omniture

AACSB International Melantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Baharu

AACSB International
2015-01-14 09:00 94

TAMPA, Florida, 14 Januari 2015 /PRNewswire/ -- AACSB International hari ini mengumumkan pelantikan Thomas R. (Tom) Robinson, Pengarah Urusan Semasa Negara-negara Benua Amerika di Institut CFA sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) mereka yang baharu. Ditubuhkan pada tahun 1916, AACSB International (AACSB) merupakan badan akreditasi global dan persatuan keahlian yang paling lama berkhidmat untuk kemajuan pendidikan pengurusan dan kolej perniagaan seluruh dunia.

Gambar - http://photos.prnewswire.com/prnh/20150112/168473

Robinson bakal menggantikan John Fernandes, yang mengumumkan pada tahun 2013 bahawa beliau akan bersara selepas 15 tahun berkhidmat. Fernandes dikenali ramai kerana memajukan AACSB daripada badan akreditasi berpusat di AS menjadi persatuan keahlian global khidmat penuh, badan akreditasi, dan penyokong untuk pendidikan pengurusan. Di bawah kepimpinan beliau, organisasi itu memindahkan ibu pejabat korporat mereka dengan lancarnya ke Tampa, Florida, Amerika Syarikat; menerima kesejagatan sebagai asas pengendalian strategiknya; dan memacu inovasi merentasi bidang pendidikan pengurusan.

Digambarkan sebagai ketua yang sangat cekap, Robinson dihormati seluruh dunia dalam industri ini dan membawa latar belakang yang berkepelbagaian yang merentasi sektor swasta, akademik, dan pengurusan persatuan. Sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, beliau akan berkhidmat di samping Lembaga dan rangkaian global kakitangan, ahli, dan sukarelawan bagi mendekatkan jurang antara inisiatif wawasan AACSB semasa dan masa hadapan. Inisiatif ini akan menambah kepada kekuatan semasa, menilai peranan AACSB dalam membentuk masa hadapan perniagaan dan kolej perniagaan.

"Landskap global untuk pendidikan pengurusan telah berubah secara dramatik, memerlukan kolej perniagaan menilai peranan mereka dalam masyarakat," kata Linda Livingstone, pengerusi Lembaga AACSB dan dekan The George Washington University School of Business. "Pengalaman kepimpinan strategik Tom serta pengetahuan perniagaan global beliau, digandingkan dengan perspektif unik beliau tentang pendidikan perniagaan akan membantu AACSB dalam usahanya bagi memahami dengan lebih baik, dan akhirnya membentuk peranan yang patut dimainkan oleh pengurusan dan pendidikan pengurusan."

Pemahaman Robinson tentang proses pensijilan, pengalaman dalam membina dan berkhidmat kepada pasaran baharu, serta kepakaran dalam membangunkan program pendidikan juga akan membantu mempertingkatkan lagi tahap AACSB untuk jaminan kualiti, kepimpinan pemikiran, dan juga perkhidmatan keahlian pada peringkat dunia.

"Keputusan Lembaga untuk memilih Tom Robinson sebagai presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AACSB seterusnya adalah sebulat suara," kata Jan Williams, pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Ketua Pegawai Eksekutif AACSB, dan dekan emeritus Haslam College of Business di University of Tennessee di Knoxville. "Kekuatan dan pengalaman beliau merentasi pelbagai industri, kemahiran kepimpinan strategik yang terbukti, kepakaran kesejagatan, dan hubungan kukuh dengan amalan perniagaan adalah benar-benar apa yang kami cari. Wawasan dan kepakaran beliau adalah apa yang diperlukan AACSB ketika organisasi ini memasuki fasa kepimpinan serta pertumbuhan mereka seterusnya."

"Saya berbesar hati dapat berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AACSB," kata Robinson, "AACSB adalah organisasi berwawasan dengan misi yang berkuasa, dan saya tidak sabar-sabar lagi mahu menambah lagi kepada asas kuat yang telah dicipta oleh John Fernandes. Saya sangat berkeinginan untuk bekerjasama dengan Lembaga, serta pasukan sukarelawan dan kakitangan yang sangat berbakat untuk terus mempertingkat jejak global organisasi ini, menambah nilai perkhidmatan yang disediakan, dan juga bekerjasama dengan kolej perniagaan bagi menggalakkan inovasi, impak, dan pelibatan dalam komuniti tempat mereka berkhidmat."

Sebelum beliau bekerja di Institut CFA, Robinson ialah ahli fakulti lantikan tetap dalam Perakaunan di University of Miami, di mana beliau mengetuai Kursus Sarjana Perakaunan Profesional dan berkhidmat sebagai Pemangku Pengerusi Jabatan itu. Beliau juga menghabiskan sepuluh tahun dalam perakaunan awam, dan berkhidmat sebagai penasihat kewangan serta perunding cukai bebas. Robinson mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi daripada University of Pennsylvania, dan ijazah sarjana serta ijazah kedoktoran daripada Weatherhead School of Management at Case Western Reserve University. Beliau juga memegang pensijilan sebagai Juruanalisis Kewangan Bertauliah (CFA), Certified Financial Planner® (CFP®), Akauntan Awam Bertauliah (CPA), dan Juruanalisis Pelaburan Alternatif Bertauliah (CAIA).

Robinson akan menyertai AACSB berkuat kuasa 1 Mac, dan Fernandes akan kekal dalam lembaga sehingga 30 April untuk membantu peralihan organisasi itu. Latar belakang lebih terperinci untuk Robinson, dan gambar beresolusi tinggi boleh didapati di laman web AACSB.

Latar Belakang AACSB International
AACSB International (The Association to Advance Collegiate Schools of Business), ditubuhkan pada 1916, merupakan persatuan yang dianggotai lebih 1,450 institusi pendidikan, perniagaan, dan organisasi lain dalam 86 buah negara dan wilayah. Misi AACSB adalah untuk memajukan pendidikan pengurusan berkualiti seluruh dunia melalui akreditasi, kepimpinan pemikiran, dan perkhidmatan tertambah nilai. Sebagai badan akreditasi unggul untuk institusi yang menawarkan ijazah sarjana muda, sarjana, dan kedoktoran dalam perniagaan serta perakaunan, persatuan itu juga mengendalikan pelbagai persidangan dan program seminar di seluruh dunia. Ibu pejabat global AACSB terletak di Tampa, Florida, Amerika Syarikat, ibu pejabat Asia Pasifiknya terletak di Singapura, dan ibu pejabat Eropah, Timur Tengah, dan Afrikanya terletak di Amsterdam, Belanda.

Source: AACSB International
Related Links:
Keywords: Education Higher Education Workforce Management/Human Resources Personnel announcements