Rakan kongsi daripada komuniti pekak dan juga cacat penglihatan meneliti peranan teknologi dalam mendayakan rangkuman digital. Huawei berkongsi bagaimana ia mempertimbangkan keperluan orang kurang upaya, warga emas dan kanak-kanak dari peringkat awal reka bentuk produk. Selain sambungan Bluetooth untuk alat bantu pendengaran, telefon pintar Huawei menyediakan 15 ciri kebolehcapaian yang digunakan oleh sekitar 10 juta orang setiap bulan. Ini termasuk teknologi yang boleh mengenal pasti dan menghantar makluman cadangan kerja yang disesuaikan untuk orang kurang upaya.

"Sebagai pengguna peranti cacat penglihatan dan rakan kongsi Huawei, saya berpendapat adalah amat penting untuk berkongsi mesej bahawa teknologi boleh memberi peluang yang sama rata kepada semua orang untuk mengambil bahagian dalam masyarakat, menggunakan sumber awam dan membantu menghapuskan jurang digital," kata Yin Nan, Pengerusi Persatuan Buta Daerah Hongqiao Tianjin.

Bersama-sama rakan kongsi Persatuan Orang Pekak China dan E-Times Digital Technology, Huawei TECH4ALL turut membangunkan aplikasi Trouble-Free Hearing. Berasaskan Huawei Cloud AI, aplikasi ini menyediakan terjemahan tutur-ke-teks dan teks-ke-tutur serta hab bahasa isyarat dalam talian masa nyata untuk digunakan dalam situasi yang berpotensi rumit seperti penjagaan kesihatan, perundingan undang-undang dan di tingkap perkhidmatan.

Forum ini turut meninjau keterangkuman pendidikan melalui projek TECH4ALL China DigiSchool, yang bertujuan untuk menyediakan sumber dalam talian dan latihan guru bagi penyampaian kurikulum STEAM. Sehingga kini, 4,800 orang guru dan pelajar mendapat manfaat di 29 buah sekolah.

Huawei turut menjalankan pelbagai inisiatif pendidikan dan latihan di seluruh dunia, termasuk projek Open School bersama UNESCO, Instant Schools Network bersama Vodafone Foundation dan projek Skills and Wheels bersama rakan kongsi global dan tempatan. Skills on Wheels, umpamanya, membawakan latihan kemahiran digital percuma kepada komuniti terpencil melalui bilik darjah bergerak yang dipasang pada trak, mencecah 93,000 orang di 18 negara setakat ini.

Projek-projek pendidikan TECH4ALL menjangkau lebih daripada 400,000 orang di seluruh dunia, dengan teknologi dan perkongsian menjadi kunci kejayaan bagi setiap projek.

Latar Belakang Huawei TECH4ALL 

TECH4ALL ialah inisiatif rangkuman digital jangka panjang Huawei. Didayakan oleh teknologi yang inovatif dan perkongsian, TECH4ALL bermatlamat untuk menggalakkan keterangkuman dan kemampanan dalam dunia digital.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi laman web Huawei TECH4ALL: https://www.huawei.com/en/tech4all 

Ikuti kami di X:
https://twitter.com/HUAWEI_TECH4ALL 

 

 

Source: Huawei
Keywords: Computer/Electronics Education Health Care/Hospital Telecommunications Handicapped/Disabled Trade show news